Tajuk: Sejarah Dakwah Rasulullah Saw Di Madinah

Erti Hijrah Dan Tujuan Rasullah Sallallahu ‘Alaih Wa Sallam Dan Umat Islam Berhijrah

Istilah hijrah biasanya merujuk kepada perjalanan yang diambil oleh umat Islam dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam pada tahun 622 Masihi dari Mekah ke Madinah. Tujuan penghijrahan ini adalah untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran ajaran Islam. Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam untuk mengembangkan Islam dengan aman. Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan. Baginda sendiri berhijrah dengan Abu Bakar as-Siddiq. Perjalanan sejauh 320 km ini mengambil masa 8 hari. 

Penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam ke Madinah adalah disebabkan perintah Allah menerusi wahyu. Maka dalam wahyu ini Allah telah menyatakan niat dan pakatan orang Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam dan Allah telah memerintahkan baginda agar segera berhijrah. Perintah ini yang berasaskan ayat Al-Quran, iaitu surah Al-Anfal yang telah mempercepatkan penghijrahan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam ke kota Madinah. Dengan perlindungan Allah Subhanahu wa ta’ala, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam dan sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq selamat sampai ke Madinah. 

Hijrah bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman daripada orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran Islam di Mekah. Walaubagaimanapun, penghijrahan itu bukan bermaksud orang Islam kecewa dengan penentangan tersebut tetapi ini merupakan strategi Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam untuk mengembangkan Islam. Bagi baginda, suasana aman di tempat baru akan memudahkan lagi penyampaian dakwah islamiah. Selain itu, hijrah juga membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan. 

Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam ke Madinah adalah disebabkan jemputan masyarakat Arab Madinah yang sedang menghadapi pelbagai konflik. pada ketika itu suku Aus dan Khazraj di Madinah sering bertelagah sesama sendiri dan ekonomi mereka pula dikuasai oleh golongan Yahudi. Oleh itu, golongan Arab Madinah memerlukan pemimpin yang berkaliber seperti Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam untuk mengetuai kepimpinan di Madinah. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam juga diperlukan untuk mendamaikan masyarakat Madinah yang sentiasa bermusuhan. Setelah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam berhijrah ke Madinah, maka bermulalah dakwah Baginda di Madinah. 

DEFINISI DAKWAH
Asal penggunaan perkataan “dakwah” terdapat di dalam al-Quran adalah sebanyak 212 kali dalam pelbagai surah. Penggunaan perkataan dakwah ini boleh didapati pengertiannya dari segi bahasa dan istilah. Berikut merupakan pengertian dakwah:-

Dari segi bahasa perkataan dakwah diambil daripada bahasa arab da’wah. Dakwah ialah perkataan yang berasal daripada perkataan Arab yang memberi erti seruan, panggilan atau ajakan. 

Dari segi istilah pula dakwah mengikut pandangan agama ialah ajakan yang ditujukan kepada manusia oleh Allah melalui para rasul-Nya supaya percaya dan yakin kepada agama yang sebenarnya iaitu agama Islam. Selain itu, takrifan dakwah dari segi syarak secara umumnya ialah menghimpun manusia dalam kebajikan dan menunjukkan mereka jalan yang benar dengan suruhan melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. 

Dakwah juga merupakan satu usaha seseorang atau berkumpulan untuk menyeru manusia dengan menggunakan beberapa pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredhaan Allah. 

LANGKAH-LANGKAH DAKWAH RASULULLAH Sallallahu ‘alaih wa sallam DI MADINAH
1. Membangunkan Masjid
Langkah pertama yang dilakukan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam setibanya di Madinah adalah membangunkan masjid. Masjid pertama dibangun ialah di Quba di sebuah tanah milik kedua anak yatim, yaitu Sahl dan Suhail. Tanah tersebut dibeli oleh Baginda untuk pembangunan masjid dan juga untuk tempat tinggal. Masjid ini kemudiannya dikenali dengan namaMasjid Nabawi. 

Masjid yang dibangun tersebut tidak hanya berfungsi sebagai tempat melaksanakan ibadah solat. Malah, digunakan sebagai pusat kegiatan pendidikan dan pengajaran keagamaan, mengadili pelbagai perkara yang muncul dalam masyarakat, musyawarah, pertemuan-pertemuan dan sebagainya. Dengan demikian, masjid juga berfungsi sebagai pusat kegiatan politik dan pemerintahan waktu itu. 

Dengan bangunnya masjid ini, umat Islam tidak lagi merasa takut untuk melaksanakan solat dan kegiatan-kegiatan keagamaan lainnya. Mereka tidak takut lagi dikejar-kejar oleh orang-orang musyrik dan orang-orang yang tidak suka terhadap Islam. Sejak itulah ibadat solat dapat dilakukan dengan baik dan sempurna. Azan solat juga telah dikumandangkan. Orang yang pertama mengumandangkan azan ialah Bilal bin Rabah. Dia diberi kepercayaan untuk melaksanakan azan kerana memiliki suara yang sangat merdu. Dari hari ke hari masjid Madinah menjadi tumpuan kerana ramai yang datang untuk menunaikan solat bersama-sama Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. 

Berdirinya masjid tersebut bukan saja merupakan tonggak berdirinya masyarakat Islam, juga merupakan titik awal pembangunan kota. Jalan-jalan raya di sekitar masjid dengan sendirinya tertata rapi, sehingga lama-kelamaan tempat itu menjadi pusat kota dan pusat perdagangan. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam sendiri sangat besar perhatiannya terhadap hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan jalan dan jambatan. Baginda bersama-sama umat Islam membangunkan jambatan-jambatan yang menghubungkan antara satu lembah dengan lembah yang lain sehingga masyarakat setempat dapat berhubung dengan masyarakat lain. 

Pembangunan yang pesat di kota Madinah menyebabkan masyarakat yang dari wilayah lain datang ke kota baru ini, baik untuk tujuan perdagangan mahupun tujuan lain. Hal ini menyebabkan Madinah menjadi kota terbesar di jazirah Arabia. 

2. Menciptakan Persaudaraan Baru
Sejak kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam di Madinah, Baginda selalu melakukan langkah-langkah positif demi kebaikan kehidupan masyarakat Islam Madinah khususnya dan masyarakat bukan Islam sehingga terciptanya suasana aman dan damai. Langkah lain yang dilakukan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam adalah menciptakan persaudaraan baru antara kaum muslimin yang berasal dari Mekah (kaum Muhajirin) dengan umat Islam Madinah (kaum Ansar). Langkah tersebut dilakukan untuk memperkuat barisan umat Islam di kota Madinah. 

Untuk mencapai tujuan tersebut, Nabi Muhammad saw. mengajak kaum muslimin supaya masing-masing bersaudara demi Allah Subhanahu wa ta’ala. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam sendiri bersaudara dengan Ali ibnu Abi Thalib, Hamzah ibnu Abdul Mutholib bersaudara dengan Zaid, Abu Bakar bersaudara dengan Kharijah ibnu Zaid, Umar ibnu Khattab dengan 'Ithbah ibnu Malik al-Khazraji dan Ja'far ibnu Abi Thalib dengan Mu'adz ibnu Jabal. Muhajirin lainnya dipersaudarakan dengan kaum Ansar yang lain. 

Dengan persaudaraan ini, Rasulullah telah menciptakan satu persaudaraan baru, iaitu persaudaraan berdasarkan agama yang menggantikan persaudaraan yang berdasarkan darah. 

 Dalam persaudaraan seperti ini, kaum Ansar memperlihatkan sikap sopan dan ramah dengan saudara mereka kaum Muhajirin. Kaum Ansar turut merasakan penderitaan yang dialami saudara-saudara mereka dari kota Mekah tersebut, kerana mereka datang ke Madinah tanpa membawa harta kekayaan, sanak saudara, dan sebagainyASehingga mereka benar-benar menderita dan memerlukan pertolongan. 

Sejak terciptanya tali persaudaraan di antara kaum Muhajirin dengan kaum Ansar, suasana semakin damai dan aman kerana kaum Muhajirin banyak yang telah melakukan kegiatan perdagangan dan pertanian. Di antaranya adalah Abdurrahman bin 'Auf menjadi pedagang dan Abu Bakar, Umar, dan Ali menjadi petani. Baginda selalu mendorong umat Islam untuk bekerja keras dalam mencari nafkah yang halal demi kehidupan mereka di Madinah. 

 3. Perjanjian Dengan Masyarakat Yahudi Madinah
Langkah seterusnya yang dilakukan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam adalah bermusyawarah dengan para sahabat, baik Muhajirin mahupun Ansar untuk memikirkan idea bersesuaian yang akan dijadikan undang-undang. Rancangan ini berkenaan dengan orang-orang Muhajirin, Ansar, dan masyarakat Yahudi yang sedia hidup secara damai dengan umat Islam. Undang-undang ini kemudian dikenali sebagai sebuah Piagam Madinah yang ditulis pada tahun 623 M atau tahun ke-2 H. 






PIAGAM MADINAH
Piagam Madinah atau Sahifah Madinah merupakan sebuah perlembagaan bertulis yang telah dirangka oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam pada tahun 622M berpandukan wahyu Allah. Piagam Madinah menjadi asas pemerintahan kerajaan Islam Madinah yang terdiri daripada masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam. Piagam ini mencatatkan tentang peraturan tanggungjawab ketua negara dan rakyatnya serta dirangka berasaskan persetujuan orang Islam ( Muhajirin dan Ansar) dan bukan orang bukan Islam ( Yahudi dan suku Arab yang lain). Kandungan Piagam Madinah ini lengkap menyeluruh dan mengambil kira kepentingan semua pihak. Pembentukan Piagam Madinah telah dipersetujui oleh orang Islam dan bukan Islam khususnya golongan Yahudi. Piagam ini mengandungi 47 fasal iaitu 23 fasal membincangkan hubungan di kalangan orang Islam dan tanggungjawab mereka sementara 24 fasal lagi tentang tanggungjawab orang bukan Islam termasuklah orang Yahudi terhadap negara Madinah. Perlembagaan Madinah merupakan perlembagaan bertulis yang pertama digubal di dunia yang menjadi asas kepada sesebuah negara yang berdaulat. 

Dari segi politik iaitu pentadbiran Nabi Muhammad saw berperanan sebagai pemimpin bagi kerajaan madinah yang mempunyai penduduk berbilang kaum, agama dan budaya. Kesemua masyarakat telah bersetuju untuk menerima Baginda sebagai ketua negara Madinah. Baginda juga berperanan sebagai ketua hakim dan bertindak menyelesaikan kesemua masalah yang dihadapi oleh masyarakat Madinah berasaskan semangat musyawarah dan berlandaskan keadilan. Sebelum ini tiada hakim yang diiktiraf dapat menyelesaikan sesuatu masalah. 

Dari segi agama masyarakat Madinah bebas memilih agama masing-masing. Setiap individu mestilah menghormati agama yang dianuti oleh individu yang lain. Sikap buruk sangka dari segi agama seperti yang diamalkan sebelumnya dilarang sama sekali. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam tidak pernah memaksa mereka yang bukan islam supaya memeluk islam, misalnya orang yahudi bebas mengamalkan ajaran agama mereka. 

Dari segi sosial pula, masyarakat Madinah dianggap sebagai ummah yang hidup bersatupadu, tolong menolong dan bekerjasama tanpa mengira bangsa. Perasaan benci membenci dan mementingkan diri sendiri dielakkan demi menjaga keharmonian negara. 

Dari segi perundangan undang-undang Islam telah digunapakai secara menyeluruh tetapi peraturan kekeluargaan yang bersesuaian dengan Islam boleh diamalkan oleh masyarakat Madinah. Dengan adanya undang-undang ini peraturan dan cara hidup yang diamalkan menjadi lebih tersusun dan diterima ramai. Sesuatu hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang bersalah dapat dilakukan dengan adil dan diterima dengan senang hati. 

Dari segi ekonomi pula, Piagam Madinah menetapkan tiada diskriminasi untuk memperolehi peluang ekonomi. Untuk mengendalikan urusan ekonomi Islam melarang riba dan penindasan. 

Dari segi pertahanan, Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. mewajibkan kesemua masyarakat Madinah mempertahankan Madinah daripada ancaman. Sikap bertanggungjawab menjaga negara amat penting dijunjungi demi kesejahteraan rakyat. 

Perlembagaan Madinah mengakui kedudukan orang Yahudi sebagai rakyat Madinah. Mereka mempunyai hak yang sama dengan masyarakat yang lain untuk menikmati keselamatan dan kebebasan. Mereka dibenarkan tinggal di Madinah, malah kedudukan mereka terjamin dan selamat selagi mereka mematuhi Piagam Madinah. Mereka tidak dibenarkan bertindak sewenang-wenangnya untuk menimbulkan huru-hara. Keseluruhannya pembentukan Piagam Madinah menunjukkan betapa luasnya pandangan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam yang telahmengambilkira kepentingan pelbagai bangsa dan penganut pelbagai agama dalamsesebuah negara. Dengan itu perpaduan dan persefahaman dapat diwujudkan. 

KEPENTINGAN PIAGAM MADINAH
Kerajaan Islam Madinah merupakan model kerajaan Islam yang unggul yang boleh dijadikan panduan bagi menjalankan pemerintahan yang berasaskan Islam. Kerajaan ini dilengkapi perlembagaan yang dapat diterima pakai oleh semua golongan masyarakat. Hal ini menunjukkan bahawa unsur-unsur Islam boleh dipraktikkan dalam sesebuah negara yang terdiri daripada berbilangan bangsa dan agama. Kepintaran Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam menggubal suatu piagam sangat dikagumi kerana baginda berjaya mengatur sebuah pemerintahan yang lengkap iaitu merangkumi peraturan yang berkaitan dengan dunia dan akhirat. Masyarakatnya terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Dari segi ekonomi amalan riba, penipuan, rasuah dan penindasan tidak dibenarkan. Sifat bertimbang rasa dan amalan belah digalakkan. Ekonomi Islam sangat mementingkan keadilan dan ketelusan dalam perniagaan. Berasaskan keadilan ini ekonomi kerajaan Islam di Madinah mula meningkat. Sesungguhnya pada awal penghijrahan orang Muhajirin menghadapi masalah ekonomi tetapi masalah ini telah diatasi dengan segera oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. Orang Ansar telah memberikan bantuan kepada orang Muhajirin secara sukarela dan ikhlas. Berasaskan Piagam Madinah, kita dapati Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam telah berjaya membentuk masyarakat baru berasaskan ummah iaitu masyarakat yang hidup bersatupadu dan aman. Nilai hidup yang ditanam adalah berasaskan semangat ukhwah islamiah. Taraf dan kedudukan rakyat adalah sama dengan itu konsep keadilan sosial telah dipraktikkan di Madinah. Dari segi hak, islam telah menekankan persamaaan hak dan persaudaraan Islam. Tiada lagi perbezaan taraf di kalangan masyarakat. Amalan dan sifat positif yang dipraktikkan oleh negara Madinah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam seperti semangat perpaduan, bantu membantu dan rela bekorban tentu boleh dipupuk di kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini. Menerusi pembentukan perlembagaan ini, masyarakat Madinah daripada pelbagai keturunan budaya dan agama dapat mendiami sesebuah negara dan mempunyai undang-undang yang lengkap dan sempurnASyariah Islam yang diperkenalkan adalah adil. Oleh itu, pembentukan satu perundangan yang sesuai dalam sebuah negara oleh kesemua masyarakat. Cara Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam mendirikan sebuah kerajaan berbeza daripada cara yang dilakukan oleh pemimpin lain di dunia. Baginda meyusun perlembagaan negara terlebih dahulu sebelum mengasaskan sebuah kerajaan. Di sini menunjukkan bahawa masyarakat Madinah telah diikat dahulu dengan perjanjian yang lengkap sebelum bernaung di bawah satu pemerintahan. Sistem pemerintahan yang diasaskan oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam merupakan sistem pemerintahan yang meletakkan Allah Subhanahu wa ta’ala sebagai kuasa yang tertinggi. Piagam Madinah itu berjaya menyusun kehidupan masyarakat yang sistematik. Setiap kaum terikat dengan undang-undang yang telah digariskan. Orang Yahudi misalnya tidak boleh menindas kaum Arab yang lain. Kesemua bangsa ada hak dalam negara Madinah dan mereka harus mematuhi peraturan dan cara hidup yang menjadi panduan masyarakat. Mereka bertanggungjawab mempertahankan keselamatan negara Madinah daripada serangan luar. Dengan adanya kerjasama daripada semua masyarakat, negara Madinah menjadi kuat dan disegani oleh negara luar sekitarnya dan Semenanjung Tanah Arab. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com