Tajuk: Agama Yang Diredhai Allah Ialah Agama Islam

Agama bermaksud pemberitahuan dan peraturan yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Adam manakala Islam pula berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu salima bererti selamat, sentosa atau kedamaiaan. 

Agama diturunkan kepada manusia bagi membimbing mereka kepada jalan yang benar supaya mereka mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat dengan mempercayai Allah Yang Maha Esa dan mematuhi segala suruhan serta manjauhi segala larangannya. 

Terdapat pelbagai agama yang dianuti oleh manusia di dunia ini. Namun begitu, terdapat tiga jenis agama utama yang dianuti oleh majoriti kaum terbesar di sesuatu kawasan atau tempat seperti :-
Agama Islam 
Agama Kristian
Agama Hindu

Sekiranya Allah tidak menurunkan agama, nescaya manusia akan sesat kerana fikiran manusia dan pengalamannya terbatas. Manusia tidak mempunyai kemampuan memahami masalah ketuhanan, masalah kehidupan selepas mati, perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syurga dan neraka, pembalasan amal dan sebagainya. 

Dalam perjalanan sejarah tamadun manusia terdahulu, ramai manusia berterusan menentang serta membantah pengajaran-pengajaran Allah yang dibawa oleh para nabi dan para rasul itu. Berikutan dengan kejadian itu, lalu dengan kehormatan dan belas kasihan, Allah menurunkan kitabnya supaya manusia dapat membaca dan memahami kalimah-kalimah Allah. Tujuannya yang utama adalah untuk menegakkan kepercayaan Tauhid (percaya kepada Allah Yang Maha Kuasa), menghindarkan mereka daripada syirik, pengaruh hawa nafsu yang liar dan mengajar mereka supaya mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. 

Dengan limpah rahmat Allah, selepas kebangkitan Nabi Muhammad yang membawa agama terakhir kita, seyogianya kita dapat melihat berjuta-juta kaum Muslimin termasuk para ulama, ahli-ahli dakwah Islamiah bertebaran dimuka bumi ini untuk mengajar al-Quran dan segala ilmu agama Islam di segenap dunia. 

Islam memberitahu ia hidup, (kehidupan) kemudian setelah mati maka perlulah dan sudahlah difikirkan dari sekarang, apakah bekalan yang akan dibawa bersama untuk hari esok kelak. 


Maksudnya :“ Sesungguhnya agama yang benar dan diredhai pada sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah (tentang) hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur (ingkar) akan ayat-ayat (keterangan) Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabnya. ” (Surah al-Imran)

1) Kandungan Islam
a) Akidah
Akidah merupakan fundamental (garis dasar) dalam Islam. Ia menjadi titik permulaan untuk menjadi seorang “Muslim” yang sejati. Aktiviti keislaman dalam kehidupan seseorang itu menunjukkan bahawa mereka memiliki akidah yang tinggi setara dengan nilai iman yang ada pada diri. 

Perkataan akidah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan. Mengikut istilah syarak, akidah difahamkan sebagai kepercayaan yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa sehingga tidak mungkin akan terlerai atau terurai oleh apa-apa cara sekalipun. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala :- Maksudnya : “ Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah al-Baqarah : 256)

Elemen-elemen akidah adalah seperti berikut :
1. Percaya kepada Allah. 
2. Percaya kepada para Malaikat. 
3. Percaya kepada Kitab-kitab. 
4. Percaya kepada para Rasul. 
5. Percaya kepada Hari Qiamat. 
6. Percaya kepada Qada’ dan Qadar. 
b)
c) Syariah
Perkataaan syariah berasal daripada bahasa Arab, “Syir’ah” yang bermaksud jalan atau jalan yang lurus atau sumber air. Menurut perundangan Islam, syariah ialah segala hukum yang diperundangkan Allah Subhanahu wa ta’ala. ke atas hamba-Nya supaya mereka beriman dan beramal dengan-Nya yang boleh membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Sesungguhnya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariah (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariah itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). ” (Surah al-Jathiah : 18) 

Sumber-sumber perundangan Islam yang masyhur terutamanya di kalangan jumhur ialah :
i. Al-Quran
ii. Al-Hadis
iii. Al-Ijmaks
iv. Al-Qias


Syariah meliputi seluruh tingkah laku dan perbuatan manusia. Ia adalah rangkaian penetapan tugas, mengatur cara-cara beribadah, asas kehidupan dan bermasyarakat, yang merangkumi bidang muamalah dan sivil yang menjelaskan perkara yang halal dan haram untuk kebahagiaan hidup manusia sama ada di dunia dan di akhirat. 

d) Akhlak
Akhlak berasal daripada bahasa Arab yang bererti tingkah laku, tabiat perangai dan bentuk peribadi. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin, akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, yang dengannya lahir perbuatan hasil daripada pancaran hati sanubari dalamannya. 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang bermaksud : “ Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. ” (Riwayat Malik)

Akhlak dalam Islam adalah menyeluruh. Ia menjadi dasar kepada tatacara kehidupan insan, baik hubungannya dengan Allah, manusia mahupun alam seluruhnya. Oleh itu, akhlak dapat dihuraikan dalam tiga bentuk hubungan :
i. Akhlak manusia terhadap Allah. 
ii. Akhlak manusia sesama manusia. 
iii. Akhlak manusia terhadap makhluk yang lain. 


I. Ciri-ciri Islam
Islam dapat disebutkan seperti berikut :
• Rabbani 
Islam adalah agama yang datang dari Allah. Ia merupakan wahyu yang bersih daripada campur tangan manusia. Islam sebagai agama rabbani sudah tentu mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang sesuai dengan pencipta-Nya Yang Maha Tinggi. Oleh itu, Islam adalah berbeza dengan agama lain yang dicipta atau diilhamkan oleh penciptanya yang bersifat lemah (manusiawi) seperti agama Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain yang diistilahkan sebagai agama budaya. 

• Syamil dan Kamil
Dalam konteks kesyumulan Islam, menunjukkan Islam bukan sahaja merupakan agama yang berbentuk teori semata-mata, bukan hanya berbentuk lisan dan pertuturan sahaja, tetapi Islam adalah agama yang mencakupi seluruh kejadian manusia dalam bidang kehidupannya. 

Daripada aspek kesempurnaan Islam, seluruh sistem yang ada dalam Islam adalah bersifat sempurna dan tiada cacat celanya. 

• Waqi’i dan Praktikal
Sebagai contoh, iman merupakan elemen yang terpenting dalam Islam. Namun, tujuan ini tidak akan dapat dicapai dengan hanya bergantung kepada pengakuan yang ada di dalam dhamir seseorang semata-mata, malah ia perlu dibuktikan kebenarannya dengan pengakuan lidah dan beramal dengan perbuatan tersebut. 

• Tinggi atau Agung
Keagungan dan ketinggian Islam adalah bertitik tolak daripada keseluruhan sifat kesempurnaan Allah iaitu ke-Esaan dan ke-Tunggalan-Nya. Islam agung kerana tidak ada agama yang setanding dengannya. 

Allah Subhanahu wa ta’ala. berfirman : Maksudnya : “ Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam…” (Surah Ali-Imran : 19) 

Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. bersabda yang bermaksud : “ Islam itu tinggi tidak ada yang lebih tinggi darinya. ”

• Alami atau Sejagat
Islam bersifat universal. Ia tidak diturunkan untuk sesuatu kaum atau diturunkan kepda sesuatu tempat tertentu sahaja, malah ia diturunkan untuk seluruh alam. 

Allah Subhanahu wa ta’ala. berfirman : Maksudnya : “ Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. ” (Surah al-Anbiya’ : 107)

Islam juga tidak diutuskan kepada kaum atau puak tertentu. Oleh itu, Islam tidak menilai kemuliaan seseorang itu berdasarkan kepada keturunan, warna kulit dan wajah atau rupa bentuk. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. dalam menegaskan hal ini :
Maksudnya :“ …Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…” (Surah al-Hujurat : 13)

II. Tujuan Islam
Antara tujuan agama Islam diturunkan ialah :
Ø Mendidik manusia supaya mengenal pencipta-Nya. Oleh itu, pengenalan terhadap agama dan sumbernya yang pasti merupakan pengenalan yang hakiki iaitu sampai kepada natijahnya yang sebenar. Dari itu, manusia dapat mengenal pencipta-Nya, Allah Subhanahu wa ta’ala. melalui firman Allah yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. 
Ø Mengajar dan memandu manusia supaya dapat mengerjakan ibadah dengan tepat seperti mana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. 
Ø Melahirkan insan berkualiti yang berupaya memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi. Islam menjadi kayu pengukur yang dapat melahirkan insan yang benar-benar berjaya dan berkualiti di sisi Allah dan juga dalam kalangan manusia seluruhnya. 

Ø Adanya jaminan untuk keselamatan diri dan harta. Allah menurunkan syariat-Nya agar manusia itu dapat hidup dalam keadaan yang terjamin keselamatan diri dan harta bendanya. Dengan adanya syariat, kerosakan di muka bumi dapat dibendung. 
Ø Manusia memerlukan tempat bergantung. Hanya kepada Allah tempat bertawajjuh dan bergantung harap. Pengharapan kepada yang lain dari-Nya, tidak akan mendatangkan apa-apa hasil malah akan membawa kekecewaan dan penyesalan yang tidak berkesudahan. 
Ø Untuk mendapat balasan baik yang berkekalan. Dalam Islam, hidup akhirat merupakan destinasi terakhir perjalanan kehidupan manusia. Maka di sinilah balasan yang kekal dan abadi diperolehi. Dengan ketundukan dan kepatuhan kepada Allah; dengan memenuhi seluruh syarat yang telah ditentukan di antara hamba dan Allah, maka barulah nikmat hidup bahagia di akhirat dapat dicapai. 

1) Syariat Islam
I. Tujuan / matlamat syariat Islam
v Memelihara agama. 
Membebaskan fikiran manusia daripada dibelenggu taklid dan khurafat. Islam mengajak manusia supaya beriman kepada Allah serta menjauhi perkara-perkara mungkar dan syirik. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. bersabda :
“ Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan. ”

Sahabat-sahabat baginda bertanya :
“Apakah dia perkara-perkara itu Ya Rasulullah?” Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam. menjawab : “(salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah. ”
 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

v Memelihara jiwa (nyawa manusia)
Syariat Islam melarang keras perbuatan membunuh kerana ia adalah dosa terbesar selepas syirik. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang bermaksud : “ Dosa yang paling besar ialah menduakan Allah dan membunuh manusia. ”

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. :Maksudnya :“…Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya…” (Surah al-Ma’idah : 32)

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. :Maksudnya :“…Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. ” (Surah al-An’am : 151)

v Memelihara akal, Akal adalah anugerah Allah yang istimewa kepada manusia. Perkara-perkara yang membawa kepada kemusnahan akal hendaklah dijauhi. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungannya. ” (Surah al-Ma’idah : 90) 

Jika berinteraksi akal dengan objek-objek yang diperhatikan itu tidak aktif, akan mengakibatkan proses berfikir akan lemah. Manusia akan kehilangan fungsi kemanusiaan dan kehidupannya. Nilai manusia akan hilang disebabkan mengikut naluri tanpa mempunyai tujuan yang suci dalam hidupnya. 


Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahanam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. ”
 (Surah al-A’raf : 179) 

v Memelihara harta
Islam mengharamkan riba, judi, menipu, rasuah, mencuri, merompak dan amalan-amalan yang membawa unsur-unsur negatif serta terlarang di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. bahkan amalan itu akan menerima balasan dosa. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang-cupak) dari orang-orang lain, mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat dan menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidaklah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya). ” (Surah al-Mutaffifin : 1-5) 

Memelihara kehormatan / maruah
Segala perbuatan yang menjatuhkan maruah seperti mengumpat, menuduh, memfitnah dan menghilangkan kehormatan dan kesucian keturunan seperti zina adalah dilarang keras. Hukuman bagi penzina yang belum berkahwin ialah 100 kali sebatan dan hukuman bagi pesalah zina yang sudah berkahwin ialah hukuman rejam sampai mati. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina…” (Surah al-Isra’ : 32)

II. Keistimewaan syariat Islam
a) Syariat Islam
§ Syariat Islam ialah hukum-hakam, peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang ditentukan dari Allah kepada manusia melalui perantaraan Rasul-Nya yang termaktub di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia dipertanggungjwab untuk memahami dan melaksanakannya tanpa ragu-ragu. 
§ Sempurna – Segala hukum, konsep, prinsip, nilai dan sebagainya adalah bersifat sempurnASyariat Islam juga mampu menyelesaikan masalah manusia pada setiap zaman dan di mana sahaja mereka berada. 
§ Menyeluruh (Syumul) – Syariat Islam merangkumi bidang-bidang akidah, muamalat, jenayah, ekonomi, politik, akhlak dan sebagainya. 

b) Adil
Syariat Islam tertegak atas keadilan. Keadilan yang dimaksudkan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak tanpa sebarang kekurangan. Keadilan akan berlaku melalui sistem hukuman dan kehakiman, juga dengan galakan dan ancaman seperti pujian, sanjungan, celaan, kritikan dan kecaman. 

c) Bersumberkan wahyu Sumber kepada syariat Islam ialah al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan. ” (Surah al-Nahl : 44)

d) Kesesuaian dengan fitrah manusia
Allah mengetahui kelemahan, kekuatan, sesuatu yang diperlukan oleh manusia, sistem dan undang-undang yang dapat menjamin kepentingan manusia di dunia dan di akhirat. Allah menentukan sistem dan undang-undang itu sesuai dan serasi dengan fitrah manusia. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupan…” (Surah al-Baqarah : 286) 

Sistem politik, ekonomi dan sosial Islam
Ø Sistem politik Islam
Syariat Islam meletakkan kuasa mutlak dalam sistem politik dan pemerintahan hanya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. semata-mata. Pemerintah hanyalah seorang individu dari kalangan rakyat tetapi beliau lebih berat menanggung beban dan tanggungjawab. Sebagai seorang pemerintah, beliau mestilah menjadikan al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. sebagai perlembagaan. 

Dalil daripada al-Quran : Maksudnya : “ Dan kamu sekali-kali bukanlah seorang perkasa terhadap mereka. Maka beri peringatanlah dengan al-Quran terhadap orang yang takut kepada ancamanku. ” (Surah al-Qaaf : 45)

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, Rasul-Nya dan Ulil Amri di antara kamu kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. ” (Surah al-Nisa’ : 59)

Ø Sistem ekonomi Islam
• Perniagaan 
Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. menggalakkan perniagaan tetapi mengharamkan riba dan segala perbuatan curang sama ada pihak penjual atau pembeli. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Orang-orang yang makan (mengambil riba) tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata, sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba pada hal Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba…” (Surah al-Baqarah : 275)

• Pertanian 
Islam menggalakkan umatnya menjalankan dan mementingkan aktiviti-aktiviti pertanian. Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kepentingan pertanian. 
Maksudnya : “ Dan di bumi ini terdapat bahagian-bahagian yang berdampingan dan kebun-kebun anggur, tanam-tanaman dan pohon kurma yang bercabang dan yang tidak bercabang, disirami dengan air yang sama. Kami melebihkan sebahagian tanam-tanaman yang lain tentang rasanyASesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir. ” (Surah al-Ra’d : 4 )
• Perusahaan / perindustrian
Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. sentiasa menggalakkan umat Islam supaya melibatkan diri dalam bidang perindustrian agar segala hasil dapat digunakan sebaik mungkin untuk kemakmuran sejagat. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Dan kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, supaya mereka dapat makan dari buahnya, dan dari apa yang diusahakan oleh tangan mereka. Maka mengapakah mereka tidak bersyukur?” (Surah Yasin : 34-35)

Ø Sistem sosial Islam
Sebagai contohnya, dapat dilihat pembentukan keluarga yang bermula dengan perkahwinan (nikah). Menurut bahasa perkahwinan (nikah) ialah berkumpul dan bercampur. Terdapat empat cirri utama untuk memilih bakal suami atau bakal isteri berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang bermaksud : “ Wanita itu dikahwini kerana empat perkara : iaitu hartanya, keturunannya, kerana kecantikkannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang beragama (beriman) nescaya kamu akan bahagia. ” (Riwayat Bukhari, Muslim) 

Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. menggalakkan agar mengutamakan gadis-gadis yang dapat melahirkan anak. Sabdanya bermaksud : “ Kahwinlah dengan wanita yang banyak keturunan dan penyayang kerana aku suka dengan jumlah umatku yang banyak. ” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban)

2) Peranan hadis dalam kehidupan
1. Bidang akidah
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. : Maksudnya : “ Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan Malaikat-Nya dan segala Kitab-Nya dan para Rasul-Nya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir baik dan jahat. ”

2. Bidang ibadah
Manusia dapat mengetahui intisari dan maksud ayat-ayat al-Quran serta ketegasan (kuatkuasa) sesuatu hukum, masalah-masalah yang berhubung dengan soal-soal ibadat sama ada wajib, sunat, haram dan makruh. Begitu juga tentang tanggungjawab manusia melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran. 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang bermaksud : “ Daripada Abi Abu Sa’id al-Khudri r. a. berkata : Aku dengar Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. bersabda : Barang siapa antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika sekiranya ia tidak berkuasa maka hendaklah ia mengubah dengan lidah, jika sekiranya tidak juga berkuasa maka hendaklah ia mengubah dengan hatinya. Dan yang demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman. ” 


3. Bidang syariah
Peranan hadis di bidang ini dapat dilihat kesempurnaannya dengan memperjelas secara terperinci tentang sesuatu hukum pada peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Peristiwa berikut dapat membuktikan hakikat ini. 
“ Pada suatu hari, seorang wanita yang tidak siuman telah dibawa ke hadapan Khalifah Umar al-Khattab. Wanita tersebut telah melakukan zina dan mengakui kesalahannya. Lantas ‘Umar memerintahkan agar dia direjam. Ali bin Abi Talib r. a. membantah dan berkata : “Apakah tuan hamba memerintahkan agar wanita itu direjam?’ Ya, Jawab Umar. ” “ Lupakah tuan hamba bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. telah bersabda : Tiga perkara yang dimaafkan iaitu orang gila yang tidak waras akalnya, orang yang tidur sehingga ia jaga dan kanak-kanak sehingga ia baligh. Demikian jelas Ali r. a. Anda benar, tegas ‘Umar. Lantas wanita tersebut dibebaskan. ”

4. Bidang akhlak
Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil daripada iman yang sebenar. Tanpa akhlak, ibadat hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. :
Maksudnya :
“ Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-ceraikan kamu dari jalan-Nya…”
 (Surah al-An’am : 153)
3) Kepentingan akidah dalam kehidupan manusia
v Akidah sebagai asas
Akidah dikira sebagai asas Islam. Akidah yang rosak mengakibatkan runtuh pegangan Islam seseorang. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa ta’ala. menurunkan wahyu-Nya dan memberi penumpuan yang serius terhadap persoalan akidah supaya setiap orang Islam selamat akidah dan sejahtera kehidupannya. 

v Akidah sebagai penentu / pendorong
Akidah adalah penggerak dan mencorakkan kehidupan. Biasanya mereka yang tidak memiliki akidah yang jelas dan betul akan menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan dan terdedah kepada pelbagai kemungkaran seperti melakukan jenayah, keruntuhan akhlak dan lain-lain. 












4) Islam sebagai cara hidup yang lengkap dan bersistematik
§ Agama yang sempurna dan lengkap
Islam memiliki sifat-sifat dasar iaitu kesempurnaan, penuh nikmat, diredhai dan sesuai dengan fitrah. Sebagai agama, sifat-sifat ini dapat dipertanggungjawabkan dan menjadikan pengikutnya dan penganutnya tenang, selamat dan bahagia dalam menjalani kehidupan. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya: “ Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. ” (Surah al-Rum : 30)

Kesempurnaan Islam ini ditandai dengan syumuliyatuz zaman (sepanjang masa), syumuliyatul minhaj (mencakupi semuanya) dan syumuliyatul makan (semua tempat). Islam sebagai syumuliyatul minhaj (mencakupi semuanya) melingkupi beberapa aspek lengkap yang terdapat dalam Islam itu sendiri, misalnya jihad dan dakwah (sebagai penyokong / penguat Islam), akhlak dan ibadah (sebagai bangunan Islam) dan aqidah (sebagai asas Islam). Aspek-aspek ini menggambarkan kelengkapan Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. 


Islam sebagai syumuliyatul makan (semua tempat) kerana Allah menciptakan manusia dan alam semesta ini sebagai satu kesatuan. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Dan Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh tanda-tanda bagi kaum yang memikirkan. ” (Surah al-Baqarah : 163-164)

Manusia dikurniakan akal (sebagai salah satu kelebihannya), ia juga sebagai khalifah di muka bumi, namun demikian manusia tetap harus terikat dan tunduk pada hukum Allah. Alam diciptakan oleh Allah dan diperuntukkan bagi kepentingan manusia. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Tidakkah kamu perhatikan, sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentingan) apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untuk nikmat-Nya lahir dan batin. ” (Surah al-Luqman : 20) 

Kesempurnaan Islam yang mengatur seluruh aspek kehidupan manusia dan merupakan satu-satunya ad-din yang diredhai Allah Subhanahu wa ta’ala. menjadikannya satu-satunya agama yang benar dan tak terkalahkan. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Dialah yang Telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai. ” (Surah al-Taubah : 33) 

5) Islam menumbuhkan kebudayaan dan peradaban yang unik
• Islam membentuk kebudayaan
Islam hanya mengenal dua jenis masyarakat sahaja iaitu masyarakat Islam dan masyarakat jahil. Masyarakat Islam ialah masyarakat yang melaksanakan perintah agama Islam daripada aspek aqidah, ibadah, syariat, sistem, budi pekerti dan tingkah laku. Bagi masyarakat jahil pula, mereka ialah masyarakat yang tidak melaksanakan segala perintah agama Islam, tidak diperintah oleh aqidah dan konsepsi Islam, nilai dan timbangan Islam, sistem dan syariat Islam, budi pekerti serta tingkah laku Islam. 

Masyarakat Islam bukanlah suatu masyarakat yang menciptakan jenis Islam khusus untuk dirinya sendiri melainkan perkara yang telah ditetapkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. kemudian diberikan nama seperti “Islam Modern”. Masyarakat jahil membentuk suatu masyarakat yang tidak mempercayai Tuhan, memberikan pentafsiran dialektis kepada sejarah dan melaksanakan sebuah sistem yang dinamakan “Sosialisme Ilmiah”. Masyarakat ini juga tidak mengamalkan syariat Allah dalam sistem kehidupan. Ia membolehkan manusia menyembah Allah di masjid-masjid, gerej-gereja dan sinagog tetapi tidak boleh meminta mereka berhukum dengan syariat Allah dalam kehidupan mereka. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. : Maksudnya : “ Dialah Tuhan (Yang disembah) di langit dan Tuhan (Yang disembah) di bumi…” (Surah al-Zukhruf : 84)

Hanya masyarakat Islam sahaja yang dijaga oleh Allah Yang Satu, yang mana manusia telah meninggalkan perbudakan manusia dan hanya menjadi hamba Allah sahaja. Hal inilah yang menjadi pusat dari kebudayaan manusia iaitu yang melambangkan ketinggian martabatnya sebagaimana yang telah ditakdirkan Allah Subhanahu wa ta’ala. 

Masyarakat yang berkebudayaan ialah di mana manusia berkumpul berdasarkan sesuatu faktor yang berhubungan dengan kehendak bebasnya dan kebebasan memilih mereka secara peribadi. Bagi suatu masyarakat di mana manusia berkumpul atas dasar sesuatu faktor yang berada di luar kehendak manusiawi mereka, maka mereka ialah suatu masyarakat yang terbelakang atau menurut istilah Islam, disebut masyarakat jahil. 

Jikalau kemanusiaan manusia itu telah menjadi nilai tertinggi dalam suatu masyarakat dan ciri-ciri khas kemanusiaan dalam masyarakat itu telah menjadi suatu hal yang dimuliakan dan dipandang, maka masyarakat itu adalah suatu masyarakat yang berkebudayaan. Walaubagaimanapun, kalau yang menjadi nilai tertinggi itu ialah benda, sebagaimana dalam pentafsiran Marxis terhadap sejarah atau dalam bentuk “produksi materi” sebagaimana di Amerika dan masyarakat lain yang menganggap produksi materi itu mempunyai nilai tertinggi, maka masyarakat itu ialah masyarakat yang terbelakang atau menurut istilah Islam, disebut sebagai masyarakat jahil. 

Allah menyebut dalam al-Quran berkaitan dengan sifat-sifat jahil iaitu :
Maksudnya : “ Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main, dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)? Dan apabila kamu menyiksa, maka kamu menyiksa sebagai orang-orang yang kejam dan bengis. Maka bertakwalah kepada Allah, taatlah kepada-Ku dan berbaktilah kepada Allah yang telah menganugerahkan kepada kamu apa yang kamu ketahui. Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak. Dan kebun-kebun dan mata air. Ssungguhnya, aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar. ” (Surah as-Syu’ara : 128-135) 

• Kemodenan Islam
Pemodenan adalah satu proses yang kebiasaannya membawa kepada kemodenan. Ia bermula apabila masyarakat mula mempersoalkan bagaimana orang ramai membuat pilihan sama ada dari segi moral, peribadi, ekonomi atau politik. Permasalahan dalam membuat pilihan secara rasional adalah penting kepada setiap lelaki dan wanita moden. Setiap orang Islam pada zaman ini perlu menentukan hubungannya dengan kehidupan Islam pada zaman lampau kerana tunjang utama kemodenan adalah asas pembangunan yang dengan sendirinya menolak kehidupan zaman silam. 

Jamal al-Din al-Afghani merupakan individu terawal yang mula merangka idea bagaimana masyarakat Islam patut bertindak balas terhadap apa yang dilihat sebagai satu ancaman dari Eropah. Beliau juga menggariskan keperluan untuk bertindak secara rasional dan menerima idea yang dihasilkan oleh kuasa akal dalam memahami sesuatu perkara. 
Terdapat dua cara untuk mengekalkan kemampuan dan kuasa sesebuah agama. Cara yang pertama ialah penyempurnaan pemahaman dan pengetahuan agama dan ini boleh dilakukan dengan memberi tumpuan kepada satu tahap furu’ iaitu aspek undang-undang agama atau lebih tepat lagi, mengenai usul asas agama. Melalui cara yang kedua iaitu daripada sudut perspektif luaran, ia boleh dilakukan dengan cara bricolage (iltiqat) daripada pelbagai sumber walaupun pendekatan ini mampu memenuhi pelbagai tahap kejayaan. 

Sungguhpun begitu, pihak penggerak mungkin menganggap agama menjadi lemah bukan kerana asasnya menjadi lemah tetapi kerana pengamalnya dan penganutnya telah menjadi lemah. Semua penggerak perlu memberi tindak balas terhadap kehadiran kebekuan, ketegasan dan kelesuan yang terdapat dalam komuniti agama, satu keadaan yang timbul akibat layanan yang diberikan kepada ketulusan keagamaan. 

Kebekuan ini menyebabkan wujudnya dogmatisme, iaitu dimana proses menggunakan daya fikiran tidak digalakkan. Ia merupakan satu proses dimana kesucian dicari melalui sifat ketakutan dan kekolotan. Selain itu, salah satu sifat masyarakat yang mempercayai Allah Subhanahu wa ta’ala. ialah sifat adil sehingga mampu menjadi saksi atas sekalian manusia dengan mempertimbangkan sudut-sudut positif dan negatif sebagaimana Rasulullah menjadi saksi terhadap kaum yang beriman itu. Dengan keadilan, peradaban agama akan kekal kukuh kerana keadilan adalah dasar moral yang kuat bagi semua pembangunan peradaban manusia sepanjang sejarah. Maka, wujudlah kemodenan Islam yang bergerak seiring dengan peredaran masa dan zaman. 


PENUTUP

Daripada huraian-huraian di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa :
Pertama, ajaran Islam bersifat universal iaitu seluruh aturan ada dan terikat untuk seluruh umat manusia tanpa terkecuali. Tidak seperti agama lain yang diturunkan untuk umat agamanya sahaja, segenap peraturan yang ada dalam Islam tidak hanya untuk umat Islam sahaja tetapi terikat juga untuk umat yang lain. 

Selain itu, ajaran Islam sempurna, mengingat Islam sebagai agama yang terakhir telah disempurnakan oleh Allah sehingga mencakupi pelbagai dimensi kehidupan sama ada dari sudut akidah, politik kemasyarakatan, kebudayaan, pertahanan dan keamanan, sosial kemasyarakatan, ekonomi dan sebagainya. 

Akhir sekali, ajaran Islam berwatak harmonis dan seimbang, yakni keseimbangan yang tidak goyah, selaras dan serasi sehingga membentuk ciri-ciri khas yang unik kerana terdapat hukum wajib sebagai bandingan haram, sunah dengan makruh dan ditengahi oleh hukum mubah. Hal yang lainnya adalah menempatkan kewajiban seiring dengan penuntutan hak, menggunakan harta benda tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit dan sebagainya. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com