Tajuk: Islam Adalah Hubungan Manusia Dengan Sesama Manusia

PENDAHULUAN
Lebih 1400 tahun dahulu, Gua Hira yang terletak di Mekah menjadi saksi turunnya suatu agama samawi yang mulia dan benar. Di sinilah Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam menerima wahyu yang pertama dengan turunnya Surah Al-Alaq. Dengan turunnya ayat ini maka dengan rasminya Nabi Muhammad dipilih untuk menyampaikan agama Islam kepada seluruh umat manusia pada waktu itu. 

Turunnya agama Islam bukan sahaja bermatlamat untuk memperbaiki cara hidup jahiliah pada zaman itu tetapi juga untuk memastikan kenstabilan umat manusia hingga ke hari kiamat. Bagi mencapai tujuan itu, Allah Subhanahu wa ta’ala telah memberi kepada umat nabi Muhammad satu buku panduan hidup yakni kitab suci Al-Quran. Islam adalah agama yang mesra kepada penganutnya. Tiada perbezaan kasta dan taraf dalam agama ini. Islam juga adalah agama yang tidak menyusahkan penganutnya asalkan mereka mengikut ajaran agama dengan betul. Tindakan sesetengah pihak yang menganggap Islam adalah agama yang menyusahkan berpunca daripada sikap mereka yang jahil dan buta agama. Islam adalah agama yang dapat menghubungkan manusia dengan sang pencipta iaitu Allah. 

Orang yang bertakwa akan merasakan Allah sentiasa berada hamper dengannya. Bagaimanapun, Islam bukan sahaja agama yang menghubungkan manusia dengan Allah tetapi juga sebagai penghubung antara manusia dengan manusiASistem sosial Islam mengajar kita bahawa zuriat-zuriat manusia di atas muka bumi ini seluruhnya adalah dari keturunan yang satu. Pada mulanya Allah menciptakan satu jiwa sahaja yakni nabi Adam AS. Daripadanya diciptakan pula pasangannya. Dan daripada kedua-dua itulah disebarkan seluruh zuriat manusia yang kita lihat meneroka dan menghuni di seluruh belahan dunia. 

Titihan sepasang manusia ini terus menerus pada mulanya merupakan satu umat dengan agama dan bahasa yang satu, tiada sebarang perbezaan dan perpisahan antara mereka. Tetapi mereka semakin membiak dan bertambah banyak, semakin bertaburanlah mereka di segenap rantau bumi ini, dan kerana inilah mereka pun berpecahlah kepada bermacam-macam bangsa, umat dan suku. Di atas asas teori inilah, Islam mewujudkan untuk masyarakat dunia dari setiap keturunan, tanah air dan bangsa satu pemikiran dan prinsip di mana manusia tidak bersatu di atas konsep keturunan dan perkauman tetapi kesepaduan dengan menggunakan asas akidah yang sama sebagai titik tolak suatu perpaduan. 

Setiap orang yang beriman dengan Allah Subhanahu wa ta’ala sebagai Tuhan serta menerima Al-Quran yang dibawa oleh nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam sebagai panduan hidup yang praktikal, maka jadilah ia sebahagian daripada satu keluarga yang besar yang bernaung di bawah konsep akidah yang sama. Konsep akidah di sini bermaksud ikatan dan kepercayaan yang kuat kepada Al-Quran dan Sunnah. Perbezaan-perbezaan keturunan, kebangsaan dan perkauman di antara merekas langsung tidak diperhitungkan. Malah semua manusia adalah sama di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. 

Tiada yang mulia dan tiada yang hina. Yang membezakan mereka hanyalah ketakwaan. Islam mengajar umatnya mengamalkan ajaran ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan ukhwaniah yang utuh. Islam membahagikan penyatuan umah ini kepada beberapa institusi yang meliputi konsep rumah tangga, ikatan kekeluargaan, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai dan tetamu. Semua konsep ini bernaung di bawah satu panji iaitu Islam adalah agama yang meningkatkan hubungan manusia sesama manusia. Jika panduan hidup yang dicadangkan oleh agama Islam dilaksanakan secara konprehensif dan telus, Insya-Allah perpaduan antara masyarakat Islam yang pernah wujud pada zaman nabi dan sahabat boleh dijelmakan semula. Insy-Allah. 

KEJIRANAN
MENGENAL JIRAN
Siapakah jiran? Jiran ialah semua orang yang tinggal berdekatan dengan kita sama ada di sebelah kiri, kanasn, depan, belakang, atas dan bawah yang dihitung hingga 40 buah rumah dari segenap penjuru. Mereka inilah yang dikatakan sebagai jiran tetangga. Mereka ini mempunyai hak-hak sebagai jiran yang mesti kita penuhi dan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk dipenuhi terhadap kita. 

Asal pengertian jiran ini telah dirujuk dari satu hadis nabi yang diriwayatkan oleh Ath-Tabrani daripada Kaab bin Malik R. A katanya: “Telah mendatangi Rasullullah Sallallahu ‘alaih wa sallam seorang lelaki seraya berkata :Wahai Rasullullah ! Saya tinggal di kampung suku fulan, dan sesungguhnya orang yang paling aniaya kepadaku, ialah orang yang hamper bertetangga denganku. Mendengar itu, Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam pun mengutus Abu Bakar, Umar dan Ali R. A supaya segera mendatangi masjid, dan berdiri di muka pintu, seraya menyeru dengan suara keras:Ingatlah bahawa 40 rumah di sekitar kamu adalah tetangga, dan tiada akan masuk syurga orang yang tetangganya takut akan kecelakaannya”. 

ADAB-ADAB TERHADAP JIRAN
HAK-HAK JIRAN
Terdapat empat hak-hak jiran. Hak-hak tersebut ialah :
1. Jangan sampai ada orang yang menganiayai jiran. 
Penganiayaan terhadap jiran terbahagi kepada beberapa bentuk. Antaranya ialah seperti berzina dengan jiran, menceroboh masuk rumah jiran, mencuri harta benda jiran, mengumpat jiran, memaki hamun jiran dan mengotorkan rumah jiran. Selain itu, perbuatan menyakitkan jiran dengan menggunakan tangan seperti memukul jiran, anak-anak jiran dan haiwan peliharaannya adalah perbuatan yang tidak baik dan dicela. Begitu juga dengan penganiayaan lisan seperti memaki hamun, mengumpat, mengeji dan menceritakan keaiban jiran kepada orang lain juga adalah perbuatan yang dicela. Kita juga disuruh menjaga mata kita daripada melihat aurat jiran. rumah jiran adalah tempat jiran melindungi auratnya daripada dilihat oleh orang bukan muhrim. Atas tujuan itulah apabila kita berkunjung ke rumah jiran kita digalakkan memberi salam jauh daripada rumahnya. Perbuatan mengintai atau mencuri-curi pandang ke dalam rumah atau isi rumah adalah dilarang. Ini penting bagi memelihara kehormatan jiran dan ahli keluarganya. Antara tujuan utama Islam menyarankan penganutnya melakukan sedemikian adalah untuk menjaga kemaslahatan dan hubungan antara manusia sesama manusia. 

2. Melindunginya daripada sesiapa yang berniat tidak baik terhadapnya. 
Sebagai jiran yang baik kita perlu melindungi jiran kita daripada sebarang penganiayaan sebagai tanda kemuliaan hatinya. Kita berkewajipan mengambil berat terhadap kesusahan dan masalah yang dihadapi jiran tetangga kita. Ini dibuktikan menerusi satu hadis nabi yang berbunyi: “Seorang muslim itu saudara kepada muslim yang lain. Tidak boleh menganiayainya dan tidak boleh mensia-siakannya. Barangsiapa yang menyempurnanakan keperluan saudaranya nescaya Allah akan menyempurnakan keperluannya. Dan barangsiapa yang meringankan suatu kesusahan dari seorang muslim, nescaya Allah akan meringankan kesusahan –kesusahan hari kiamat. Dan barangsiapa yang menutup aib seorang muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di hari kiamat”. 

3. Berbuat baik kepada jiran
Selain melindungi jiran dari penganiayaan, kita juga digalakkan menbuat perkara-perkara baik yang lain seperti menyampaikan takziah ketika terdapat kematian, membantu jiran yang dalam kesusahan, menggembirakannya ketika ada kemeriahan, menziarahinya ketika dia sakit, memberi salam, membuat kebaikan untuk dirinya, mengajaknya melakukan kebaikan serta menasihati dalam segala urusan dunia dan akhirat. Hak-hak kejiranan ini mesti kita tunaikan apabila dia memohon bantuan, memerlukan pinjaman terhadap sesuatu barangan, menziarahinya ketika sakit, menyampaikan takziah apabila jiran ditimpa musibah dan membantu mereka jika kita berkemampuan. 

4. Memaafkan segala kesalahan dengan penuh keikhlasan
Satu lagi amalan yang amat digalakkan oleh Islam yang perlu diamalkan dalam adab berjiran ialah sentiasa memaafkan kesalahannya. Banyak kelebihan yang dapat diperoleh apabila kita mampu memaafkan segala kesalahan jiran antaranya ialahialah tidak akan muncul sifat amarah dan dendam terhadap jiran, dapat mengelakkan sengketa yang berpanjangan serta dapat melapangkan hati nurani kita dari segala kemarahan. Untuk apa kita berdendam. Lebih baik lupakan sahaja segala kesalahan jiran kerana tiada manusia yang tidak melakukan kesalahan. Sifat suka memaafkan orang yang menganiaya dan berbuat jahat kepada kita adalah sifat yang mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Akhlak mulia yang kita tunjukkan kepada jiran seperti memaafkan segala kesalahannya adakalanya mampu mengubah sikap jiran kita dari seorang yang jahat kepada peribadi yang baik. 

Itulah antara hak-hak jiran yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan berjiran. Islam sangat menitikberatkan dalam menjaga hak-hak jiran bagi memastikan perpaduan sesame umat Islam dapat dijelmakan dengan sempurna. Inilah yang dimaksudkan dengan Islam adalah hubungan antara manusia dengan manusia. Kebaiakan daripada amalan beradab dengan jiran bukan sahaja boleh dinikmati di dunia bahkan Allah membalas pula kebaikan berjiran dengan ganjaran yang kekal abadi di akhirat kelak. 

PERSAHABATAN
MAKSUD DAN PENGERTIAN SAHABAT
Setiap orang memerlukan seseorang yang istimewa dalam hidupnya. Orang istimewa ini adalah seorang yang boleh dipercayainya. padanya dia akan mencurahkan segala kesusahan dan kesenangan yang akan dikongsi bersama. Itulah dia seorang sahabat. Bukan semua orang boleh digelar sahabat. pengertian sahabat dan kawan adalah berbeza dalam Islam. Sahabat mempunyai ciri-ciri dan peribadi yang istimewa. 

Terdapat hadis yang berbunyi:”Sebaik-baik sahabat itu, orang yang tidak pernah berubah-ubah, meskipun zaman terus berubah-rubah. Sahabat yang baik itu lebih baik dari dirimu, kerana nafsumu itu sangat mengajak kepada kejahatan, sedang sahabat yang baik itu tidak ia menyuruh melainkan kebaikan”. Tingkah laku seseorang itu adalah mengikut tingkah laku sahabat. Oleh itu amatlah penting memilih orang tertentu sahaja sebagai seorang sahabat dalam pergaulan seharian. Persahabatan yang dianjurkan Islam ialah persahabatan kerana Allah Subhanahu wa ta’ala. Persahabatan kerana Allah adalah persahabatan menuju ke jalan-jalan Allah demi mencari keredhaan dalam bersahabat. Kasih sayang antara seseorang ada hubung kaitnya dengan cinta kepada Allah. 

Kalau kasih sayang seseorang itu kuat terhadap allah, maka kuatlah kasih sayangnya kepada sahabat. Hal ini kerana cinta kepada Allah akan melahirkan sebanyak mungkin ketaatan kepada-Nya sebagai bukti pengabdian kepada tuhannya. Orang yang mencari keredhaan Tuhan akan berbuat sebanyak mungkin kebaikan terhadap manusia demi memenuhi tuntutan kepada tuhannya. Inilah besarnya pengertian sahabat mengikut konteks Islam. Persahabatan yang sebenar-benarnya ialah persahabatan yang dapat membawa kejayaan yang hakiki di dunia dan akhirat. Untuk mendapat sahabat seperti ini amatlah susah. Ia bolehlah diibaratkan seperti mencari jarum di dalam padi yang berselerakan. Bagaimanapun, beginilah konsep hubungan antara manusia dengan manusia yang dianjurkan oleh Islam dalam mencari sahabat bagi menjaga hubungan silaturahim antara manusia. 

CIRI-CIRI SAHABAT YANG BAIK
Terdapat beberapa sifat sahabat yang baik yang diceritakan dalam al-Quran. Antaranya ialah:
1. Sentiasa mendorong kita melakukan kebaikan
Seorang sahabat yang baik bertindak sebagai seorang yang dapat memimpin kita ke jalan kebenaran. Dia juga akan berusaha mengingatkan kita supaya sentiasa melaksanakan syariat yang dibawa oleh Islam. Jika kita berhajat melakukan melakukan kebaikan tetapi kita terlupa maka dia akan mengingatkan kita serta berusaha membantu kita melaksanakan kebaikan tersebut. Begitulah fungsi seorang sahabat. Apabila terlupa dia akan mengingatkan dan apabila kita ingat, dia akan berusaha membantu menjayakan perkara kebajikan tersebut. 

2. Tidak terlampau mementingkan hal-hal keduniaan
Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah An-Najm ayat 29 yang berbunyi “Maka berpalinglah engkau dari orang yang tiada memperdulikan peringatan kami, dan ia hanya menginginkan kehidupan dunia semata-mata. ”

Ayat ini dengan jelas menunjukkan Islam menggalakkan umatnya mencari sahabat yang tidak terlalu mementingkan dunia. Islam amat menggalakkan penganutnya supaya mencari sahabat yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dan tidak materialistik terhadap keduniaan. Islam menggalakkan umatnya bersahabat dengan orang begini kerana salah satu cabang yang dapat membawa kita ke syurga adalah melalui sahabatyang mulia budi pekertinya. 

3. Baik budi pekerti
Kata pujangga Islam ada berbunyi “Bersahabatlah dengan seseorang yang berpekerti mulia, seorang sahabat yang berpekerti mulia lebih baik berbanding seribu kawan yang fasik”. Kata-kata ini membuktikan bahawa Islam menyuruh umatnya supaya berusaha mencari sahabat yang baik budi pekertinya serta sentiasa menjaga tingkah lakunya daripada melakukan perkara kufur kepada Allah. Bersahabat dengan orang berperkerti mulia sangat dituntut. Akhlak mulia adalah harga diri. Semua orang suka bersahabat dengan orang yang berakhlak mulia. Orang yang berakhlak mulia selalunya lemah lembut, pemurah, berlapang dada dan suka membantu rakan-rakannya. Kita sebagai hamba Allah sewajarnya mengamalkan segala yang disuruh oleh agama Islam kerana Islam adalah agama yang menghubungkan manusia sesama manusia ke jalan yang lebih baik. 

KELUARGA DAN ADIK-BERADIK
Institusi pertama dan terpenting kedudukannya dalam sistem sosial manusia ialah keluarga. Keluarga adalah institusi terdekat dengan seseorang. Keluarga adalah institusi di mana akhlak setiap generasi dan anak-anak dilatih serta disediakan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah yang berguna. Dalam keluarga, Islam telah melantik suami sebagai ketua kepada isteri dan anak-anak. Islam mewajibkan para isteri untuk mematuhi suami dalam semua perkara yang tidak menyalahi syarak. Ini bertepatan dengan sikap suami yang sememangnya mempunyai tahap keegoan yang tinggi. Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang mementingkan kesempurnaan dalam setiap perkara terutamanya dalam konsep perhubungan antara manusia dengan manusiASelain keluarga, Islam juga menyuruh kita menjaga silaturahim antara adik-beradik. Adik –beradik ialah orang yang mempunyai pertalian darah dan hubungan kekeluargaan dengan kita. Agama Islam sangat menggalakkan kita agar sentiasa berbaik-baik dengan adik-beradik. Islam telah menggariskan beberapa adab yang boleh diamalkan untuk menjaga hubungan kita dengan adik-beradik. Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Menghulurkan bantuan apabila adik-beradik mempunyai masalah
Apabila adik-beradik kita mempunyai masalah, kita sewajarnya berusaha membantunya menyelesaikan masalah tersebut dengan seikhlas hati. Bantuan yang boleh dihulurkan adalah seperti bantuan kewangan, memberi pendapat untuk menyelesaikan masalah tersebut, memberi semangat supaya dia bersabar serta memberi bantuan harta benda seperti kereta apabila dia memerlukannya. 

2. Menziarahinya ketika sakit
Hukum menziarahi orang sakit adalah fardhu kifayah. Apabila adik-beradik kita sakit, kita sewajarnya berusaha untuk menziarahinya. Ini bagi menunjukkan bahawa kita mengambil berat tentang hal ehwal keluarga. Apabila kita pergi menziarahinya, tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan penderitaan yang dialaminyASecara tidak langsungnya ia dapat memberi respon positif terhadap kesihatan tubuh badannya. 

3. Berusaha mengelakkan persengketaan
Sebagai adik –beradik kita mestilah berusaha mengelakkan persengketaan daripada berlaku. Jika berlaku sebarang pertengaran, sebolehnya kita mengambil inisiatif dengan mengalah ataupun berdiam diri. Bukankah nabi pernah berkata berdiam diri itu lebih baik berbanding bercakap perkara yang tidak berfaedah. Islam amat menggalakkan kita supaya sentiasa menjaga hubungan silaturahim dengan sesiapa pun terutamanya dengan orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita. Islam melarang dengan sekeras-kerasnya tindakan memutuskan hubungan silaturahim dengan saudara seagama. Tindakan ini adalah haram dan berdosa besar. Sedangkan tidak bercakap selama 3 hari pun sudah berdosa inikan pula memutuskan silaturahim. Tindakan memutuskan silaturahim dengan adik-beradik boleh menyebabkan kita menghadapi masalah yang besar seperti masalah pembahagian harta pusaka. 
Kesimpulannya kita mestilah sentiasa mengamalkan ajaran Islam dengan sebenar –benarnya supaya perpaduan antara kita dengan orang yang mempunyai pertalian darah dengan kita dapat disambung dengan lebih kuat. 

TETAMU
ADAB MENERIMA TETAMU
Tetamu ialah orang yang berkunjung ke rumah kita untuk tujuan tertentu dalam jangka masa tidak melebihi 3 hari. Islam menggalakkan umatnya memuliakan tetamu. Tetamu yang hadir ke rumah kita adalah pembawa rahmat. Kehadiran tetamu akan membawa rezeki manakala kepulangannya akan membawa dosa kita. Islam menyuruh kita melayan tetamu tidak kira sama ada dia kecil atau besar, tua atau muda, miskin atau kaya serta berdarjat ataupun tidak. Semuanya mesti kita layan dengan sebaiknya. Allah Subhanahu wa ta’ala menyediakan ganjaran yang sangat besar kepada orang yang memuliakan tetamu. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam pernah bersabda”Apabila seseorang tetamu telah masuk ke dalam rumah seseorang, maka ia masuk dengan membawa rezekinya, dan jika ia keluar, keluarnya ia dengan membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu”. Terdapat beberapa adab yang dianjurkan oleh Islam ketika menerima tetamu. Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Bergembira dengan kedatangan tetamu
Apabila terdapat tetamu yang hadir ke rumah, Kita sewajarnya menyambutnya dengan senyuman. Sebaik-baiknya sambutlah tetamu di depan muka pintu. Dengan cara ini barulah tetamu merasa kedatangannya disambut dengan baik. Apabila dia sudah masuk ke rumah, kita perlulah bersalaman dengan tetamu dan menjemputnya untuk duduk. Jika kita mempunyai masalah, cubalah layannya dengan wajah yang berseri-seri dan manis muka. 

2. Bertanya khabar
Apabila tetamu hadir ke rumah, kita perlu memulakan bicara dengan bertanya khabar dan tahap kesihatan dirinya. Kita janganlah berbual dengannya tentang perkara sensitif yang tidak menyenangkannya. Layanlah tetamu dengan cara yang betul seperti bercakap dengan mereka mengikut bidang dan taraf pemikiran mereka. Elakkan daripada menyentuh perkara-perkara yang tidak menyukakannya seperti masalah hutang dan keluarga. 

3. Menyediakan makanan dan minuman
Sekiranya terdapat tetamu yang datang ke rumah kita, kita sepatutnya menyediakan makanan dan minuman. Hidangkanlah makanan yang paling enak ataupun setakat yang kita mampu sediakan. Janganlah pula kita berlebih-lebihan sehingga berlaku pembaziran ataupun berniat untuk berbangga-bangga. Janganlah kita mengangkat hidangan sehingga tetamu selesai makan. Hal ini kerana kadangkala terdapat tetamu yang hendak mengulangi hidangan yang sama. Tindakan seperti ini boleh meyebabkan tetamu terasa hati dan tidak mahu berkunjung ke rumah itu lagi. 

4. Tidak membezakan layanan mengikut taraf
Kita ditegah daripada memberi layanan berbeza kepada tetamu mengikut taraf serta kedudukan. Contohnya apabila majikan kita bertandang ke rumah kita memberi layanan yang istimewa kepadanya manakala jika saudara-mara kita yang berkunjung ke rumah kita membuat seperti tidak endah. Tindakan ini sangat dilarang di dalam Islam. Kita juga dilarang daripada memberi layanan berbeza mengikut agama. Apabila tetamu bukan Islam berkunjung ke rumah kita patut melayannya dengan sebaik-baiknya. Apabila tetamu hendak pulang, sebaiknya iringilah mereka keluar hingga ke muka pintu serta iringilah mereka dengan doa dan ucapan yang baik. 
Allah Subhanahu wa ta’ala sangat menyukai dan merahmati orang yang menghormati tetamu. Hal ini kerana tindakan ini boleh merapatkan hubungan persaudaraan dan tali silaturahim antara masyarakat. Ajaran Islam menghendaki umatnya seniasa menjaga hubungan baik dengan sesiapa pun bagi memastikan perpaduan antara saudara seagama dapat dikekalkan serta dikuatkan. 

HUBUNGAN DENGAN MASYARAKAT ISLAM DAN BUKAN ISLAM

MASYARAKAT ISLAM
Orang Islam bernaung di bawah satu panji kepercayaan yang dinamakan sebagai akidah. Akidah ialah keimanan kepada nilai-nilai murni dan mutlak yang terikat kukuh dalam jiwa seseorang yang tidak mungkin terlerai dengan mudah. Perkataan akidah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan. Bagi mencapai perpaduan dalam masyarakat Islam, kita mestilah mempunyai pegangan akidah yang kukuh. Jika kita lihat hari ini peperangan yang berlaku antara umat Islam sesama umat Islam seperti di Syria, Jordan, Libya dan Iraq, semuanya berpunca daripada pegangan akidah yang lemah. Mereka ini tidak mendalami maksud Islam yang sebenarnya. 

Perkataan Islam itu pun sudah menunjukkan bahawa Islam melarang umatnya berperang sesama sendiri. Perkataan Islam berasal dari perkataan salam yang bermaksud damai dan sejahtera. Peperangan yang berlaku di Negara –negara tersebut berlaku disebabkan perbezaan fahaman dan pendapat. Ini menyebabkan mereka tidak puas hati antar satu sama lain dan tercetuslah peperangan. Orang Islam juga berpegang teguh kepada syariat. Syariat ialah hukum-hukum perundangan yang bertujuan mengatur kehidupan individu, kelurga masyarakat dan NegarASyariat dalam Islam sentiasa berkembang dari semasa ke semasASyariat bersumberkan kepada empat perkara yakni Al-Quran, Al-Hadith, Ijmak ulama dan Qias. 

Peraturan dan perundangan Islam adalah seimbang dan mudah dalam semua perkara. Islam telah menyediakan pelbagai kemudahan dan pilihan dalam menyelesaikan semua perkara. Ini membuktikan Islam adalah agama yang tidak menyusahkan penganutnya. Agama Islam mengajak kita supaya sentriasa berpegang teguh dengan dua perkara ini iaitu akidah dan syariat. Jika kita berpegang teguh dengan apa yang dianjurkan Islam, Insya-Allah perpaduan antara umat Islam akan dapat dicapai dan peperangan antara umat Islam seperti sekarang akan dapat dielakkan. 

HUBUNGAN DENGAN MASYARAKAT BUKAN ISLAM
Agama Islam bukan sahaja menganjurkan kita menjaga hubungan baik dengan saudara seagama tetapi juga dengan orang bukan Islam. Islam menganjurkan kita memberi layanan yang baik kepada orang bukan Islam. Ini untuk menunjukkan kemurniaan Agama Islam itu sendiri. Islam juga menganjurkan kita beberapa kaedah bagi mendekati orang bukan Islam seterusnya mengajak mereka ke arah Islam. Antara kaedah yang dianjurkan Islam ialah:

1. Melalui penghasilan buku ilmiah. Buku-buku ilmiah ini perlulah mempunyai Kandungan yang dapat mendedahkan kebenaran agama Islam. Sebagai contoh buku yang menceritakan pembuktian kajian sains terhadap perkara yang dikatakan oleh Al-Quran. Dengan cara ini orang bukan Islam pasti tertarik untuk terus mengkaji tentang kebenaran agama suci, Islam. 

2. Memberi layanan yang baik. Apabila kita bertemu dengan orang bukan Islam, kita patut menunjukkan sikap dan layanan yang baik terhadap mereka. Tindakan ini penting bagi menepis segala dakwaan Barat yang mendakwa umat Islam adalah pengganas. Apabila kita menunjukkan sikap yang mulia, kita dapat membuktikan kepada orang bukan Islam bahawa kita bukan pengganas serta dapat mengurangkan fenomena Islamofobia yang melanda dunia. 

3. Menggunakan dakwah di dalam media sosial. Di dalam dunia yang dilingkari kemajuan teknologi ini, kita boleh menggunakan media sosial sebagai medan dakwah. Kita boleh menulis hadis-hadis dan terjemahan Al-Quran di dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Dengan cara ini barulah kita dapat menunjukkan kepada dunia tentang Islam dan kemurniaan agama ini. Apabila tindakan ini dilakukan, orang bukan Islam pasti tertarik untuk mendalami Islam seterusnya menganut agama ini. 

PENUTUP
Persaudaraan dan perpaduan yang kuat dalam sebuah masyarakat mesti dimulai dengan membina hubungan yang baik bermula dari akar umbi lagi. Islam memberi panduan hidup dalam perhubungan dengan semua jenis manusia merangkumi sahabat, jiran tetangga, tetamu, masyarakat seagama hinggalah kepada masyarakat bukan bukan Islam. Tujuan Islam mengajak umatnya bertindak sedemikian adalah bertujuan untuk satu matlamat iaitu membina tali persaudaraan yang utuh dengan semua manusia di dunia. Iman adalah pendorong utama kepada segala kebaikan, berkasih sayang dan bantu membantu sesama manusia. 

Bila manusia berlumba –lumba untuk berbuat baik terhadap manusia, akan timbul persaudaraan yang kukuh di antara anggota masyarakat. Dengan perpaduan ini umat Islam akan dapat membuat pembangunan masyarakat yang membawa kepada kemajuan negarASeterusnya dengan perpaduan yang lebih tinggi akan mencetus hubungan kenegaraan untuk membina kesatuan ummah. Oleh itu peliharalah bersama hubungan kemasyarakatan kerana ia bukanlahlah termasuk sebagai suatu peraturan Allah yang sempit. Jadi, berusahalah untuk membina perpaduan yang teguh antara umat Islam bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama yang menghubungkan manusia dengan manusia. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis
MALAYSIA

013-4006206, 011-1070-4212, 011-1078-4731 (H)
04-988-2701 (P), 04-988-2597 (R)