Tajuk: Pengertian Dan Konsep Akhlak

PENGENALAN
PENGERTIAN AKHLAK DAN ADAB
Akhlak dari segi istilah membawa maksud segala laku perbuatan yang telah menjadi adat kebiasaan, apabila dilakukan tidak perlu lagi berfikir panjang (Abul A'la al-Maududi, 1967). Setelah tingkah laku yang telah diamalkan sekian lama dan diterima oleh sesuatu masyarakat sebagai sebahagian daripada cara hidup, itu dinamakan akhlak. 

Istilah akhlak adalah suatu istilah yang bersifatrabbani kerana ia bersumberkan daripada Allah. Firman Allah bermaksud :  “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berakhlak yang agong. ”(al-Qalam: 4)

Adab ialah perkataan Arab yang bermaksud adat iaitu ia membawa maksud kebiasaan, budi bahasa, peraturan pergaulan dan kelakuan yang dicontohi dari orang yang baik akhlaknya. Di permulaan dua abad kebangkitan Islam, perkataan adab mempunyai makna yang dalam dari segi adat dan social. Perkataan asal adab bermakna benda yang bagus, persediaan dan keramaian. Adab di dalam kontek ini adalah sama dengan perkataan Latin Urbanitas, yang bermaksud kebertamadunan, budi bahasa, kehalusan budi pekerti yang terdapat di kota berbanding dengan ketidaksopanan yang dipraktikan oleh orang-orang Badui pada masa itu. Jadi adab sesuatu bermakna perlakuan yang baik dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan. Kata jamaknya ialah adab. Adab al-Islam adalah tingkah laku yang baik yang diakui dan diajarkan oleh Islam. Akhlak dan etiket adalah dua tingkah laku yang tidak semestinya hadir bersama-sama pada diri seseorang. Individu yang akhlaknya negatif mungkin pandai berlakon menunjukkan etiket yang betul. Akhlak mulia sebaik-baiknya disertai dengan etiket yang cantik. 

KEPERLUAN BERAKHLAK DALAM KEHIDUPAN

Menjadi petunjuk ke arah kebaikan dan kebenaran:
•Akhlak bukan sekadar menjadi petunjuk kepada sesuatu perlakuan. Tetapi ia akan member manfaat kepada kehidupan manusia. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. ialah contoh terbaik, kerana baginda memiliki akhlak Islam yang unggul. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud, “Sesungguhnya engkau Muhammad memiliki budi pekerti yang agung. ”

Untuk kesempurnaan iman:
•Dengan mengamalkan akhlak Islam, ia menunjukkan kesempurnaan iman seorang muslim. Apabila iman sempurna, baiklah adabnya. At-Turmizi meriwayatkan hadis Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang bermaksud, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya, dan sebaik-baik antara kamu ialah yang paling baik terhadap keluarga ataupun isterinya. ”

Mendapat keutamaan pada hari kiamat:
•Orang yang berakhlak mendapat kehormatan dan kemuliaan pada hari kiamat. At-Turmizi meriwayatkan hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang sangat aku kasihi dan terdekat padaku majlisnya pada hari kiamat ialah orang yang baik budi pekertinya. Dan orang yang sangat aku benci dan jauh daripadaku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya dan berlagak menunjukkan kepandaiannya. ”

SUMBER
Peradaban di dalam budaya-budaya lain terhasil dari keadaan semasa yang terdapat dalam masyarakat itu dan ia akan berubah-ubah untuk menyesuaikan dengan suasana semasa yang terdapat dalam masyarakat itu. Sebagaimana yang dikatakan oleh W. G. Summer, “Dari desakan keadaan timbullah kebiasaan bagi individu yang kemudiannya berkembang menjadi adat masyarakat itu, tetapi ini berlaku tanpa perancangan dan tanpa disedari”. Manakala adat dan adab di dalam Islam adalah berlainan dari adab-adab lain. Ia berlaku melalui perancangan dan ajaran yang teliti. Ia diceduk dari dua sumber utama bagi umat Islam, iaitu kitab al-Qur’an dan Sunnah Rasul yang merangkumi perkataan dan perbuatan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. Dengan kata lain adab dan kesopanan dalam Islam ditentukan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala melalui al-Qur’an dan RasulNya. 

Al-Qur’an dan Sunnah telah menggariskan peraturan yang luas mengenai kehidupan manusia bagi setiap zaman. Sebagai cara hidup atau way of life yang lengkap, Islam telah menyediakan panduan tentang adab dan peraturan berkaitan dengan ibadah, ekonomi, dan politik sesuatu masyarakat. Islam tidak hanya terhad kepada peraturan ibadah dan undang-undang, tetapi ia merangkumi seluruh aspek nilai dan ukuran, sikap, adat dan kesopanan yang terkandung di dalam perhubungan manusia. 

Di dalam Islam, perlakuan seseorang itu tidak terpisah dari ibadah lainnya malah sentiasa berkait rapat dengan segala aspek kehidupan manusiASebagai contoh, seorang Muslim hendaklah tidur awal di waktu malam agar mudah ia bangun malam untuk bersembahyang sunat. 

Oleh kerana peradaban Islam diturunkan sendiri oleh Pencipta manusia, maka ia amat sesuai dan paling senang diikuti oleh manusia. Perlakuan manusia terbahagi lima iaitu halal, haram, sunat, makruh dan wajib. Suruhan yang wajib mesti dikerjakan dan meninggalkannya adalah salah dan berdosa seperti berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Haram bererti seperti mesti ditinggalkan dan mengerjakannya adalah salah dan berdosaseperti meminum arak. Sunat bererti mengerjakannya dapat pahala tetapi tidak berdosa jika tidak mengerjakannya seperti membasuh telinga apabila berwuduk dan makruh bererti mendapat pahala jika meninggalkannya dan tidak berdosa jika melakukannya seperti makan makanan berbau seperti bawang mentah. Halal bermakna dibolehkan dan kebanyakan perbuatan seperti juga makanan jatuh ke dalam kategori ini. 

Islam tidak bersikap keras sebaliknya mengambilkira keadaan-keadaan tertentu kerana Allah Subhanahu wa ta’ala yang menciptanya tahu masalah-masalah yang akan timbul dan dihadapi oleh manusia di samping maha Mengetahui akan keperluan dan kebaikan bagi manusia. Contohnya daging babi haram dimakan, tetapi ketika lapar yang amat sangat dan tiada makanan lain yang boleh dimakan dan tidak memakannya akan menyebabkan kematian, maka dalam keadaan ini harus bagi seseorang Muslim itu makan daging babi itu sekadar menghilangkan laparnya tetapi tidak sampai kenyang. 

CIRI-CIRI CARA HIDUP DAN PERADABAN ISLAM (KESYUMULAN DAN KESOPANAN)
Islam menentukan segala urusan hidup penganutnya dan perkara ini amat susah difahami oleh orang bukan Islam yang menganggap mereka mempunyai kebebasan mutlak di dalam mengendali dan menentukan cara hidup mereka. Tetapi dalam Islam kebebasan yang diberikan mestilah tidak melebihi batas-batas yang telah ditetapkan. Muslim boleh melakukan apa sahaja dengan cara yang mereka suka selagi tidak menyalahi undang-undang atau hokum yang ditetapkan Allah Subhanahu wa ta’ala. Contohnya dalam hal makanan, Muslim boleh makan apa sahaja, nasi, roti, susu dan seumpamanya asalkan tidak memakan makanan yang dilarang oleh Allah seperti anjing dan babi, makanan curi dan sebagainya. Konsepnya ialah memakan makanan halal yang didapati dan disediakan dengan cara halal. 

Cara hidup Islam adalah satu undang-undang yang lengkap yang merangkumi hamper setiap aspek aktiviti manusia. Oleh kerana ia adalah komponen beberapa bahagian, melaksanakan satu yang lain dan di masa yang sama meninggalkan yang lain akan menjadikan sesuatu itu canggung dan adakalanya tidak bermakna. Muslim yang berkeperibadian tinggi dan kuat imannya akan sentiasa berusaha untuk melaksanakan segala perintah Allah Subhanahu wa ta’ala dan hanya mereka yang benar-benar teguh imannya berusaha untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa ta’ala baik dari segi politik, social, moral, undang-undang, ekonomi dan sebagainya dan perlaksanaan ini pula akan menguatkan lagi iman mereka. 

Perlu diingat bahawa cara hidup Islam bukanlah seperti konsep etiket iaitu cara hidup yang diamalkan di barat di dalam beberapa keadaan dan oleh beberapa golongan tertentu sahaja sedangkan cara hidup Islam mestilah diamalkan oleh setiap Muslim dalam setiap keadaan. Etiket barat adalah untuk melindungi kepentingan golongan kelas atasan sedangkan cara hidup Islam bertujuan untuk mendekatkan umat manusia kepada Allah Subhanahu wa ta’ala pada setiap masa. Ini jelas boleh dicapai kerana dalam setiap perbuatan Muslim itu, samada ibadah khusus atau umum, ketika bergaul, belajar hatta bersuci sekalipun mereka dituntut untuk mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala sentiasa. 

Satu dari asas utama cara hidup Islam ialah ketatatertiban, iaitu unsur yang sangat penting bagi menentukan kekuatan dan kejayaan sesuatu bangsa sebagaimana kejahatan dan peribadi yang buruk akan membawa kerosakan dan kebinasan kepada sesuatu bangsa itu. Kerana penekanan kepada adab dan maruah yang tinggi, cara hidup Islam sering dikatakan tegas dan cerewet atau sangat mementingkan adab sopan sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Muhammad Hamidullah di dalam bukunya Introduction to Islam, “Di dalam beberapa aspek kesopanan, Islam sangat tegas dan lebih berhalus dari mana-mana budaya lain di abad ini. ” Tetapi melihat kepada betapa pentingnya kesopanan dalam menjaga akhlak sesuatu bangsa itu, memangla tepat Islam menghalang segala bentuk punca kerosakan seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan juga hidup bermewah-mewah. Kesenangan dunia tidak harus didapati dengan menindas orang lain dan berpolitik bukanlah kotor sebagaimana anggapan sesetengah orang barat tetapi semua ini hendaklah dilaksanakan mengikut konsep keinsanan manusia. 

Konsep keinsanan manusia berasaskan amal soleh yang dilakukan oleh manusia itu, iaitu manusia yang baik yang banyak mengerjakan amalan baik dan menjauhi amalan buruk dan dilarang. Amalan soleh bukan hanya terhad kepada melakukan ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, mengerjakan haji dan sebagainya sahaja, tetapi tolong-menolong sesama manusia di dalam kebaikan, ziarah-menziarahi, memberi makan kepada anjing yang tidak bertuan, berjimak dengan suami atau isteri juga adalah amalan soleh. Sifat-sifat orang Muslim pula hendaklah tawadduk, sopan, ikhlas dan tidak berpura-purASombong dan angkuh tidak dibolehkan dalam apa jua perbuatan kerana tiada seorang manusia yang lebih tinggi kedudukannya dari seorang manusia lain kecuali mereka yang paling tinggi taqwanya kepada Allah s. wt. 

Cara hidup Islam adalah berlainan dari peradaban barat. Adab Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala menerusi al-Qur’an dan RasulNya tidak bertujuan untuk membahagikan manusia mengikut kelas kaya atau miskin dan Islam juga tidak menganggap peraturan ini sebagai hak atau keistimewaan golongan-golongan tertentu sahaja, malah ia adalah untuk dipraktikan oleh semua umat Muslim. 

MATLAMAT
Di dalam Islam, apa yang ‘penting’ dan ‘utama’ ditentukan oleh apa yang menjadi matlamat di dalam Islam, antaranya ialah masyarakat yang maju dan bertamadun dan masyarakat yang makmur dan bahagia dari segi moral dan harta. Cara hidup Islam menganjurkan umatnya melaksanakan apa yang penting dan menjauhkan diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah supaya umatnya mengenali yang mana satu matlamat dan yang mana alat. Mungkin lebih mudah difahami jika diturunkan beberapa contoh keperluan asas manusia mengikut ajaran Islam:
•Pakaian bertujuan untuk melindungi pemakai dari cuaca panas dan sejuk dan juga untuk menutup aurat. 
•Rumah adalah bertujuan sebagai tempat berlindung dari cuaca dan panas dan dari sebarang gangguan dan ancaman. 
•Kebersihan bukan sahaja melindungi diri dari penyakit tetapi melambangkan sifat perikemanusiaan seorang itu. 
•Solekan dan perhiasan adalah cara wanita untuk kelihatan lebih menarik di hadapan suaminya. 
•Percakapan adalah alat untuk berkomunikasi di mana ia mesti digunakan samada untuk berhubung atau menjual beli. 

Cara hidup Islam diturunkan untuk mengelakkan manusia dari terjerumus ke lembah yang tidak berguna yang tidak menjanjikan apa-apa keuntungan sebaliknya memandu manusia melaksanakan tugasnya seperti yang telah ditetapkan Allah s. wt. Peraturan bagi perlakuan Muslim ialah setiap perlakuan seorang Muslim itu mestilah sentiasa mementingkan hikmah danbaiknya dari segi agama, budaya, social, ekonomi, politik, psikologi, perubatan dan sebagainya. Dan untuk mendapatkan kehidupan yang bahagia dan sihat, semua ini mestilah dilakukan secara menyeluruh dan baik dalam keadaan sedar bukan hanya ikut-ikut sahaja di samping sentiasa memikirkan kepentingan orang lain kerana di antara makna Islam di samping penyerahan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala ialah aman iaitu Muslim ialah seorang yang tidak suka mengganggu orang lain tetapi sentiasa berdamai dengan Allah Subhanahu wa ta’ala dan makhluknya dan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam juga ada bersabda, “Seorang Muslim itu ialah orang yang tidak menyakiti orang lain samada dengan tangan atau lidahnya. ”

SIKAP LEMAH LEMBUT DAN BAIK HATI
Rasulullah menganjurkan sikap baik hati dipraktikkan dalam semua perlakuan umat Islam. Justeru, di antara objektif utama buku ini adalah untuk mengajak umat Islam agar baik dan lemah lembut di dalam semua perkara dan ketika berurusan dengan semua makhluk. Antara contoh-contohnya ialah:
•Bila bercakap, suara hendaklah hanya cukup didengar oleh orang yang cakap berkenaan, tidak perlu terlalu kuat. 
•Perkataan yang buruk atau kasar hendaklah dielakkan. 
•Ketawa hendaklah tidak kuat atau berbunyi tidak enak. 
•Hendaklah cuba menahan tangisan, dan apabila menangus hendaklah dengan sopan, tidak menjerit-jerit dan hendaklah mengesat air mata. 
•Apabila merasa marah, hendaklah seorang Muslim itu mengawal perasaan marahnya dan menjaga batas-batas kesopanan. 
BERTIMBANG RASA KEPADA ORANG LAIN
Menyakiti orang lain baik dari segi perbuatan, perkataan atau moral adalah ditegah oleh Islam. Perbuatan atau perkataan yang dilakukan tanpa menghormati dan memikirkan kepentingan orang lain bukanlah akhlak seorang Muslim. Sesungguhnya, tingkah laku yang baik bagi seorang muslim banyak bergantung kepada sifat timbangrasa dan menjaga kepentingan orang lain contohnya:
•Mencaci atau menghina pegangan atau agama orang lain samada secara terang-terangan atau sindiran adalah dilarang. 
•Apabila di jalan seorang Islam hendaklah menjauhi sikap dan perbuatan yang akan menyakiti, mengendalakan atau menggangu orang lain seperti berludah atau membuat bising. 
•Mencaci atau menyebut kelemahan orang lain adalah dilarang sekalipun orang itu telah menghina atau menyebut kesalahannya. 
•Bergurau senda menggunakan perkataan yang tidak enak atau memalukan orang lain adalah ditegah. Begitu juga menghina orang lain melalui sindiran atau umpatan atau tekaan adalah dilarang. 
•Menunjukkan reaksi bahawa makanan yang dimakan tidak enak ketika makan hendaklah dielakkan kerana ini mungkin akan menggangu atau menyedihkan perasaan orang lain. 

PERANAN CARA HIDUP DAN PERADABAN ISLAM DI DALAM PERGAULAN
Di antara matlamat utama peradaban Muslim ialah menjalin hubungan dan mengukuhkan ukhuwah dan sebagaimana yang akan dapat kita lihat, sifat-sifat yang perlu ada bagi seorang Muslim itu ialah jujur, menghormati orang lain, amanah, dapat menahan marah, sabar, rendah diri, baik hati dan sebagainyASifat atau nilai-nilai yang baik ini akan menanamkan kepercayaan di hati orang lain dan seterusnya akan mengekalkan hubungan yang harmoni. 

Di dalam Islam, seorang Muslim itu tidak hanya wajib menjauhkan diri dari menyakiti orang lain dan menyukai bagi orang lain apa yang disukainya, tetapi ia mestilah bertanggungjawab ke atas saudaranya dan menghulurkan bantuan apabila diperlukan. 

Juga kita akan lihat bagaimana peraturan yang hanya mementingkan adat istiadat atau formaliti di dalam Islam sangat minimum berbanding dengan etiket barat. Ini kerana Islam mahukan umatnya merasa lebih mudah dan tidak canggung dalam pergaulan. Dengan itu Muslim akan lebih senang untuk saling bertemu dan ziarah-menziarahi tanpa terikat kepada adab remeh-temeh yang ketat. 

Contohnya menziarahi samada orang sihat atau orang sakit dan juga ketika kematian dan bertukar-tukar hadiah akan sentiasa mengeratkan ukhuwah di mana ini lebih ditekankan di antara saudara dan jiran. Islam menganjurkan umat Islam selalu mengadakan jamuan ketika perkahwinan, sambutan, kelahiran dan sebagainya kerana makan bersama akan mengeratkan hubungan dan menambah perasaan kasih di dalam masyarakat tanpa mengira status dan inilah sebabnya mengapa Islam melarang keras mengundang hanya orang kaya dan melupakan orang miskin dan memanggilnya jamuan yang paling buruk. 

Pergaulan seharusnya tidak mengandungi unsur-unsur mementingkan diri atau ‘ada udang di sebalik batu’ tetapi hendaklah ikhlas hanya kerana Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru Muslim hendaklah menolak hadiah atau mengandungi apa-apa maksud tersembunyi lainnya. 

Pergaulan digalakkan secara perjumpaan beramai-ramai dan inilah sebabnya Islam mewajibkan sembahyang berjemaah di masjid setiap Jumaat dan menganjurkan sembahyang sunat hari raya kerana di sinilah umat Islam akan berkumpul dan saling berkenalan. Perjumpaan yang paling besar ialah ketika mengerjakan haji di Mekah dengan dihadiri oleh hampir dua juta Jemaah haji dari pelbagai negara dan bangsa setiap tahun. 


CARA HIDUP DAN PERADABAN ISLAM DALAM HAL-HAL AGAMA
•Nama yang membawa maksud hamba kepada selain dari Allah seperti Abdul Nabi (hamba Nabi) adalah haram. 
•Mencaci alam seperti angina, hujan dan rebut yang hanya bekerja mengikut arahan Allah adalah haram dan begitu juga menyesali nasib kerana ini membawa maksud mencaci perbuatan Allah. 
•Kata-kata yang menyalahi tauhid kerana menyekutukan Allah seperti ‘Ini adalah kerana kehendak Tuhan dan si anu’ ataupun “Ini adalah kerana bantuan Allah dan Kamu” adalah haram. 
•Menyembelih binatang hendaklah dengan nama Allah dan jika tidak disebut nama Allah atau disebut nama lain, maka sembelihan itu batal dan daging itu haram dimakan. 
•Apabila ada kematian ucapan seperti “Hilanglah tempat aku bergantung” atau ‘dia pergi terlalu awal’ adalah haram kerana mengandungi unsur syirik. 

Sentiasa berpegang teguh kepada cara hidup dan peradaban Islam akan menjauhkan sesseorang Muslim dari mendekati bidaah baik, bidaah yang tergolong dalam ibadah yang baru dicipta mahupun tokok tambah kepada sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. 

Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam telah bersabda “Sesiapa yang mengadakan ibadah lain dari yang diajarkan, adalah itu bidaah dan ditolak. ”dan sabdanya lagi, ”Berhati-hatilah dengan perkara yang diada-adakan (berkenaan dengan ibadah) kerana setiap bidaah adalah salah dan setiap kesalahan akan dihumban ke dalam api neraka. ”

Apa sahaja yang ditambah atau dibawa ke dalam Islam adalah bidaah dan ditolak kerana kesan bidaah ke dalam kehidupan sangat besar kerana ia menukar Islam dari agama yang mudah kepada agama yang sukar dipraktikan hingga akhirnya tidak ada langsung orang yang merasa mampu dan berminat untuk mengamalkannya. Bidaah tidak harus dikelirukan dengan ijtihad yang menggunakan pendapat individu untuk mentafsirkan Qur’an dan Sunnah yang selaras dengan perinsip asas Islam dan hanya boleh dilakukan oleh ulama muktabar

Antara bidaah yang telah menular ke dalam masyarakat Islam kini ialah:
•Beberapa cara agama telah diperkenalkan ke dalam Islam iaitu sambutan Maulud Nabi di mana perarakan beramai-ramai diadakan. Sepatutnya acara mengenang peristiwa bersejarah ini hendaklah diisi dengan majlis ilmu seperti mengadakan ceramah atau seminar agar umat Islam lebih menghayati perjuangan Rasulullah dan berusaha untuk mengikutinya. 
•Membaca Qura’an dan berzikir kepada Allah dengan kuat ketika acara pengkebumian. 
•Amalan membuat kenduri di pihak keluarga si mati di hari ke-40 dan ke-100 kematian. Sepatutnya saudara-mara dan sahabat-sahabat si matilah yang harus membuat kenduri memberi makan kepada keluarga si mati yang masih bersedih. 
•Amalan menghiasi kubur bukanlah cara Islam

CARA HIDUP DAN PERADABAN ISLAM DARI SUDUT PSIKOLOGI
Satu dari ciri cara hidup dan peradaban Islam yang menyerlah ialah mengambil kira aspek psikologi seseorang seperti contoh-contoh di bawah :
•Talak tidak harus dijatuhkan ketika isteri sedang haid kerana ia sedang mengalami tekanan perasaan. 
•Selain dari menjaga kebersihan, bersuci akan menyegarkan badan dan fikiran dengan berwuduk sebelum mengerjakan sembahyang, mandi setelah berjimak, melahirkan anak dan haid. Mereka yang memandikan jenazah juga disunatkan mandi kerana bagi semua keadaan ini, mereka akan merasa segar kerana mandi dapat menenangkan fikiran dari apa yang mereka alami sebelumnya. 

CARA HIDUP DAN PERADAAN ISLAM DARI SEGI PERUBATAN DAN KEBERSIHAN
Islam mengajar umatnya supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, baik tubuh badan, pakaian, tempat tinggal dan kawasan sekitar untuk menjauhkan penyakit dan juga supaya hati lebih tenang apabila berada di dalam suasana yang bersih. Berwuduk yang diwajibkan untuk mengerjakan sembahyang adalah membasuh anggota badan yang paling terdedah kepada kotoran dan habuk. Memotong kuku disuruh oleh Islam kerana kotoran mudah terkumpul pada kuku yang panjang dan ini tentulah tidak sesuai bagi tangan yang sentiasa digunakan untuk memasak, makan, minum dan berjabat tangan. Membersihkan bulu di tempat-tempat tersembunyi juga disuruh di dalam Islam agar kalenjar peluh akan senang berfungsi dan menghalang kuman dari bersarang di tempat-tempat itu. 

Di antara kotoran yang mesti dihindari oleh seorang Muslim ialah najis dan air kencing kerana air kencing mengandungi kuman yang akan bertukar menjadi gas ammonia yang mengeluarkan bau yang sungguh tidak menyenangkan manakala beberapa penyakit boleh dijangkiti akibat dari menghidu bau najis lamASuruhan agar Muslim tidak makan dengan banyak malah apabila berasa lapar mempunyai kebaikan-kebaikan dari segi kesihatan, social dan moral. Perut mengandungi bahan penerima iaitu usus yang boleh mengembang dan apabila kembung kerana diisi terlalu penuh akan membuat ia rasa sakit dan tidak selesa dan akhirnya akan menyebabkan beberapa penyakit merbahaya. 

Apabila minum Muslim disuruh tidak bernafas ke dalam gelas tetapi hendaklah berhenti dan bernafas di luar gelas kerana karbon dioksida lebih banyak di dalam udara yang dihembus dari udara yang disedut dan kadar karbon dioksida yang tinggi di dalam badan akan menggangu beberapa fungsi otak. Selepas minum susu, Muslim hendaklah mengucap syukur kepada Allah di atas khasiat yang terdapat di dalam susu sebagai minuman yang lengkap dengan zat yang diperlukan oleh tubuh iaitu lemak, karbohidrat dan protein di samping banyak vitamin dan garam galian terutamanya vitamin D, kalsium dan posfat yang kekurangannya boleh menyebabkan penyakit riket kepada anak-anak dan oestomalacia kepada orang dewasa. 

Muslim dilarang menahan bersin sebaliknya hendaklah bersyukur kerana bersin adalah rahmat Allah. Ia disebabkan oleh gangguan pada selaput cecair (hingus) di salur pernafasan atas dan bersin akan menghilangkan kotoran yang menggangu saluran itu. Menahan dari bersin akan menghalang kotoran itu dikeluarkan dan boleh menyebabkan bengkak di tempat ia tertinggal. Menutup mulut apabila bersin adalah disuruh agar tidak mengganggu orang lain dari bunyi dan juga dari bakteria yang mungkin akan menjangkiti orang yang berhampiran. 


Berjimak ketika dalam haid adalah haram dalam Islam kerana ia berbahaya kepada kesihatan atas dua sebab:
•Ketika haid, cervix wanita terbuka dan berjimak akan merangsang kemasukan kuman ke dalam Rahim dan saluran peranakan yang boleh mengakibatkan penyakit dan seterusnya mengakibatkan kemandulan. 
•Kesan mental kepada suami apabila mendapati darah di kemaluannya yang mungkin akan menjijikkannya dan menghindarkannya dari berjimak dengan isterinya. 

Hikmah larangan berjimak melalui dubur ialah kerana ia menyakitkan dan merangsang kepada kecacatan. Tambahan pula, kemaluan lelaki mungkin terkena najis yang mungkin mengandungi kuman yang boleh mendatangkan jangkitan kepada saluran kencingnnya. Ketika sedang haid hormone seks wanita terganggu menjadikan fikiran mereka terganggu dan tertekan atau rasa tidak senang dan ini ternyata dapat dilihat apabila wanita sedang haid. Inilah juga antara sebab wanita tidak diwajibkan berpuasa dan bersembahyang ketika dalam haid. 

Suruhan Islam untuk mengkebumikan mayat seberapa segera memang telah sedia dimaklumi oleh manusia bahawa mayat yang menjadi reput terutama di dalam cuaca panas akan membahayakan kesihatan dan alam sekitar. 

Hikmah megharamkan Muslim menyimpan anjing selain dari sebagai anjing buruan atau penjaga di mana ia mesti ditempatkan di luar rumah ialah kerana air liur anjing mengandungi sejenis kuman yang apabila tersentuh boleh menyebabkan pandangan kabur dan juga penyakit lain di samping sejenis cacing yang terdapat dalam usus anjing boleh dipindahkan ke badan manusia melalui makanan yang bercampur bahan buangan anjing itu boleh menyebabkan penyakit hati dan paru-paru berair. 

PERANAN CARA HIDUP DAN PERADABAN ISLAM DALAM EKONOMI
Peradaban Islam juga menitikberatkan penjagaan ekonomi negara yang sihat dan melarang sikap bermewah-mewah dan membazir di samping menyuruh umatnya berjimat-cermat kerana wang ialah alat yang penting bagi kemajuan sesuatu negara baik di masa aman maupun ketika perang. Wang adalah alat yang penting bagi kemajuan sesuatu negara baik di masa aman mahupun ketika perang. Wang adalah alat yang boleh menyelamatkan sesuatu bangsa jika digunakan dengan betul kerana dengan wang, bangsa itu boleh membeli alat-alat yang canggih untuk memajukan negerinya. Justeru, individu Muslim walaupun kaya tidak seharusnya membelanjakan wang sesuka hati mereka kerana ini akan menimbulkan kesan kepada ekonomi negara. Umat Islam dilarang bersikapberlebih-lebihan dan membazir kerana Allah Subhanahu wa ta’ala telah berfirman di dalam al-Qur’an surah 5 ayat 3 yang bermaksud: “Mereka yang berlebih-lebihan dan membazir adalah kawan syaitan dan syaitan itu tidak bersyukur kepada Allah. ” Beberapa aspek kehidupan boleh menimbulkan kesan kepada mundur atau mantapnya ekonomi seperti contoh-contoh di bawah:
•Bersederhana apabila makan dan minum adalah disuruh dan dilarang membazir makanan walaupun sedikit. Larangan membuang makanan dan membazir akan menjimatkan banyak kewangan negara dan boleh disalurkan ke pelaburan yang menguntungkan. 
•Bersederhana dalam berpakaian adalah disuruh dan pakaian bukanlah matlamat tetapi hanya sebagai alat untuk menutup aurat dan dengan itu hendaklah tidak membazirkan wang dengan berbelanja besar membeli pakaian. 
•Perabot dan peralatan rumah yang lainnya hendaklah sederhana dan tidak menelan berbelanja yang mahal. Perak dan emas hendaklah tidak digunakan bagi perabot atau perkakas rumah dan begitu juga sutera atau sutera broket tidak boleh digunakan pada parabot atau pakaian lelaki. 
•Rumah hendaklah sederhana dan dapat melindungi dari gangguan cuaca dan ancaman pencuri dan bukan mengundang pencuri. Juga tidak boleh berbelanja mahal membina masjid dan menghias samada rumah atau masjid kerana masjid dikira dari segi pemanfaatan atasnya dan bukan dari segi rupa atau belanjanya. 
•Dalam Islam, perkahwinan yang paling afdhal ialah yang tidak menelan belanja yang mahal dan tidak mengandungi perkara-perkara yang membazirkan wang. 

CARA HIDUP DAN PERADABAN ISLAM DALAM PERKAHWINAN DAN KEHIDUPAN BEKELUARGA
Institusi keluarga adalah tempat di mana anak-anak yang menjadi asas masyarakat akan dididik dari segi moral dan nilai-nilai murni di mana nilai-nilai murni ini tidak boleh hidup tanpa institusi keluarga. Hubungan keluarga antara lelaki dan perempuan akan menentukan samada masyarakat itu suatu masyarakat yang bertamadun atau mundur. Melihat kepada betapa pentingnya perkahwinan dan institusi keluarga, banyak ayat Qur’an dan juga sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam mengenai perkara ini, dan di antara anjuran-anjuran ini ialah:
•Muslim disunatkan berkahwin awal kerana perkahwinan akan menambah bilangan saudara antara kedua belah pihak. 
•Muslim hendaklah tidak menjadikan perkahwinan suatu yang susah dilakukan dan dalam Islam perkahwinan yang paling dirahmati ialah yang paling tidak membebankan pengantinnya. 
•Mengadakan kenduri perkahwinan adalah sunat dalam Islam kerana perkahwinan adalah acara ramai dan bukanlah cara Islam untuk berkahwinsecara rahsia. 
•Mengadakan kenduri adalah sunat tetapi memenuhi undangan ke majlis ini adalah wajib jika tiada halangan syarii. 
Islam menitikberatkan kejayaan sesuatu perkahwinan yang dibina dan perkahwinan tidak boleh berjaya jika beberapa syarat tidak dipenuhi:
•Persetujuan dari kedua-dua lelaki dan perempuan untuk mengahwini satu sama lain. 
•Sekufu iaitu terdapat persamaan antara lelaki dan perempuan samada dari segi harta, keturunan atau agama. Pasangan yang paling baik ialah yang sama berpegang teguh kepada agama. 
•Sebagai persediaan perkahwinan, lelaki dan perempuan hendaklah mengetahui tentang keadaan bakal suami atau isterinya dan tahu akan tahap pengetahuan agama yang ada pada bakal pasangannya. 
•Tidak boleh berkahwin mutaah iaitu berkahwin secara kontrak untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja kerana Islam hanya membenarkan niat untuk kahwin seumur hidup. 
•Suami dan isteri dinasihatkan untuk menyelesaikan sebarang perselisihan faham tanpa campur tangan orang lain. 
Di dalam Islam perkahwinan diberikan beberapa keistimewaan mengenai hubungan antara suami dan isteri:
•Lelaki tidak boleh memandikan jenazah wanita dan begitu juga sebaliknya kecuali mahram mereka tetapi suami boleh memandikan jenazah isteri dan sebaliknyASuami juga berhak meletakkan jenazah isteri ke dalam kubur ketika pengebumian. 
•Lelaki dan perempuan tidak boleh melihat kemaluan satu sama lain sekalipun mahram mereka tetapi suami dan isteri boleh melihat kemaluan satu sama lain. 
•Wanita dilarang berkabung di atas kematian saudara termasuk ayah dan adik-beradik lelaki lebih dari tiga hari tetapi balu boleh berkabung atas kematian suaminya selam 100 hari. 


Hubungan anak dengan orang tua juga mempunyai kedudukan penting dalam Islam. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam telah bersabda ‘syurga terletak di bawah tapak kaki ibu’ dan jika sopan santun terhadap orang lain adalah sunat, maka adalah wajib terhadap ibu bapa. 

Tanggungjawab dan kasih saying keluarga amat ditekankan dalam Islam kerana keluarga adalah asas masyarakat dan jika sihat dan aman keluarga, maka akan aman dan sihatlah masyarakat. 

ADAB-ADAB PEREMPUAN DAN LELAKI

Islam mengiktiraf nafsu seks sebagai satu perasaan yang dikurniakan Tuhan dan tiada kejadian yang salah atau tidak betul jika digunakan mengikut lunas-lunas yang ditetapkan. Memang tidak diragukan lagi hubungan seks atau berjimak adalah penting bagi pembangunanindividu dan masyarakat keseluruhannya. Berjimak adalah bukti diri dihargai dan dikasihi dan tidak berjimak akan menyebabkan nafsu terkekang dan mani tertahan yang akan menyebabkan penyakit pada tubuh badan dan mental di samping akan merenggangkan hubungan dan memudaratkan masyarakat. Tetapi seks juga boleh memusnahkan masyarakat jika tidak dilakukan melalui saluran-saluran yang dibenarkan iaitu perkahwinan. Tanpa perkahwinan, seks boleh menjadi senjata untuk memusnahkan individu yang terlibat, institusi kekeluargaan dan seterusnya masyarakat, di mana ia akan dipenuhi manusia yang bernafsu binatang dan anak-anak yang tidak berbapa. Justeru, nafsu seks mestilah disalurkan mengikut saluran yang dibenarkan iaitu perkahwinan dan Islam telah menyelesaikan masalah ini dengan menekankan beberapa peraturan:
Perkahwinan hendaklah mudah dan tidak menyusahkan seperti mengenakan belanja yang mahal-mahal dan perkahwinan di usia awal hendaklah digalakkan. 
Segala faktor yang memberangsangkan perlakuan seks di luar perkahwinan hendaklah dibendung dan peradaban Islam telah menetapkan:
Tubuh wanita dijadikan oleh Allah boleh menimbulkan keghairahan kepada lelaki dan kerana itu segala bentuk pendedahan tubuh dan penggunaan wanita adalah diharamkan. Pakaian wanita hendaklah menutup seluruh badannya kecuali muka dan tangannya agar tidak dipandang oleh lelaki yang boleh menjadi liar apabila nafsu seksnya terangsang. 
Pemisahan di antara lelaki dan perempuan adalah diperlukan di dalam aktiviti seharian kerana ini akan mengurangkan tekanan emosi. 
Wanita tidak dibenarkan mandi di tempat awam yang digunakan oleh lelaki. 
Apabila bercakap dengan lelaki yang bukan suami atau mahramnya, wanita hendaklah tidak melunakkan suaranya tetapi bercakap dengan nada suara yang tegas dan tidak mengghairahkan. 
Bersifat pemalu juga dianjurkan bagi lelaki samada dalam berpakaian atau perbuatan. Jika lelaki Muslim terpandang wanita yang bukan mahramnya, hendaklah ia menundukkan pandangannya kerana pandangan yang kedua adalah pandangan syaitan dan haram hukumnya. 

AKHLAK MAZMUMAH
Sesiapa yang ingin melihat Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam syurga, dia mesti membuat amal soleh dan tidak mensyirikkan Allah Subhanahu wa ta’ala. Amal soleh tidak akan dapat dicetuskan kalau di dalam hati seseorang itu tidak ada sifat-sifat mahmudah. Kerana itu tanamkan sifat-sifat mahmudah terlebih dahulu di dalam hati. Dan sifat-sifat mahmudah inilah akan mendorong seseorang itu melaksanakan amal-amal soleh di dalam kehidupannya. Itulah yang akan dinilai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan diberi nikmat syurga di akhirat. 

Contoh akhlak atau budi pekerti yang keji itu ialah seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam, bakhil, tamak dan yang lain-lain adalah penyakit-penyakit hati atau penyakit jiwa atau dikatakan penyakit batin. Jadi lawan bagi sifat yang baik adalah sifat-sifat yang jahat atau yang dikatakan sifat mazmumah. Sifat-sifat hati yang terkeji ini akan membentuk akhlak yang jahat dan melahirkan perbuatan yang keji. Ini akan menyusahkan hidup yang kekal abadi di akhirat pada seseorang itu kerana dia akan merasakan penderitaan neraka di akhirat kelak. Jelas bagi kita di sini bahawa hati yang jahat, mengandungi sifat-sifat yangjahat akan menyebabkan seseorang itu hidup kekal abadi dalam kesengsaraan di neraka. Hati yang jahat itu akan mendorong anggota lahir manusia itu melakukan perbuatan-perbuatan jahat seperti ia boleh mendorong tangan, mata, mulut, kaki dan anggota lain melakukan berbagai kejahatan. 

Akibat roh atau hati yang rosak penderitaannya bukan sahaja dirasakan di dunia tetapi kekal abadi di akhirat kelak. Jadi, di sini terdapat dua jenis penyakit di dalam kehidupan manusia iaitu penyakit batin dan penyakit zahir. Yang peliknya, di antara dua jenis penyakit ini yang kita biasa khuatirkan ialah penyakit zahir. Sebab itulah kita dapati banyak hospital, klinik dan pelbagai pusat perubatan. Semua ini bertujuan untuk mengubat pelbagai jenis penyakit yang menyerang fizikal manusia. 

Penyakit batin yang boleh membawa manusia menderita kekal abadi di dalam neraka, tidak ditemui secara khusus hospital atau klinik penyakit batin seperti kuliah atau pengajian ceramah dan seumpamanya. Ini adalah kerana penyakit batin itu kurang disedari dan tidak merasakan ianya perlu diubati. Yang manusia hari ini lebih sibukkan ialah mendirikan hospital atau klinik penyakit zahir. Kulit dijaga dengan rapi hingga disalut berbagai krim mencegah serangan penyakit kerana takut dihinggapi penyakit. Kemudian disapu pula dengan pelbagai ubat supaya lebih halus bimbang dihinggapi penyakit lain. Kemudian sibuklah manusia hari ini melakukan riadah pada Subuh hari atau petang-petang hari. Selsema sahaja segera mencari klinik untuk dapatkan rawatan. Begitu juga apabila gigi sakit, dengan tidak sempat berbuat apa-apa lagi akan bergegas berjumpa doktor mengambil ubatnya seterusnya mencabut gigi berkenaan. Tetapi kalau penyakit bakhil yang menular dan berakar dihati, tidak pun terasa hendak mengikisnya. Kalau ada penyakit riak, ujub, hasad dengki, sedikit pun tidak dihiraukan. Malah ada sebilangan daripada kita merasa gembira dan bangga dengan penyakit seperti itu. 

Sesungguhnya pengubatan penyakit jiwa adalah paling utama. Tetapi jarang manusia ingin hendak mengubat penyakit seperti ini. Yang lebih diutamakan oleh manusia hari ini ialah penyakit zahir sahaja. Kita perhatikan apabila seseorang itu terkena penyakit, tindakan segera bagi mengubatinya tetapi sebaliknya apabila bersarang penyakit mazmumah tidak langsung dihiraukan. Tidak terfikir mencari kliniknya sedangkan penyakit ini lebih teruk dan menderita sepanjang masa. Ini kerana pada kita penyakit ini perlu lebih diutamakan rawatannya, suluh-suluhlah hati kalau-kalau ada penyakit riak ujub atau sebagainya. Kemudian tanya-tanyalah tuan-tuan guru untuk mengubatnya. Ubatlah seperti mana kita mengubat penyakit zahir. Sekiranya sikap kita tidak boleh jadikan contoh sekurang-kurangnya boleh kita ambil manfaatnya. 

Orang yang selalu memikirkan penyakit batin ini adalah yang berakal dan cerdik. Manakala orang yang selalu memikirkan penyakit-penyakit zahir adalah yang jahil. Imam Al-Ghazali juga telah menggariskan sepuluh sifat Mazmumah/tercela/sifat keji di dalam kitab tersebut iaitu :
•Banyak makan
•Banyak bercakap
•Marah
•Hasad
•Bakhil
•Cintakan kemegahan
•Cintakan dunia
•Bangga diri
•Ujub (hairan diri)
•Riya' (menunjuk-nunjuk)

PENUTUP
Kesimpulannya, dengan adanya budaya-budaya lain terutamanya dari peradaban Barat masuk dengan bebasnya ke negara Malaysia, tidak hairanlah budaya Barat akan lebih mendapat tempat di hati orang ramai dan masyarakat. Oleh itu, kita mestilah mengamalkan adab-adab mulia yang wujud dalam Islam, bukannya mengamalkan adab Barat yang boleh merosakkan moral seperti yang berlakunya sekarang di Malaysia. Justeru, kita haruslah mempraktikkan semua adab-adab dan akhlak mulia Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. supaya kita semua dapat mengetahui rahsia sesuatu ibadah yang dikerjakan dan memperoleh keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Semoga kita semua diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. 

Islam adalah agama yang sempurna yang tidak mengabaikan walau satu aspek dari kehidupan umatNya. Maka adab dan kesopanan Muslim telah diturunkan dengan lengkapnya melalui al-Qur’an dan peribadi Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. di mana Rasulullah telah diutuskan untuk memperbaiki akhlak umat manusia sejak di zaman Arab Jahiliyah lagi. Setelah memahami bahawa umat Islam telah sedia mempunyai ketetapan dari Allah Subhanahu wa ta’ala. tentang akhlak dan peribadi yang dituntut yang akan menjamin kebaikan dan kesejahteraan dunia dan akhirat, diharapkan umat Islam di negara ini tidak perlu lagi tercari-cari atau terikut-ikut akan budaya asing dan mungkar kerana Rasulullah telah bersabda, “Barangsiapa yang mengikut satu kaum, nescaya akan dibangkitkan ia bersama-sama kaum itu di hari akhirat kelak. ”

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com