Tajuk: Pencapaian Tamadun Islam Di Zaman Khulafa Ar-Rasyidin

PENDAHULUAN
Tamadun Islam pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin yang diterajui oleh empat orang sahabat Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam ialah Abu Bakar As-Siddiq r. a., Umar bin Al-Khattab r. a., Uthman bin Affan r. a., dan Ali bin Abi Talib r. a. merupakan lembar-lembar cemerlang dari bahagian tamadun islam yang menerangi seluruh perjalanan sejarah, dan tidak mungkin dapat dihapuskan oleh perjalanan sejarah tokoh-tokoh lain kerana lembar-lembar sejarah mereka penuh dengan kemuliaan, keagungan, keikhlasan, jihad, dan dakwah demi tegaknya prinsip-prinsip mulia Islam. Tamadun Islam pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin banyak memberikan sumbangan besar di dalam perkembangan Islam di seluruh dunia dan menjaga kehormatan serta keagungan agama Islam di mata dunia. Tamadun Islam pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin sememangnya amat digeruni oleh tamadun-tamadun lain seperti Rom dan Parsi kerana kekuatan dan keteguhan syiar Islam semasa waktu itu. Zaman Khulafa Ar-Rasyidin berkembang dengan cara yang berbeza dan sumbangan yang berbeza daripada setiap khalifah yang memerintah pada masa tertentu pada zaman pemerintahan mereka. Corak kepimpinan dan pentadbiran yang digunapakai merupakan adil dan saksama terhadap semua kaum pada zaman itu dan rakyat dapat hidup dengan aman dan tenteram. Khulafa Ar-Rasyidin wujud setelah wafatnya Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam yang menggunakan gelaran Khalifah sebagai bermaksud penganti Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam selepas wafatnya baginda. 

PENCAPAIAN KHALIFAH PERTAMA ( ABU BAKAR AL-SIDDIQ)
1.Pengukuhan kuasa dan pentadbiran
-Melancarkan Gerakan Riddah untuk memerangi golongan-golongan murtad, golongan yang enggan membayar zakat selepas wafatnya baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dan golongan-golongan yang enggan menunaikan kewajiban solat serta golongan nabi palsu. 
-Membuat pembaharuan terhadap polisi pemerintahan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam iaitu setiap wilayah dilantik wakil sebagai pemerintah, madinah masih kekal sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran, Abu Ubaidah al-Jarrah dilantik sebagai pemegang amanah perbendaharaan kerajaan, melantik pembantu dalam pentadbiran yang terdiri daripada kalangan sahabat dan melantik Umar Al-Khattab sebagai ketua dalam hal kehakiman. 

2. Perundangan
-mengumpulkan semua ayat-ayat suci Al-Quran dalam satu kitab kerana banyak hafiz telah syahid semasa perang di Yamamah maka beliau menyuruh Zaid untuk melakukan tugas menghimpunkan ayat-ayat suci Al-Quran. 

3. Perluasan kuasa dan pengaruh
-Meluaskan pengaruh Islam dan pengukuhan kuasa dengan menyerang wilayah yang berada di bawah pengaruh Rom dan Parsi seperti Palestin dan Syria. 

PENCAPAIAN KHALIFAH KEDUA ( UMAR AL-KHATTAB)

1.Politik dan Pentadbiran
-Membentuk majlis Asyura yang berfungsi sebagai Lembaga Tertinggi Negara untuk membincangkan tentang pentadbiran, politik dan juga sosial. 
-Dalam pentadbiran, Umar membuat pembaharuan terhadap wilayah-wilayah Islam iaitu dengan memecahkan kawasan dan pusat pemerintahan di wilayah yang berasingan. 
-Melantik seorang wakil dan beberapa pegawai untuk menjalankan pentadbiran dan mereka mestilah membuat laporan kepada khalifah setiap tahun. 
-Mengemaskini dan memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah di samping mengubahsuai dalam penempatan cukai urusan dan pentadbiran serta usaha terhadap hartanah. 
-Tanah yang menjadi milik penduduk Iraq dikekalkan sebagai hak milik mereka, tetapi mereka mestilah membayar cukai kepada kerajaan. 
-Tanah yang asalnya menjadi hak milik kerajaan Rom setelah dikalahkan dibahagikan kepada peanduduk dan petani. 
-Membuat projek pengairan di Mesir dan Iraq untuk meningkatkan hasil pertanian. 
-Hak milik diberikan kepada sesiapa sahaja yang akan mengusahakannya, tetapi hak milik tersebut ditarik balik sekiranya mereka tidak mengusahakan dalam masa tiga tahun. 

2.Perluasan kuasa dan pengaruh
-Pembaharuan dan penyusunan dalam lapangan ketenteraan seta meneruskan perluasan kuasa terhadap wilayah yang masih berada di bawah pengaruh kerajaan Rom dan Parsi. 
-Membayar gaji khususnya kepada anggota tentera. 
-Tentera ditubuhkan dalam dua bentuk, iaitu tentera tetap dan tentera simpanan. 
-Bandar utama dijadikan pusat ketenteraan, seperti Madinah, Kufah dan Basrah. 
-Membentuk pasukan polis rahsia dan pengintip. 

3.Perundangan 
-Gaji hakim dinaikkan untuk mengelakkan daripada berlakunya rasuah. 
-Menambahkan hukum sebat kepada peminum arak daripada 40 kepada 80 sebatan dengan tujuan menakutkan rakyatnya tentang bahayanya. 
-Menetapkan sembahyang terawih sebanyak 20 rakaat dan diadakan secara berjemaah. 
-Mengadakan cukai tanah untuk kerajaan. 
-Jatuh talak tiga bagi sesiapa yang menyebutnya tiga kali serentak, sedangkan pada masa Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dan Abu Bakar As-Siddiq hanya jatuh satu talak sahaja. Penetapan itu hanya untuk mengelakkan rakyat memudahkan perkara talak. 

4.Pencapaian sosial
-Menurunkan kadar cukai jizyah terhadap kafir Zimmi supaya mereka tidak merakan tertekan. 
-Golongan hamba diberikan perhatian dan perlindungan agar mereka tidak ditindas dan tidak dihina. 
-Memperkenalkan kalendar Islam dengan menggunakan Tahun Hijrah bermula dari tarikh hijrah nabi ke Madinah. 
-Mengadakan penjara untuk menempatkan penjenayah. 
-Menubuhkan pasukan polis pertama dalam Islam. 
-Menubuhkan pejabat Baitul Mal di setiap Wilayah Islam. 

PENCAPAIAN KHALIFAH KETIGA ( UTHMAN A’FFAN )
1.Mengarahkan Al-Quran dibukukan dan disalin semula dalam mushaf rasmi yang dikenali mushaf Uthmani. 
2.Salinan dibuat dalam beberapa buah dan dihantar ke kawasan tertentu untuk menetapkan umat Islam mengikut satu bentuk bacaan, iaitu berdasarkan tulisan Rasm Uthmani. 
3.Membesarkan Masjib Al-Nabawi di Madinah.  

PENCAPAIAN KHALIFAH KEEMPAT ( ALI BIN ABI TALIB )
1.Menukarkan gabenor yang dilantik oleh Khalifah Uthman dengan gabenor yang baru, contohnya Syria, Mesir, Basrah, Kufah dan Yaman. 
2.Mengambil semula harta tang telah diberikan oleh Khalifah Uthman kepada keluarga dan kerabatnya daripada sumber dan harta kerajaan. 
3.Menukar pusat pemerintahan dari Madinah ke Kufah. 
4.Menganjurkan Amar Makruf Nahi Mungkar kepada rakyatnya di dalam pidatonya. 
5.Mengajarkan kaum muslimin cara perlaksanaan hukuman rejam. 

KESIMPULAN
Kesimpulannya, Pencapaian Tamadun Islam di zaman Khulafa Ar-Rasyidin dapat diringkaskan dengan bahawa tamadun Islam pada zaman ini sememangnya membawa banyak pencapaian yagn mana amat membantu umat-umat Islam kini. Pencapaian yang dibawa oleh pemimpin atau khalifah pada zaman itu mencorakkan kemajuan tamadun Islam pada zaman sekarang. Pada zaman berikut, syiar Islam sememangnya teguh dan kukuh. Kebanyakkan pemimpin pada zaman tamadun Islam di zaman Khulafa Ar-Rasyidin berhadapan dengan masalah yang besar namun masih boleh dihadapi oleh khalifah yang memerintah. Sistem pemerintahan yang digunapakai oleh tamadun ini sememangnya telus, adil dan saksama dari setiap segi kerana berpandukan Al-Quran, As-Sunnah dan hadis. Setiap khalifah mempunyai cara yang tersendiri dalam mentadbir kerajaan tamadun Islam dan mempunyai pencapaian sendiri yang tertentu. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com