Tajuk: Galakan Bersedekah Di Kalangan Umat Islam

Pendahuluan. 
Setiap ibadat wajip yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kepada hambaNya diiringi dengan amalan sunat. Ibadat solat diiringi dengan solat-solat sunat, ibadat puasa diiringi dengan berbagai-bagai jenis puasa sunat, ibadat haji diiringi dengan ibadat umrah, manakala ibadah zakat diiringi dengan ibadah sedekah. 

Realitinya, selama ini umat Islam sering keliru dalam memahami ibadah-ibadah di atas. Mereka hanya membatasinya pada ibadah-ibadah pengabdian langsung antara dirinya dengan Allah (ibadah mahdhah) saja. Mereka hanya membatasinya pada ibadah-ibadah mahdhah, tetapi lupa akan ibadah muamalah dan ibadah maliyah. Sehingga mereka, baik disedari atau tidak, mengabaikan nasib orang-orang miskin, anak-anak yatim, kebodohan, penyakit, kelaparan, kesengsaraan dan sebagainya yang diderita oleh saudara seagama dengan mereka. 

Ramai yang melakukan ibadah solat dengan khusyuk, sehingga dahinya telah hitam kerana banyak bersujud, tetapi dia seakan-akan memicingkan mata memandang kepada orang-orang yang kurang bernasib baik. Tidak sedikit kaum muslimin kaya yang pergi menunaikan ibadah haji berulang-ulang kali ke makkah, tiga, empat, lima, enam, tujuh kali. Sedangkan di sekitarnya ramai orang yang sangat memerlukan bantuan untuk kepentingan hidupnya sehari-hari, untuk mengubati anaknya yang sedang sakit, untuk menanggung berbelanjaan persekolahan anaknya dan sebagainya. 

Orang-orang yang bersikap seperti ini, adalah manusia yang mementingkan dirinya sendiri, sedangkan Islam tidak menuntutnya untuk berbuat demikian. Ibadah haji yang diwajipkan hanya sekali seumur hidup. Sedangkan selebihnya adalah sunat hukumnya, manakala menghulurkan bantuan kepada orang-orang yang sangat memerlukan adalah kewajipan yang tidak terbatas, selagi ada orang yang memerlukan adalah kewajipan yang tidak terbatas, selagi itulah kewajipan itu terletak di bahu orang yang mampu. 

Allah Subhanahu wa ta’ala menyindir sikap orang-orang seperti ini dengan firmanNya yang bermaksud “tahukah engkau (siapa orang-orang) yang mendustakan agama…? Iaitu orang-orang yang mengherdik anak yatim, dan menganjurkan memberi makan orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dalam solatnya, orang-orang yang riak dan enggan (menolong) dengan barang yang bermanfaat. ”

Di sini Allah mengatakan, bahawa orang-orang yang tidak mempedulikan nasib anak-anak yatim dan orang-orang miskin adalah pendusta agama. Walaupun dia sudah naik haji berkali-kali, walaupun dia tidak lekang dari sejadah, namun Allah masih memandangnya sebagai pendusta agama. 

Orang-orang yang mementingkan dirinya sendiri, sudah lupakan kepada pesan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam yang bermaksud:
 “ Perumpamaan orang yang beriman dalam kasih sayang, kecintaan dan ketaqwaan (di antara mereka), sama seperti satu tubuh yang apabila salah satu anggotanya merasa sakit, maka seluruh anggota badan yang lain akan menunjukkan simpatinya dengan berjaga malam dan menanggung panas kerana demam ”

Membantu sesama muslim itu dikatakan oleh Rasulullah saw sebagai sunnah hasanah. Sedangkan mengabaikan atau bersikap tidak ambil tahu terhadap keadaan kaum muslimin sekitar kita adalah sunnah sayyi’ah, atau kebiasaan yang sangat dicela oleh Islam. 

Rasulullah saw sebagai teladan bagi umatnya adalah manusia yang sangat pemurah, baginda tidak pernah menolak permintaan orang kepada baginda, dan baginda sentiasa mendahulukan orang lain dalam pembahagian harta daripada diri baginda. Demikian juga para sahabat baginda. 

Begitulah Islam menganjurkan sedekah bagi mengatasi kesusahan sesama Islam. Bahkan ibnu hazm mengatakan bahawa orang-orang yang dalam kesusahan hidup boleh memaksa orang kaya untuk memberikan bantuan kepadanyASsehubungan itu, ibnu hzm mengatakan kemiskinan hanya dapat diatasi dengan kesediaan orang-orang kaya memberikan hak-hak orang miskin yang diamanahkan oleh allah Subhanahu wa ta’ala kepadanya. 

Amalan bersedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana sedekah adalah salah satu lambang kesyukuran kepada allah, pelaksanaan perintah Allah dan mempereratkan hubungan silaturahim di antara sesama muslim. Dengan demikian, sedekah adalah satu cara untuk mengukuhkan hubungan antara hamba dengan allah dan antara hamba dengan hamba. 

Di antara nas atau dalil yang menganjurkan bersedekah ialah firman allah Subhanahu wa ta’ala , sabagaimana yang termaktub di dalam al-Quran iaitu: “ wahai orang-orang yang beriman.. ! nafkahlah sebahagian rezekimu yang telah kami kurniakan kepadamu, sebelum datang hari yang tiada lagi jual beli, tiada lagi persahabatan yang akrab dan tiada lagi syafaat padanya. Dan orang-orang kafir itu adalh golongan yang zalim. (al-baqarah:254)

Firman allah di atas mengandungi pengertian, bahawa sebagai seorang yang beriman, hendaklah kita menafkahkan sebahagian kurniaan allah yang telah kita terima untuk keperluan orang lain yang memerlukan atau untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . Memberikan sebahagian harta benda untuk keperluan-keperluan tersebut, dalam Islam dikenali sebagai infaq dan yang lebih popular di kalangan masyarakat dengan sebutan sedekah. 

Selain daripada ayat diatas, allah menegaskan lagi, bahawa seseorang itu hendaklah membelanjakan hartanya di jalan Allah dan tidak menggunakan harta itu untuk kebinasaan diri seperti untuk membeli minuman keraas, dadah, untuk berjudi dan sebagainya, sbaimana yang termaktub dalam al-Quran yang berbunyi
“dan belanjakanlah harta bendamu di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah kamu kerana sesungguhnya allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. 

Apabila orang mukmin malas berkorban, bakhil dan takut mengeluarkan wang, maka kehidupan saudaranya sesama Islam akan menjadi hina dan dipandang rendah oleh penganut agama lain. Ini juga dikatajan sebagai melemparkan diri ke dalam kebinasaan. Kemuliaan saudara-saudara seagama terletak kepada kesedihan orang-orang yang berada menghulurkan bantuan sukarela lainnya. 

MAKSUD SEDEKAH
Sedekah berasal dari bahasa arab iaitu Shadaqah yang bererti suatu pemberian yang diberikan oleh orang muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Sedekah menurut oleh para Fuqaha(Ahli Feqah) disebut sadaqah At-tatawwu’(sedekah secara spontan dan sukarela). Para fuqaha sepakat hukum sedekah pada dasarnya adalah sunah, berpahala bila dilakukan dan tidak berdosa jika ditinggalkan. Hukum sedekah menjadi haram apabila seseorang yang bersedekah mengetahui bahawa orang yang bakal menerima sedekah tersebut akan menggunakan harta sedekah untuk kemaksiatan. 

Sedekah atau mencukupkan keperluan orang fakir dan miskin serta orang-orang yang memerlukan adalah salah satu hak yang terpenting daripada hak-hak manusia selain daripada hak-hak manusia selain daripada zakat. Ia merupakan hak bagi setiap individu muslim di dalam masyarakat Islam bagi untuk memperolehi kecukupan yang sempurna dalam memenuhi keperluan hidupnya sendiri mahupun untuk orang-orang yang berada di bawah tanggungannya. Kecuali apabila keperluan-keperluan itu sudah dapat dipenuhi oleh zakat. 

Ini ditegaskan oleh rasulullah saw dalam sabda baginda yang berbunyi: “Sesungguhnya terhadap harta ada satu hak(kemestian) selain zakat. ” Kemudian rasulullah saw membaca ayat yang tersebut dalam surah al-Baqarah:”bukanlah kebajikan itu, bahawa kamu memalingkan mukamu kearah timur dan ke barat. ”

Rasulullah saw membacakan ayat tersebut, kerana firman Allah Subhanahu wa ta’ala itu menetapkan bahawa diantara syarat-syarat untuk berbuat kebajikan itu ialah memberikan harta (sedekah) kepada kaum keluarga terdekat, kepada anak yatim, orang-orang miskin dan lain-lain sebagainya. Kemudian dilanjutkan dengan syarat-syarat berikut, iaitu sebagaimana yang termaktub dalam sambungan ayat tersebut yang berbunyi :“…dan mendirikanlah solat, menunaikan zakat dan orang yang menepati janjinya apabila dia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan meereka itu orang-orang yang bertaqwa. ”

Sebelum ayat-ayat ini diturunkan, Allah telah menurunkan ayat-ayat yang mempunyai ancaman serta peringatan keras tentang adanya azab di dunia dan di akhirat, termasuk sesiapa yang tidak mahu memperhatikan orang miskin, atau tidak mahu menyantuni orang-orang faqir dan orang yang dalam kesusahan. 

Termasuk dalam kategori memberi makan orang miskin ialah member pakaian, bantuan kewangan serta meringankan segala bentuk penderitaan dan kekurangan yang mereka alami. Bahkan al-Quran, tidak hanya cukup mengajak untuk memberi makan dan menyantuni orang-orang miskin, bukan saja sekadar member ancaman kepada orang-orang yang membiarkan atau mengabaikan mereka. Malahan lebih daripada itu, al-Quran telah menetapkan ia sebagai suatu tanggungjawab yang terletak di bahu setiap orang mukmin untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada kaum dhu’afa’(orang-orang yang lemah ekonominya) dengan memberikan hak-hak mereka. 

Selanjutnya al-Quran menyatakan bahawa mengabaikan tanggungjawab terhadap orang miskin, bermakna kedurhakaan kepada Allah taala. Dan bererti suatu penyataan dan seseorang, bahawa dia sanggup dan bersedia menerima kemurkaan serta seksaan allah Subhanahu wa ta’ala di akhirat kelak. 

Bersedekah dengan yang baik-baik

Selain menganjurkan untuk bersedekah, Allah Subhanahu wa ta’ala juga sejak awal-awal lagi telah memperingatkan kita, agar sentiasa berinfaq atau bersedekah daripada hasil usaha kita yang baik dan dengan cara yang baik, tanpa mengharapkan sesuatu seperti balasan daripada orang yang diberi sedekah, pujian dar manusia, sanjungan dari orang ramai dan sebagainya, melainkan hanya keredhaan allah ta’ala. 

Allah berfirman bahawa sedekah yang hendak dikeluarkan itu ialah yang baik-baik dan bersumberkan daripada hasil usaha sendiri. Allah Subhanahu wa ta’ala melarang kita bersedekah dengan barang-barang buruk, yang diberikan orang lain kepada kita, kita sendiri tidak mahu menerimanya. Oleh yang demikian, sebelum memberikan sesuatu kepada orang lain, hendaklah kita nilai dahulu dengan perasaan kita sendiri, bagaimana perasaan kita jika barang seperti itu diberikan kepada kita. 

Ayat diatas diturunkan adalah merupakan teguran terhadap sikap kaum ansar yang mempunyai kebun kurma. Ada di antara mereka yang mengeluarkan zakatnya sesuai dengan penghasilannya, tetapi ada juga antara mereka yang tidak suka berbuat baik. Mereka menyerahkan kurma yang bermutu rendah dan busuk untuk dizakatkan. (al-Hakim, al-Tarmidzi, Ibnu Majah dan lain-lain yang bersumberkan dari al-Barra’ bin Azib.)

Menurut riwayat lain pula, ayat ini turun untuk menegur sikap seorang lelaki yang pada awalnya diperintahkan oleh Rasulullah untuk berfitrah dengan satu sha’ kurma, kemudian lelaki itu datang dengan membawa satu sha’ kurma yang bermutu rendah. (Abu Daud, al-Nasai dan al-Hakim yang bersumber dari Sahl bin Hanif)disebabkan oleh adanya beberapa orang sahabat yang membeli makanan yang murah untuk disedekahkan. (Ibnu Abi Hatim yang bersumberkan dari Ibnu Abbas)

Ayat ini bukan hanya ditujukan kepada zakat, tetapi kepada semua bentuk sedekah, baik berupa infaq, waqaf, hibah, derma, sokongan, bantuan dan sebagainya. Kalau kita hendak memberi, maka berikanlah yang baik, yakni yang kita sendiri suka menerimanya kalau diberikan orang kepada kita. 

Jangan sampai pemberian sedekah atau infaq kita itu membuat orang lain berdosa setelah menerimanya, disebabkan memperkatakan apa yang sudah kita berikan kepada merekASebaliknya, kita berharap agar orang lain juga mendoakan kita dengan doa yang tulus ikhlas kepada Allah Subhanahu wa ta’ala , semoga pemberian kita diberkatiNya dan kebaikan budi itu dijadikan oleh Allah sebagai suatu pembersih harta yang tinggal itu sebersih-bersihnya. 

Bersedekah dengan sesuatu yang disayangi. 

selain daripada anjuran menyedekahkan yang baik-baik, Islam juga memerintahkan kepada umatnya agar menyedekahkan sesuatu yang disayangi, sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dalam firmanNya yang bermaksud : “ Sekali-kali kamu tidak akan mencapai kebaikan, sebelum kamu menyedekahkan sebahagian daripada harta yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu sedekahkan itu sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Alu ‘Imran:92)

Firman Allah ini menyatakan bahawa seseorang itu belum akan mencapai kebaikan atau kehidupan yang baik serta jiwa yang baik, sebelum dia sanggup mendermakan atau menyedekahkan harta yang disayanginya. 

Ayat ini amat besar pengaruhnya kepada para sahabat Rasulullah saw dan menjadi pendidikan rohani yang amat berkesan kepada kaum muslimin yang hendak meningkatkan mutu iman dan ketaqwaannya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Abu Talhah, seorang sahabat Rasulullah saw dari kalangan kaum Ansar mempunyai satu-satunya kekayaan yang amat dibanggakannya, iaitu sebidang kebun yang bernama Bairuha’, tidak jauh dari masjid Nabawi. Rasulullah saw ssering singgah di kebun itu untuk meminum air nya yang sejuk. Abu talhah sangat terkenal di madinah kerana kebunnya yang indah dan subur itu. Setelah ayat ini diturunkan, dia menimbulkan kesan yang tersendiri ke dalam jiwa Abu Talhah, lantas beliau menemui Rasulullah saw dan berkata : “Ya Rasulullah…! Aku ingin sekali hendak mengamalkan wahyu Ilahi yang baru turun itu.. ! kekayaan yang paling aku cintai ialah kebunku yang du Bairuha’ itu. Terima lah kebun itu sebagai sedekahku, ya Rasulullah, dan tuan sendiri aku beri kuasa untuk menyerahkannya kepada sesiapa yang tuan fikirkan patut menerimanya…!” katanya. Rasulullah saw amat gembira menerima sedekah Abu Thalhah untuk memberikan kebun yang amat disayanginya kepada orang yang memerlukan. Menurut riwayat Muslim, kebun yang indah dan subur itu diserahkan oleh Abu Thalhah kepada Zaid ibn Tsabit dan Ubay bin Ka’b. 

Demikian pula Zaid bin Haritsah, bekas anakangkat Rasulullah saw, yang datang kepada baginda membawa kuda tunggangan yang amat disayanginya, yang diberinya nama “subul”. 
“aku ingin mengamalkan ayat itu, ya Rasulullah…! Inilah kuda tungganganku, sebagaimana yang tuan ketahui ia adalah kuda yang paling aku sayangi. Terimalah kuda ini sebagai sedekahku dan sudilahtuan untuk memberikannya kepad sesiapa yang tuan anggap patut menerimanyASemoga sedekahku ini diterima oleh Allah…! Ujur Zaid kepada Rasulullah saw. 

Rasulullah saw menerima kuda tunggangan yang cantik dan tangkas itu, sambil memandang kepada wajah Zaid, yang membayangkan kesedihan kerana berpisah dengan kudanya itu. Dengan itu, Rasulullah saw percaya bahawa kuda itu memang sangat disayanginya. 

Sebagai seorang Rasul dan pemimpin ummat, baginda adalah seorang pemimpin yang berakhlak tinggi dan bijaksanASetelah kuda tunggangan itu tertambat di hadapan baginda, baginda menyuruh seseorang menjemput Usamah, putera Zaid sendiri, seorang sahabat yang sangat dicintai oleh Rasulullah saw sebagaimana baginda mencintai ayahnya, Zaid. 

Setelah Usamah berada di hadapan baginda, maka baginda bersabda; “Wahai Usamah…! Kuda tunggangan ini diserahkan oleh Zaid kepadaku. Kini aku telah menerima kuda ini dan aku berhak untuk mmemberikannya kepada siapa sahaja yang aku pandang sesuai untuk menerimanya. 

Demikianlah kebijaksanaan Rasulullah saw.. kebun indah dan subur yang amat dicintai oleh Abu Thalhah disedekahkannya dan diserahkannya kepada baginda untuk memberikannya kepada sesiapa yang dipandang sesuai oleh baginda. Namun rasulullah saw kembali menyerahkan kuasa itu kepada abu thalhah, yang akhirnya memberikan kebun itu kepada Zaid bin tsabit dan ubay bin ka’b. kuda tunggangan yang disedekahkan oleh Zaid bin haritsah, baginda serahkan kepada Usamah putera Zaid sendiri. Sehingga kedua-dua harta yang disayangi oleh pemiliknya tidak pergi jauh daripada yang memberikannya. 

Dalam riwayat yang lain dinyatakan, bahawa pada suatu hari rasulullah saw didatangi tetamu di masjid pada waktu senja. Tetamu itu turut berjemaah solat maghrib dan ‘isyak di masjid. Selepas solat ‘isyak, rasulullah saw bertanya kepada para sahabat, siapa di antarta mereka yang mahu membawa tetamu itu ke rumah. 

Abu thalhah(bukan abu thalhah yang mendermakan kebunnya itu) menyatakan kesanggupannya. 

BERSEDEKAH DENGAN PERBUATAN
Sedekah bukan hanya dapat dilakukan dengan harta benda sahaja, tetapi ia dapat juga dilakukan dengan perbuatan. Sebagai manusia, kita menyedari bahawa dalam kehidupan sehari-hari, kita tidak mampu untuk melepaskan diri daripada ketergantungan dan hubungan sesama manusia, terutama sesama mukmin, baik dalam usaha mencari nafkah mahupun dalam apa jua bidang pekerjaan. 

Dalam usaha mencari nafkah yang meliputi bidang pertanian, perniagaan, bekerja di kilang, buruh-buruh ladang, pekerja bangunan dan sebagainya, mestilah dilandasi oleh akhlak. Tanpa akhlak yang baik, tidak akan diperolehi kerukunan dalam segala bidang. Nilai akhlak yang baik lebih tinggi daripada nilai harta benda. 

Secara keseluruhannya, akhlak membuat wajah seseorang selalu berseri-seri dan menghadapi manusia lain dengan wajah yang manis. Kerana menurut ajaran Islam, wajah yang manis, budi bahasa yang tinggi, ramah tamah dan sikap yang sentiasa menampakkan kasih sayang kepada orang lain, sudah merupakan sedekah, sebagaimana yang dinyatakan oleh rasulullah saw dalam sabda rasulullah saw yang berbunyi; “ dan senyum mu untuk saudaramu adalah sedekah. ”

Sabda rasulullah saw di atas menyatakan, bahawa senyuman yang ikhlas yang dilemparkan dengan wajah manis akan mampu menyentuh hati seseorang, sebaliknya harta benda yang diberikan kepada orang lain dengan hati yang kotor dan muka masam, tidak akan dapat melunakkan hatiorang lain. Sehubungan dengan ini, seorang ahli syair pernah mengungkapkan sebagai berikut: 
“berbuat baiklah engkau dengan manusia, nescayaakan engkau perhambakan hatinya. 

Maka selama-lamanya, manusia akan diperhanba oleh kebaikan. ”

Rasulullah saw sentiasa menyuruh kita berbuat baik kepada oranglain, kita hendaklah mampu mengukir senyuman dengan wajah yang berseri-seri dalampergaulan sehari-hari. 

Perbuatan baik yang dianjurkan oleh rasulullah saw tersebut boleh saja dalam bentuk membantu orang lain dengan harta, jika seseorang itu memiliki hartASedekah adalah merupakan saham yang dijamin oleh allah Subhanahu wa ta’ala akan mendatangkan keuntungan bagi pelakunya, baik di dunia mahupun di akhirat. 

Sedekah bukan hanya mesti dilakukan oleh orang-orang yang memiliki harta dengan harta nya sahaja, bahkan ia juga boleh dilakukan oleh siapa saja mengikut kadar kemampuannya. Islam memberikan peluang istimewa kepada orang-orang yang tidak memiliki harta untuk bersedekah. Orang-orang yang berilmu boleh bersedekah dengan ilmunya, orang-orang yang kuat boleh bersedekah dengan tenaganya. 

Umat Islam sepatutnya bergembira kerana diberi kesempatan untuk bersedekah dengan apa yang ada padanya sehingga kita mampu bersedekah setiap waktu. 

Antara contoh sedekah dengan perbuatan ialah :
1. Dengan senyuman. 
2. Menolong orang yang memerlukan pertolongan. 
3. Menyuruh orang mengerjakkan makruf. 
4. Mencegah diri daripada malakukan kejahatan. 
5. Membaca tasbih. 
6. Membaca takbir. 
7. Membaca tahlil. 
8. Melarang perbuatan mungkar. 
9. Berlaku adil dia antara manusia
10. Kata-kata yang baik
11. Setiap langkah dalam berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah. 
12. Membuang sesuatu rintangan dari jalan adalah sedekah. 

Ganjaran yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah adalah amat besar. Sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan kemudian tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji adalah perumpamaan perbelanjaan yang dikeluarkan pada jalan Allah. Bersedekah adalah salah satu daripada apa yang disebut sebagai membelanjakan harta pada jalan Allah. Ini kerana tujuan seseorang Bersedekah itu adalah atas dasar mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bersedekah sama ada dengan wang ringgit atau lainnya merupakan amalan mulia yang memberi keuntungan kepada orang yang mengeluarkannya dan orang yang menerimanya. Orang yang bersedekah mendapat balasan pahala, sementara bagi orang yang menerimanya pula dapat menggunakan sedekah tersebut bagi memenuhi keperluan hidupnya. 

Kenapa mesti bersedekah?? Jawapan pada soalan ini telah dijawab sendiri oleh Allah Taala dalam Al-Quran Surah at-Taubah, Ayat 130 yang tafsirnya: "Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) allah maha mendengar, lagi maha mengetahui" (surah at-taubah:130). Ayat ini mengajarkan untuk mengambil sedekah dari hartanya kaum mukminin, baik itu sedekah yang ditentukan ataupun sedekah yang tidak ditentukan. 

Dalam Islam, sedekah itu terbahagi kepada dua:-

1. Sedekah yang ditentukan yakni sedekah yang ditentukan sendiri oleh allah untuk dikeluarkan setelah memenuhi akan syarat-syaratnya. Dengan kata lain, sedekah ini dipanggil juga dengan nama zakat. Setiap orang Islam yang layak diwajibkan keluar zakat supaya dengannya, allah akan membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk terhadap allah. Dan merupakan hak allah taala semata-mata sama ada ingin membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk itu atau tidak. 

2. Sedekah yang tidak ditentukan yakni sedekah yang tidak ditentukan oleh allah tetapi diberi kelonggaran kepada umat nabi muhammad untuk dikeluarkan tanpa syarat. Dengan kata lain, sedekah ini dipanggil juga dengan nama derma, hadiah, wakaf, nafkah dan sebarang sedekah selain zakat demi untuk menjaga hubungan baik sesama manusiASedekah jenis ini walaupun diberi kelonggaran tetapi amat dituntut untuk dikeluarkan supaya dengannya, allah akan membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk terhadap sesama manusia. Dan merupakan hak muhammad (umat nabi muhammad) sama ada dia ingin mengeluarkannya atau tidak. 

Hukum bersedekah itu sunat berdasarkan ayat-ayat al-quran dan hadis-hadis rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antaranya:

1. Firman allah subhanahu wa ta‘ala yang tafsirnya: “siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada allah, sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas)” (surah al-baqarah:245). Di dalam kitab al-jami‘ li ahkam al-quran disebutkan, antara maksud ayat di atas ialah galakan untuk bersedekah, menginfaq harta kepada orang-orang fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan. 

2. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “sesiapa di antara kamu berkemampuan untuk berlindung daripada neraka (dengan melakukan sedekah) walaupun hanya dengan separuh buah kurma, maka lakukanlah” (hr. muslim). 

Sedekah, sunat dilakukan pada bila-bila masa, namun yang lebih afdhal dilakukan pada bulan ramadhan dan juga sangat digalakkan pada hari-hari mulia yang lain seperti 10 zulhijjah dan pada hari raya aidil-fitri dan aidil-adha. Begitu juga afdhal dilakukan pada perkara-perkara yang diberi perhatian seperti gerhana, sakit dan pelayaran. 

Siapa yang afdhal diberi sedekah?? Sedekah, afdhal diberikan kepada saudara terdekat walaupun saudara terdekat itu merupakan orang yang wajib diberikannya nafkah. Perkara ini ada disebutkan di dalam sebuah hadis sebagaimana perbualan zainab radhiallahu ‘anha dengan rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya: “wahai nabi allah, sesungguhnya hari ini engkau memerintahkan untuk bersedekah. Aku mempunyai perhiasan untuk diriku, maka aku ingin menyedekahkannya”. Ibnu mas‘ud berpendapat bahawa sesungguhnya dia (ibnu mas‘ud radhiallahu ‘anhu) dan anaknyalah yang lebih berhak menerima sedekahku itu. maka rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “ibnu mas‘ud benar, suamimu dan anakmu adalah lebih berhak untuk engkau beri sedekah” (hr. al-bukhari). Dalam sebuah hadis yang lain pula, rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “sedekah kepada orang miskin itu mendapat satu pahala sedekah, dan sedekah kepada saudara mara itu mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala menyambung silaturrahim” (hr. al-hakim). Begitu juga afdhal bersedekah kepada jiran berbanding orang lain. Jika dia mempunyai dua orang jiran, adalah lebih afdhal mendahulukan jiran yang lebih dekat dengan pintu rumahnyASayyidatina ‘a’isyah radhiallahu ‘anha menceritakan yang maksudnya: “aku berkata kepada rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “wahai rasulullah, sesungguhnya bagiku ada dua orang jiran. Maka siapa antara keduanya ku berikan hadiah?? Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “kepada yang lebih dekat pintu rumahnya daripada (pintu rumah) engkau” (hr. al-bukhari). Begitu juga bersedekah kepada orang-orang yang berbuat kebaikan dan orang-orang yang memerlukan adalah lebih diutamakan. Bersedekah kepada anak-anak yatim ialah kanak-kanak yang tidak mempunyai sama ada ibu atau bapa. Mereka termasuk dalam golongan yang memerlukan kerana telah kehilangan ketua keluarga yang sepatutnya menyara kehidupan mereka. Maka bersedekah kepada mereka adalah sangat diutamakan. Islam sangat mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak yatim. Dari penjagaan mereka sehinggalah pada pengendalian harta mereka jika mereka mempunyai harta, semuanya ada digariskan di dalam al-quran. Kita diperintahkan untuk berlemah lembut dan berbuat baik kepada mereka. Firman allah subhanahu wa ta‘ala yang tafsirnya: “dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin” (surah al-baqarah:83). ganjaran yang diberikan terhadap perlakuan baik kepada anak yatim amat besar di sisi allah subhanahu wa ta‘ala. Begitu juga, rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan tentang kedudukan mulia di syurga bagi orang yang menjaga anak yatim. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan penjaga itu adalah seperti dua jari ini di dalam Syurga”. Malik (periwayat hadis) mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari hantu” (hr. muslim). menghulurkan sedekah kepada mereka adalah salah satu daripada perlakuan baik yang dimaksudkan itu. Sedekah yang dihulurkan berupa wang ringgit atau barang-barang keperluan, bukan sahaja mengurangkan bebanan mereka, bahkan dapat menimbulkan kebahagiaan di hati mereka. Membantu anak yatim terutama mereka yang hidup susah dan tidak mendapat penjaga yang sewajarnya inilah yang dimaksudkan sebagai (bantu-membantu atau tolong menolong) yang dituntut oleh Islam. Oleh yang demikian, usaha berbagai-bagai pihak untuk mengumpulkan dana bagi anak-anak yatim bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. hukum bersedekah kepada anak yatim adalah sunat. Namun lebih afdhal jika sedekah itu dihulurkan kepada anak yatim dari kalangan keluarga atau saudara mara terdekat jika ada. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang tafsirnya: "Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya disisi Tuhan itu? (12). (Di antaranya bagi orang yang mampu) ialah memerdekakan hamba sahaya; (13) atau memberi makan pada hari kelaparan (14) kepada anak yatim dari kaum kerabat (15)” (Surah al-Balad:12-15). Maksud Ayat ke-15 dari Surah al-Balad di atas adalah afdhal bersedekah kepada anak yatim dari kalangan kerabat berbanding yang bukan dari kalangan kerabat. 

PENUTUP
Kesimpulannya, bersedekah sama ada berupa wang atau lain-lain merupakan salah satu wadah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan. Pahala bagi orang yang sedekah amat besar walaupun sedekah yang dihulurkan hanya dengan nilai yang sedikit. Ini kerana nilai yang sedikit juga menyumbang pada kegembiraan yang dirasakan oleh si penerima. Dalam suasana kita yang diberi kesenangan ini, mari kita gandakan sedekah kepada yang memerlukan terutama anak yatim, agar semua kita dapat merasakan kegembiraan itu bersama-sama. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com