Tajuk: Larangan Memfitnah Menurut Ajaran Islam

Pendahuluan
Sebagai manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.

Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.

Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam : “Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid. ” (riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.

Pengertian Fitnah
Fitnah berasal daripada bahasa Arab, dan pengertian asalnya adalah "cubaan" atau "ujian". Dalam Al-Quraan dan Hadis Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam, perkataan fitnah digunakan bagi menunjukkan pelbagai makna yang berbeza-beza mengikut kefahaman ayat dan ada sesetengahnya adalah boleh dirujuk sebagaimana kefahaman masyarakat kita terhadap maksud fitnah.

Pembahagian Maksud Dan Pengertian Fitnah Dalam Al-Quran Dan Hadis
Maksud dan pengertian fitnah jika diselak lebar al-Quran dan hadis adalah sebagaimana berikut:

1. Kufur atau kafir
Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermkasud:
“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…” (Al Baqarah: 217)
Firman-Nya lagi yang bermaksud:
“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” (Al Baqarah: 193)
Kata fitnah dalam ayat ini menurut para ulama tafsir adalah bermaksud ‘kekafiran’ atau ‘kemusyrikan’. Iaitu bahawa mereka itu menyebarkan kekafiran.
Sementara sebahagian kaum muslimin oleh karena belum dikhabarkan oleh Nabi shalallahu ‘alaihi wassalam maka mereka telah melakukan kekeliruan dengan memerangi kaum musyrik di bulan haram (bulan yang ditegah berperang). Namun dek kerana kekafiran kaum musyrik itu lebih besar bahayanya daripada kekeliruan berperang di bulan suci maka keizinan untuk memerangi kekufuran yang mulai merebak adalah dituntut.

2. Bencana
Sabda nabi Sallallhu alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Apabila datang (meminang) kepada kamu seorang pemuda yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia dengan anak perempuan mu. Dikhuatiri akan terjadi fitnah (bencana) dan kerosakan yang besar di muka bumi. ”

Perkataan fitnah dalah hadis ini memberikan maksud bencana atau musibah yang akan berlaku sekiranya perkahwinan ditangguhkan. Ini kerana syarat pemuda soleh itu adalah sebaik-baik pilihan untuk dijadikan suami kepada anak-anak perempuan.

3. Konflik
Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al-Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mu-tasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah…” (Ali Imran: 7)
Terdapat sebahagian orang Islam yang hanya menggunakan semata-mata penilaian mengikut aspek rasional. Sengaja mencari penafsiran ayat melalui pendekatan logik akal manusia yang
terbatas semata-mata, sehingga melencong dari tafsiran yang tepat. Tujuan mereka semata-mata
menyebar fitnah, iaitu mencari konflik dan perselisihan dengan sesama muslim.

Inilah penjelasan kepada ayat ini yang dengan jelas menyebut perkataan fitnah. Ia bermaksud menimbulkan konflik dan kekeliruan dalam msyarakat. Ia juga disebut sebagai propaganda.

4. Tipu
Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :

“Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah” (Al An’am: 23)

Fitnah yang dimaksud dalam ayat ini adalah ucapan tipu dan dusta, untuk membela diri mereka di hadapan Allah. Padahal Allah mengetahui hakikat mereka, dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

5. Binasa
Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus dalam fitnah. ” Ketahuilah bahwa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir” (At Taubah: 49)

Dalam ayat ini kaum munafik di masa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam enggan menyertai peperangangan kerana menganggap ianya adalah suatu kebinasaan (fitnah). Padahal sesungguhnya mereka telahpun berada dalam kebinasaan dengan sifat munafik. Iaitu kebinasaan diri mereka di akhirat kelak dengan balasan neraka yang paling bawah.

6. Gangguan
Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, maka apabila ia disakiti (karena ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah (gangguan) manusia itu sebagai azab Allah. Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah bersamamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?” (Al Ankabut: 10)

Dalam ayat ini, kata fitnah membawa maksud ganguan. Inilah sifat biasa manusia yang menganggap ujian Allah dalam bentuk gangguan manusia sebagai azab.

Kesan Fitnah
Fitnah antara individu
Menjatuhkan maruah individu, menyebabkan pertelagahan, rompakan, samun, berbunuhan antara sesuatu individu yang bertelagah.

Fitnah antara keluarga
Menyebabkan keluarga sukar untuk saling memahami antara satu sama lain, hubungan antara keluarga sentiasa dipengaruhi rasa tidak tenteram, dendam, tidak mesra, sering bertelagah, pergaduhan, kekasaran, pukul-memukul, bercerai antara suami isteri, kehilangan anak dan lain-lain.
Fitnah antara masyarakat
Masyarakat menjadi tidak muafakat, enggan bekerjasama dalam aktiviti kejiranan, sukarelawan, perbalahan antara komuniti, saling memburukkan antara pelbagai pihak, kemajuan masyarakat menjadi lembab, wujudnya jurang sosial yang luas, pergaduhan, kecurian, rompakan, pembakaran kawasan penduduk, persekitaran yang tidak tenteram, porak peranda dan lain-lain.
Fitnah antara politik/negara
Suasana hubungan antara parti politik tidak reda, sering berlakunya api kemarahan antara bangsa, agama dan masyarakat. Jurang kemiskinan kian menjadi-menjadi, isu tuduh-menuduh terus berleluasa, media arus perdana sering berat sebelah, kekacauan, kebangkitan suara rakyat yang meminta keadilan secara terang-terangan menjadi, pergaduhan antara pemerintah dan rakyat, ekonomi negara statik/merudum atau tak menentu serta tahap inflasi meningkat, peperangan, kemusnahan harta benda dan lain-lain lagi.

Dalil
Dalam agama Islam mahupun agama dan kepercayaan yang lain, fitnah dianggap perbuatan yang berdosa yang boleh membawa kepada kemungkaran dan kerosakan yang nyata apabila dibiarkan tanpa dilindungi dan dikawal dari terus terjadi.
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat; 217 yang bermkasud:

Firman-Nya lagi yang bermaksud:


“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” (Al Baqarah: 193)

Kata fitnah dalam ayat ini menurut para Ulama tafsir adalah bermaksud ‘kekafiran’ atau ‘kemusyrikan’. Iaitu bahawa mereka itu menyebarkan kekafiran.
Terdapat banyak medium yang digunakan bagi menabur khabar palsu atau fitnah kepada sesuatu pihak. Ia boleh dilakukan melalui kaedah pertuturan atau berbisik antara seseorang atau
seseorang yang lain. Menggunakan medium komunikasi moden seperti menggunakan media
massa samada melalui berita, akhbar, radio, televisyen, internet dan lain-lain. Fitnah juga boleh dikembangkan antara satu pihak bertelagah dengan pihak lain dengan hanya menjadikan habuan atau keistimewaan sebagai janji atau upah kepada pihak yag terlibat aktiviti berfitnah.
Petunjuk Rasullulah Mengenai Fitnah
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala. “Hai orang-orang yang beriman! kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu” (Ayat 6 : Surah Al-Hujurat)
Beberapa hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. mengenai fitnah :
1. “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
2. “Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang


dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang menceraiberaikan diantara saudara dan mencaci orang yang tidak berslah akan kesalahannya” (Hadith riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r. a.)
3. Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. bersabda :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)
4. Abu Darda berkata : Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. bersabda “Laki-laki manapun yang menyiarkan terhadap seseorang satu perkataan di aman orang itu terlepas (tiada tersangkut dengan
perkataan tersebut), untuk memalukannua di dunia, nescaya berhak Allah menghancurkan laki-laki itu pada hari kiamat dalam api neraka”.
5. dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. bersabda :”Sesungguhnya tatkala Allah menjadikan syurga, lalu berfirman kepada syurga itu :”Berbicaralah”. Maka syurga itu berkata :”Berbahagialah siapa yang masuk kepadaku”. Lalu Allah berfirman :”Demi KemuliaanKu dan KeagunganKu! Tidak akan menempati pada engkau 8 golongan manusia :-
a) orang yang selalu minum khamar
b) yang selalu berzina
c) yang qattaat (tukang fitnah)
d) yang mengetuai peperangan
e) pengawal penguasa
f) orang yang bertingkahlaku seperti wanita
g) orang yang berkata :”Atas diriku janji Allah, kalau aku tidak berbuat begitu dan begitu. Kemudian dia tidak menepati perkataannya itu”. (Ihya Ulumuddin, Jilid 3)

6. Diriwayatkan Ka’bul Ahbar, bahawa kemarau telah menimpa kaum Bani Israil. Lalu Nabi Musa berdoa meminta hujan berulang-ulang. Tetapi tidak juga diturunkan hujan kepada mereka. Maka Allah Subhanahu wa ta’ala. menurunkan wahyu kepada Musa :”Sesungguhnya Aku tidak menerima doa engkau dan doa orang-orang yang bersama engkau, di mana di kalangan engkau itu ada nammaam (pembawa fitnah), yang berkekalan buat fitnah”. Maka Nabi Musa berdoa :”Wahai Tuhanku, siapakah orang itu? Tunjukkanlah, siapakah orang itu? Tunjukkanlah kepadaku pembuat fitnah itu, sehingga aku dapat mengeluarkannya dari kalangan kami”. Tuhan berfirman :”Hai Musa! Aku melarang kamu dari namimah (Pembuat fitnah)”. maka bertaubatlah mereka semua. Lalu diturunkan hujan kepada mereka.
7. Diriwayatkan dari Umar bin Abdul Aziz bahawa seorang laki-laki datang kepadanya menerangkan sesuatu tentang orang lain. Maka Umar berkata kepadanya: “kalau engkau mahu, maka kami akan memperhatikan tentang keadaanmu. Kalau engkau dusta, maka engkau termasuk orang yang disebut dalam ayat ini. “Kalau datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, periksalah dengan saksama”. Dan kalau engkau benar maka engkau termasuk orang yang disebut dalam ayat ini”, “Suka mencela, berjalan membuat hasung dan fitnah”. Kalau engkau kehendaki, nescaya kami memaafkan engkau. Lalu laki-laki itu berkata : “Maaf wahai Amirul Mukminin. Dan aku tidak akan mengulangi lagi untuk selama-lamanya. ”
8. Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa tukang fitnah tidak dapat dipercayai kata-katanya dan tidak diterima sedekahnyASesungguhnya fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat ini adalah tungku dapur kehinaan.
Dosa Fitnah
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

Dalam ayat ini, Allah melarang hamba-hambanya yang beriman percaya kepada berita angin. Allah menyuruh kaum mukminin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka. Tidak semua berita itu benar, dan juga tidak semua berita yang disampaikan ada faktanya. Ingatlah, musuh-musuh kamu senantiasa mencari kesempatan untuk menjatuhkan kamu. Maka wajib atas kamu untuk selalu berwaspada, hingga kamu boleh kenal pasti orang yang hendak menyebarkan berita yang tidak benar.
Fitnah disebarkan untuk memburuk-burukkan individu atau kumpulan kerana perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan layak dibandingkan orang lain. Ia juga menyebabkan nilai agama musnah daripada menjadi pegangan hidup dalam masyarakat. Apabila nilai agama yang menjadi tunjang kesempurnaan hidup hilang, maka banyak dosa dilakukan.
Perkara itu diingatkan dengan tegas oleh Rasulullah dalam sabda Baginda yang bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, sifat kedekut dan jenayah berleluasa”. – (Hadis riwayat Muslim).
Fitnah adalah sebahagian daripada perbuatan mengadu-domba. Apabila disebarkan, ia mudah menyebabkan permusuhan dua pihak. Permusuhan menjadi semakin tegang dan tidak terkawal apabila banyak fitnah ditabur.
Ia juga tidak mempunyai asas kebenaran. Islam mengarahkan manusia supaya memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dalam berita berunsur fitnah. Justeru, wajib bagi orang Muslim menghalusi setiap berita yang diterima sebelum mempercayainya. Kesahihan berita dapat dilakukan dengan melihat kepada fakta dan sumber berita.
Jika perlu, gunakan masa lebih lama sebelum membuat keputusan. Lebih lama berfikir adalah lebih baik supaya tidak menanggung kesan buruk. Allah memberi hidayah kepada manusia untuk berfikir dengan hati terbuka dan mengharapkan petunjuk-Nya.

Sekiranya berita yang diterima belum diketahui kebenarannya, jangan kita membicara atau menyebarkannya. Rasulullah bersabda: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat”. – (Hadis riwayat Muslim).
Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penting bagi memastikan kita tidak terpedaya dengan berita palsu berunsur fitnah. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiki dulu (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan”.
Dalam era teknologi maklumat, penyebaran fitnah mudah dilakukan melalui alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang lain, malah identiti penyebar juga dirahsiakan.
Dosa fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, ia tidak diampunkan Allah melainkan orang yang difitnah memberi keampunan. Tentu sukar untuk mengakui kesalahan sendiri dan memohon keampunan daripada orang lain.
Dosa fitnah juga menghalang kita masuk syurga. Rasulullah bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah”. – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Penyebar fitnah akan diberi malu oleh Allah apabila dibangkitkan pada akhirat kelak. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat”. – (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).
Iman Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsia yang tidak mahu diketahui orang lain adalah perbuatan adu-domba dan fitnah.

Mencari dan membocorkan rahsia orang dilarang Allah seperti di dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain”. – (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Sesiapa yang menyebarkan berita berbentuk cacian dan kejian, kecelakaan besar bakal diterima sebagai balasan. Allah berfirman: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pengeji. ” – (Surah al-Humazah, ayat pertama).
Hanya orang yang berpekerti buruk melahirkan perkataan buruk. Orang cerdik tidak sekali-kali mengeluarkan perkataan buruk yang secara langsung melambangkan keburukan diri sendiri.
Dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam pernah bertanya kepada para sahabat, “Tahukah kamu apa itu mengumpat?” “Tidak, ” jawab sahabat. Balas Baginda, “Mengumpat adalah kamu menyebut tentang kawan kamu apa yang dibencinya. ” Para sahabat bertanya lagi, “Bagaimanakah sekiranya sesuatu yang disebut itu ada padanya?” Jawab Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam, “Itulah maksudnya mengumpat. ” Nabi berkata lagi, “Kalau kamu menyebut apa yang tidak ada padanya, itu adalah buhtan (fitnah). ” (Hadis Riwayat Tirmizi)
“Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mu’minin dan mu’minat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata:”Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. ” [An Nur : 12].

Wahai kaum msulimin, inilah langkah pertama yang harus engkau lakukan, jika ada berita buruk tentang saudaramu, yaitu berhusnuhan (berperasangka baik) kepada dirimu. Jika engkau sudah husnuzhan kepada dirimu, maka selanjutnya kamu wajib husnuzhan kepada saudaramu dan (menyakini) kebersihannya dari cela yang disampaikan. Dan engkau katakan,
“Maha Suci Engkau (Allah), ini merupakan kedustaan yang besar”. [An Nur : 16].

Inilah yang dilakukan oleh sebagian shahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, ketika sampai berita kepada mereka tentang Ummul Mukminin.
Diceritakan dari Abu Ayyub, bahwa istrinya berkata, ”Wahai Abu Ayyub, tidakkah engkau dengar apa yang dikatakan banyak orang tentang Aisyah?” Abu Ayyub menjawab, ”Ya. Itu adalah berita bohong. Apakah engkau melakukan perbuatan itu (zina), hai Ummu Ayyub? Ummu Ayyub menjawab, ”Tidak. Demi Allah, saya tidak melakukan perbuatan itu. ” Abu Ayyub berkata, ”Demi Allah, A’isyah itu lebih baik dibanding kamu. ”

Kemudian Allah berfirman.
“Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu. Oleh karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi, maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta”. [An Nur : 13].
Inilah langkah yang kedua, jika ada berita tentang saudaranya. Langkah pertama, mencari dalil yang bersifat batin, maksudnya berhusnuzhan kepada saudaranya.
Langkah kedua mencari bukti nyata.
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti”. [Al Hujurat : 6].

Maksudnya mintalah bukti kebenaran suatu berita dari si pembawa berita. Jika ia boleh mendatangkan buktinya, maka terimalah. Jika ia tidak boleh membuktikan, maka tolaklah berita itu di depannya; karena ia seorang pendusta. Dan cegahlah masyarakat agar tidak menyampaikan berita bohong yang tidak ada dasarnya sama sekali. Dengan demikian, berita itu akan mati dan terkubur di dalam dada pembawanya ketika kehilangan orang-orang yang mau mengambil dan menerimanya.

Pihak Yang Terlibat Dengan Dosa Besar Fitnah
1. Individu yang mula-mula mencipta dan merancangan berita fitnah itu dengan diubah suai gambar-gambar palsu (superimpose) dan dimuatkan dalam internet (facebook, blog atau you-tube)
2. Semua akhbar yang memuatkan dalam akhbar mereka tanpa usul periksa di petik daripada laman sosial dan membenarkan berita-berita atau gambar-gambar berupa fitnah tersebut.
3. Sesiapa sahaja yang ‘share’ dan ‘like’ dan mempercayai dan menyebarkan pula berita fitnah tersebut kepada rakan-rakan mereka dalam facebook atau blog.
4. Semua saluran televison yang menyiarkan berita fitnah dan membesar-besarkannya seolah-olah perkara tersebut benar-benar berlaku tanpa membawa saksi dan bahan bukti yang sahih.
5. Semua NGO, kelab, persatuan, pemimpin parti politik, pemimpin masyarakat, bekas pemimpin negara, pensyarah, wartawan, penulis blog dan artis yang menyokong dan memberi komen negatif tanpa membawa saksi yang adil terhadap berita fitnah terutama yang melibatkan tuduhan zina atau liwath maka mereka semuanya akan mendapat saham DOSA BESAR. Sia-sia sahaja amal soleh dan amal ibadah mereka di dunia kerana seronok mempromosikan berita fitnah dan tuduhan jahat. Termasuk juga individu yang hebat memperkatakan Islam dan pakar motivasi tetapi tewas dengan hasutan syaitan mudah mempercayai fitnah dan tuduhan zina dan liwath kepada seorang muslim tanpa membawa 4 orang saksi yang adil. Setakat dakwaan tidak cukup untuk disabitkan kesalahan seseorang muslim.

Penutup
Justeru adalah jelas perlakuan fitnah secara umumnya adalah merujuk kepada tindakan yang jahat dan berdosASekalipun kefahamannya adalah berbeza-beza namun hakikatnya ia merujuk kepada perbuatan yang akan membawa manusia kepada jalan Neraka.

Persoalannya, manakah tempat kembali yang lebih dahsyat selain Neraka yang disediakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala bagi mereka yang zalim yang melakukan perilaku memfitnah sesuatu yang dusta menggunakan fakta salah dengan tujuan jahat bagi menimbulkan anggapan negatif ke atas peribadi seseorang.

Mohon dijauhi Allah Negara kita dari suburnya amalan fitnah memfitnah bagi menjatuhkan maruah seseorang. Biar apa pun tujuan satu golongan membuat fitnah terhadap golongan yang lain, amat kita harapkan amalan itu ditamatkan segera.

Bercakap benar lebih baik dan mudah dari bercakap bohong kerana setiap pembohongan akan melahirkan rentetan pembohongan yang baru bagi menutup pembohongan lama. Bersikap jujurlah terhadap segala perbuatan kita kerana akhirnya Allah akan menilai setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia untuk mendapat balasan yang setimpal di akhirat.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com