Tajuk: Iktikaf

MAKSUD IKTIKAF
Dari pengertian bahasa: Bererti berdiam diri yakni tetap di atas sesuatu. 

Dari pengertian syarak
•I'tikaf bererti berdiam diri di masjid kerana melakukan ibadah yang disunatkan, dikerjakan setiap waktu dan diutamakan pada bulan Ramadhan yang mulia. Ia lebih dikhususkan sepuluh hari terakhir untuk mengharapkan bertemu dengan Lailatul Qadar. 

• "Dari Ibnu Umar ra. ia berkata, Rasulullah biasa beri'tikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. " (H. R. Bukhari dan Muslim) 

•"Dari Abu Hurairah r. a. ia berkata, Rasulullah biasa iktikaf, dan tatkala pada tahun beliau meninggal dunia beliau telah beri'tikaf selama dua puluh hari. (H. R. Bukhari). 

•Sebahagian ulama mengatakan bahawa I'tikaf hanya boleh dilakukan dengan berpuasa di bulan puasa. Manakala yang lain mengharuskan dikerjakan pada bila-bila masa. Cuma bulan Ramadhan adalah amat digalakkan kerana mengutip pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah. 

TUJUAN IKTIKAF

•Dalam rangka menghidupkan sunnah sebagai kebiasaan yang dilakukan oleh Rasulullah dalam rangka pencapaian ketakwaan hamba. 
•Sebagai salah satu bentuk penghormatan kita dalam memeriahkan masjid di bulan suci Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat dari Allah. 
•Menunggu saat-saat yang baik untuk turunnya Lailatul Qadar. 
•Membina rasa kesedaran imaniyah kepada Allah dan tawadhu' di hadapanNya, sebagai mahluk Allah yang lemah. 

JENIS-JENIS IKTIKAF

•IKTIKAF SUNAT
Iktikaf yang dilakukan secara sukarela untuk mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan ganjaran pahala daripada-Nya dan mengikuti sunnah rasulullah. Iktikaf lebih utama dilakukan pada 10 hari terakhir bulan ramadhan. 

•IKTIKAF WAJIB
 Iktikaf wajib pula ialah iktikaf yang diwajibkan oleh seseorang ke atas dirinya. Ada kalanya dengan cara nazar yang bersifat mutlak, ada kalanya pula dengan nazar bersyarat. 

 WAKTU IKTIKAF

•Iktikaf wajib hendaklah dilakukan sesuai dengan apa yang telah dinazarkan oleh seseorang. 

•Jika bernazar untuk beriktikaf selama satu hari atau lebih, maka orang itu diwajibkan melaksanakannya seperti yang telah diucapkannya. 

•Iktikaf sunat tidak dibatasi oleh waktu. Ia dapat dilakukan apabila seseorang berada di masjid kemudian berniat iktikaf sama ada dalam waktu yang lama mahupun singkat. Memperolehi ganjaran pahala selama ada di dalam masjid tersebut. Kemudian, jika dia keluar lalu masuk kembali ke dalamnya, memperbaharui niatnya, jika masih ingin beriktikaf. 


SYARAT-SYARAT IKTIKAF

•Islam
•Berakal 
•Tidak berjunub 
•Bersih dari haid dan nifas bagi perempuan 
•Berniat tinggal (duduk) di dalam masjid 

RUKUN-RUKUN IKTIKAF

•Niat 
•Duduk / diam di masjid 

TEMPAT IKTIKAF

•Dilakukan di masjid, surau atau mushalla, kerana semuanya tempat beribadah. Tempat untuk sujud atau sebagai tempat solat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. 
•Lebih afdal beriktikaf di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa. 
•Di masjid Jamik, sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat. 
•Di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu, bagi menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu. 

AMALAN SEWAKTU IKTIKAF
•Perkara yang sunat dilakukan:
-Mendirikan solat-solat sunat 
 -Menghadiri tazkirah, majlis ilmu, mengulangkaji kitab hadith, tafsir, sirah 
 Nabi dan sebagainya. 

•Memuhasabah diri terhadap perkara-perkara yang lalu

•Memperbanyakkan kegiatan taqarrub seperti:
 -Membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran 
 -Bertasbih, tahmid, takbir dan tahlil, 
 -Istighfar 
 -Berselawat dan berdoa 
 -Menunaikan solat sunat 

ADAB IKTIKAF

1. Sebelum ke masjid:

•Mandi 
•Memotong rambut, misai dan kuku
•Memakai pakaian yang bersih dan haruman 

2. Di masjid

•Memberi salam kepada ahli masjid 
•Solat sunat Tahiyyatul Masjid 
•Berniat iktikaf 
•Melakukan ibadah 
•Menjaga kelakuan dan tatatertib masjid 

PERKARA YANG HARUS DILAKUKAN

Perkara yang dibolehkan bagi ‘mutakif’ (orang yang beriktikaf):

•Keluar daripada masjid kerana hajat dan dharuriah (darurat). 
•Keluar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saudara mara. 
•Menziarahi kematian atau orang sakit. 
•Membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan. 
•Dibolehkan makan minum, tidur, melakukan transaksi, perjanjian jual beli, akad nikah dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid. 
•Keluar dari tempat iktikaf kerana keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya. 
•Adapun bagi orang yang iktikaf nazar maka tidak dibenarkan menziarahi orang sakit, menjenguk jenazah dan bertakziah. 

BATAL IKTIKAF

•Hilang akal kerana gila atau mabuk 
•Datang haid atau nifas. 
•Murtad 
•Berjimak 
•Keluar masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid. 

IKTIKAF WANITA

•Iktikaf wanita bergantung kepada izin suami
1. Iktikaf sunat tidak wajib ke atas isteri sehingga suami mempunyai hak untuk melarangnnya. 
2. Iktikaf nazar yang mendapat kebenaran suami pada waktu tertentu, maka isteri boleh masuk ke tempat iktikaf tanpa perlu dapatkan izin baru atau khusus dari suami. 
3. Jika iktikaf nazar mendapat kebenaran suami pada tanpa waktu tertentu, maka isteri tidak boleh memulakan waktu iktikaf kecuali dengan izin suaminya. 
4. Pendapat para ulamak: Apabila suami memberikan izin pada isteri melakukan iktikaf, maka dia tidak berhak menarik semula kebenaran tersebut baik iktikaf sunat atau wajib. 
5. Menurut Mazhab Hanafi : wanita boleh melakukan iktikaf di masjid manapun sebagaimana dia dibolehkan untuk melakukan iktikaf di tempat solat rumahnya. Namun, dia tidak dibolehkan melakukan iktikaf di rumahnya di luar tempat yang disediakan untuk melakukan solat. 
6. Mazhab Hambali dan Syafie: Wanita dibolehkan untuk melakukan iktikaf di masjid yang tidak digunakan untuk melakukan solat jamaah. Mereka tidak boleh melakukaniktikaf di rumahnya kerana ia adalah ibadat yang dikhususkan dilakukan di masjid. 
7. Pendapat yang kuat adalah pandangan Hanafi. Wanita boleh beriktikaf di tempat yang khusus solat di dalam rumahnya. 

IKTIKAF NAZAR
•Jika seorang bernazar untuk beriktikaf pada tempoh tertentu secara berturut-turut maka dia tidak boleh keluar dari masjid kecuali dengan tujuan tertentu. 
•Sekiranya keluar tanpa keuzuran untuk perkara yang bukan dharusi maka hukumnya haram, iktikafnya terputus dan wajib memulakan iktikaf baru. 
•Sekiranya dia bernazar untuk iktikaf dengan puasa maka dia mesti melakukannya dan ia adalah paling baik baginya. 
•Jika dia terbatal, maka diwajibkan dia menyempurnakan bilangan hari iktikaf yang berbaki. (iktikaf yang tidak disyaratkan secara berturut-turut beberapa hari). 
•Jika dia mensyaratkannya secara berturut-turut, maka dia harus melakukannya sekaligus secara berturut-turut. 

PENGAJARAN
•Dapat melihat kekurangan dan kelemahan diri. 
•Meningkatkan displin dan tahap kesabaran diri. 
•Bersemangat untuk memperbaiki diri. 
•Meningkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan, 
•Memperbaiki hubungan dengan Allah Subhanahu wa ta’ala. dan manusia. 
• Mendidik diri lebih taat dan tunduk kepada Allah. 
•Seseorang yang tinggal di masjid mudah untuk memerangi hawa nafsunya, kerana masjid adalah tempat beribadah dan membersihkan jiwa. 
•Masjid merupakan madrasah ruhiyah yang sudah barang tentu selama sepuluh hari ataupun lebih hati kita akan terdidik untuk selalu suci dan bersih. 
•Tempat dan saat yang baik untuk bertemu dengan Lailatul Qadar. 
•I'tikaf adalah salah satu cara untuk memakmurkan dan meramaikan masjid. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com