Tajuk: Larangan Bersifat Dengki Menurut Ajaran Islam

PENDAHULUAN
Menurut Imam Ghazali menerangkan bahawa pentingnya meninggalkan sifat-sifat yang buruk bagi menuju ke akhlak yang baik. Hal ini bernama takhliyyah (meninggalkan keburukan) dan tahliyyah (beramal yang terpuji). Adapun bentuk-bentuk takhliyyah misalnya membenci, pemarah, dengki, dan sebagainyASedangkan tahliyyah misalnya, berbuat baik, jujur, pemaaf dan sebagainya. Dan seharusnya pandangan Imam Ghazali ini perlu untuk dijadikan contoh dalam kehidupan berakhlak. 

Walaubagaimanapun, setiap manusia tidak sempurna. Hal ini demikian kerana, manusia juga mempunyai sifat tercelanya sendiri iaitu dengki. Menurut hadis, 

“Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: Wajiblah kamu menjauhi sifat dengki, kerana kedengkian boleh memakan sifat kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar. ” (H. R. Abu Daud dan Ibnu Majah)

KETERANGAN DENGKI
Tentang dengki, ada yang berkata bahawa ia merupakan dosa pertama yang dianggap derhaka kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Kerana ketika Allah menyuruh iblis sujud kepada Adam ia menolak, maka dengan itu, ia telah derhaka kepada Allah, lalu diusir dan lahirlah dari sini segala bencana, cubaan mahupun fitnah kepada manusia. 

 Dengki itu hanya berkenaan denang nikmat jika Allah memberikan nikmat-Nya kepada saudaramu, maka terjadinya perasaan antaranya iaitu mungkin ada yang tidak senang melihat nikmat itu pada orang lain dan mengharapkan nikmat itu hilang dari diri mereka. Jika ada yang berperasaan begitu, ini namanya dengki. 

 Sifat dengki menurut Imam Ghazali pula adalah anak kepada sifat marah. Dengki (hasad) dari seseorang iaitu satu usaha untuk menghilangkan bentuk kenikmatan dari pihak musuhnya, dan juga merasa senang diatas penderitaan yang sedang diterima oleh orang lain. 

 Imam Nawawi pula menulis di dalam Riyadhussolehin tentang apa itu hasad, ”Seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini disebut orang dengki. ”

HUKUM DENGKI
Perasaan dengki itu hukumnya haram. Dengki dibolehkan kepada orang kafir atau fasiq yang menggunakan nikmat Allah untuk berbuat dosa dan derhaka, fitnah, merosakkan orang baik-baik serta mengganggu masyarakat. 

 Tentang haramnya dengki ini, dapat diketahui dari beberapa hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam sebab dengki beerti marah terhadap ketentuan Allah dan kebijaksanaan-Nya didalam melebihkan pemberian nikmat kepada para hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda, bermaksud: 

“Sesungguhnya pada nikmat Allah ta’ala itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: “Siapakah musuh-musuh itu ya Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah. ”

 Dengan demikian orang tersebut berusaha menyingkirkan diri jika diminta bantuan, bahkan, menghinanya, berbohong, membicarakan keburukan orang lain, menyingkapkan sesuatu yang sifatnya rahsia, menceritakan sesuatu sambil mengejek, menyakiti badan orang lain yang tidak membayar hutangnya itu semua hukumnya haram. 

JENIS-JENIS DENGKI
Menurut Imam Ghazali, tahap kedengkian itu ada tiga jenis:

1. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan ia dapat menggantikannya. 

2. Menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang, sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil bahawa dirinya akan dapat menggantikannya atau memang bukan mudah memperolehinya atau sebab-sebab yang lain. Pokoknya, asalkan orang itu jatuh, ia gembira. Ini adalah lebih jahat dari kedengkian yang pertama. 

3. Dia tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang, tetapi ia benci kalau orang itu akan melebihi kenikmatan yang dimilikinya sendiri. Inipun terlarang, sebab jelas dia tidak redha dengan apa-apa yang telah dikurniakan oleh Allah. 

 Orang yang berhasad dengki hidupnya tidak akan tenteram. Dia bukan sahaja dimurkai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, malah pemikirannya juga sentiasa bercelaru kerana asyik memikirkan ketidakpuasan hati terhadap orang lain. Sifat dengki akan mewujudkan permusuhan. Manusia seperti ini sentiasa merasakan dialah yang terbaik, jadi dia akan gelisah jika ada orang lain melebihinya. 

SEBAB-SEBAB BERSIFAT DENGKI
Imam al-Mawardi rohimahulloh berkata : 

“ Sebab pendorong hasad ada tiga perkara :

Pertama : Kebenciannya terhadap orang yang dia dengki. Dia merasa sakit hati dengan keutamaan yang diperoleh orang lain, dari sinilah hasadnya timbul. 

Kedua : Orang yang ia dengki mempunyai keutamaan dan kelebihan yang tidak bisa ditandingi oleh pelaku hasad tersebut. Dia benci apabila saingannya maju, dan berhasil. Jenis hasad ini adalah hasad yang pertengahan. Karena ia tidak hasad pada orang yang selevel atau yang lebih rendah darinya, dia hanya hasad pada orang yang lebih tinggi dan berhasil darinya. 

Ketiga : Orang yang hasad bakhil terhadap nikmat yang ia peroleh. Padahal nikmat itu bukan usahanya. Maka apabila dia melihat orang lain mendapat nikmat Alloh, dia akan benci, iri dan dengki dari hal tersebut. Secara tidak sadar ia telah menentang ketentuan Alloh. Ini adalah jenis hasad yang paling jelek. ” 

KEADAAN ORANG YANG BERHASAD DENGKI
Paling hina sekiranya dengki itu menyebabkan dorongan kepadanya melakukan sesuatu tindakan semata-mata untuk menjatuhkan orang lain, seterusnya boleh mengundang sifat mazmumah yang lain seperti fitnah-memfitnah, pergaduhan, pembohongan, putus silaturahim, penghinaan dan lain-lain. Malah tidak hairan jika sifat dengki juga boleh mengakibatkan pembunuhan. Semua kejahatan ini akan wujud ekoran dari perasaan hasad dengki selagi ianya tidak dijauhkan. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala, “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki. ” (Al-Falaq: 5)

 Hampir semua orang dihinggapi penyakit hasad dengki. Cuma bezanya banyak atau sedikit, bertindak atau tidak. Hatta ulama-ulama pun terkena penyakit ini bahkan lebih berat lagi, hingga di dalam hadis ada dinyatakan, salah satu sebab dari golongan yang masuk neraka itu ialah ulama kerana hasadnya. 

Allah Subhanahu wa ta’ala menjelaskan tentang orang-orang yang hasad dengki dalam surah Muhammad ayat 29-30:

Patutkah orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan mendedahkan perasaan dendam dan hasad dengki mereka (terhadap Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam dan umatnya)? (Muhammad: 29) 

Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya dan (ingatlah kamu masing-masing), Allah mengetahui segala yang kamu lakukan. (Muhammad: 30)

AKIBAT BERSIFAT DENGKI
1. Merosakkan amalan ketaatan. 
Dari Abu Hurairah, Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: "Jauhi olehmu sekalian akan sifat hasad, kerana sesungguhnya hasad itu menghapuskan beberapa kebaikan ibarat api memakan kayu api dan rumput. " (Bukhari dan Muslim)

2. Mendorong melakukan kederhakaan. 
Orang yang bersifat hasad (dengki) tidak akan terlepas dari perbuatan memburuk-burukkan orang lain, berdusta, mencaci dan mengumpat. Dari Dhamrah bin Tsa'labah: "Tentu sahaja orang-orang itu baik, selama mana mereka itu tidak saling dengki-mendengki" (Thabrani)

3. Terhalang dari mendapat syafaat. 
Dari Abdullah bin Basyar, dari Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam : "Tidaklah termasuk golonganku, si pendengki, orang yang mengadu domba, orang yang mengamalkan ilmu tenung, dan sayapun tidak dari golongan mereka. "
Kemudian baginda membaca ayat yang bermaksud: "Orang-orang yang menyakiti hati orang mukmin lelaki mahupun wanita dengan apa-apa yang mereka tidak lakukan (tuduhan palsu), maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan kedustaan dan dosa yang nyata. " (Thabrani)

4. Masuk neraka. 
Dari Umar dan Anas bin Malik, Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda:
"Ada enam macam orang yang akan masuk neraka sebelum dihisab, oleh sebab enam jenis perbuatan. " Siapakah mereka ya Rasulullah? Baginda menjawab:
1. Para penguasa, kerana tindakan aniaya mereka, 
2. Orang Arab oleh sebab sifat asabiyahnya, 
3. Para penjajah kerana keangkuhannya, 
4. Para pedagang, kerana perbuatan khianat mereka, 
5. Orang kampung kerana kebodohannya, 
6. Para ulama oleh sebab sifat dengki mereka. (Riwayat Dailamy)

5. Berbuat sesuatu yang akan membahayakan orang lain. 
Allah Subhanahu wa ta’ala menyarankan agar memohon kepada-Nya perlindungan dari kejahatan syaitan dan kejahatan pendengki. 
Firman Allah bermaksud: "Dan dari kejahatan si pendengki apabila dia mendengki" (Al Falaq: 5)
Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: "Mintalah pertolongan atas terlaksananya beberapa keperluanmu dengan sembunyi-sembunyi, kerana sesungguhnya tiap-tiap yang mendapat nikmat itu didengki"

6. Menghadapi kesulitan hidup dan bergelumang dengan dosa dan durhaka. 
Berkata Ibnus Sammaki: "Saya belum pernah melihat orang yang aniaya, seperti orang yang dianiaya oleh orang yang berbuat dengki, iaitu sulit, fikirannya bingung serta selalu susah. "

7. Hati menjadi buta. 
Seorang yang hasad dengki seakan tidak dapat memahami hukum Allah lagi asalkan dia dapat melaksanakan kedengkiannya seperti tindakan Qabil membunuh Habil. Berkata Sufyan: "Janganlah engkau menjadi orang yang pendengki serta cepat mengambil kesimpulan. "

CARA MENGATASI DENGKI
Di antara langkah-langkah yang mesti kita lakukan sebagai mujahadah terhadap hasad dengki ialah:

1. Setiap kali orang yang kita dengki itu apabila beroleh kejayaan, kita kunjungilah dia untuk mengucap tahniah dan bergembira bersamanyASebaliknya apabila orang itu mendapat bencana atau musibah, kita kunjungi pula untuk mengucapkan takziah dan tumpang bersedih bersamanya. 

2. Sanjung dan pujilah kebaikan dan keistimewaan orang yang kita hasad dengki itu di belakangnya dan kalau ada kesalahan dan keburukannya kita rahsiakan. 

3. Selalulah ziarah dan beri hadiah pada orang yang kita dengki itu. Saling berhadiah itu melahirkan kasih sayang dan menjauhkan permusuhan. 

4. Kalau ada orang cuba menjatuhkan orang yang kita dengki itu, kita pertahankan dia. Jangan layan orang (atau syaitan) yang hendak merosakkan mujahadah kita. 

5. Berdoalah selalu pada Allah Subhanahu wa ta’ala agar memudahkan kita mengubat penyakit dengki yang amat bahaya dalam diri kita itu. 

Ingatlah selalu janji Allah Subhanahu wa ta’ala, "Dan mereka yang berrnujahadah pada jalan Kami nescaya Kami tunjuki jalan-jalan Kami itu. " (Al Ankabut: 69)

JIKA KITA DIDENGKI
Kita boleh memilih antara empat cara ini:

1. Membalas semula kejahatan dengan kejahatan. 
Cara ini pastinya bukan cara yang terbaik, malah akan memburukkan keadaan, serta akan terjadi permusuhan yang berpanjangan. 

2. Berdiam diri. 
Tidak perlu membalas, hanya perlu bersabar. Tetapi cara ini amat sukar untuk dibuat. Terpaksa memendam perasaan yang sangat sakit, kecuali jika seseorang itu sudah redha dengan segala ketentuan Allah Sallallahu ‘alaih wa sallam. 

3. Membalas kejahatan kedengkian itu dengan kebaikan. 
Mampukah kita berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita? Orang dengki kita, kita beri dia hadiah. Orang susahkan kita, kita tolong dia kembali. Ibarat kalau orang lempar kita dengan najis, kita lempar semula dengan minyak wangi. Sedangkan untuk berbuat baik kepada orang yang amat baik kepada kitapun teramat payah, inikan pula kepada orang yang berlaku jahat kepada kita. 

4. Doakan mereka agar diberi hidayah oleh Allah Sallallahu ‘alaih wa sallam, serta akan insaf dan beriman. 

DENGKI ADALAH SIFAT KAUM YAHUDI
Orang yahudi merasa hasad dengan risalah kerasulan yang diberikan kepada Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. Allah melantik Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam sebagai utusan Allah dan ini adalah kelebihan agama yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad saw. Orang Yahudi merasa benci dan tidak redha dengannya. 
 Jika kita lihat sejarah, ketika Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam berhijrah ke Madinah, ternyata terdapat orang yahudi yang menetap di sekitar Bandar Madinah ketika itu, iaitu tiga kabilah Yahudi; Bani Qainuqa’, bani Nadhir, Quraidzah. Ini adalah tiga kabilah yahudi yang berhijrah ke Madinah sedangkan asal mereka dari utara di Syam. 
 Sejarah menunjukkan mereka berhijrah ke Madinah lantaran apa yang mereka dapati dalam kitab Taurat mereka di mana disebutkan tanda-tanda akan datangnya Rasul akhir zaman dan Baginda akan datang di jazirah arab dan disebutkan ciri-ciri tempat Baginda akan datang. Jadi orang Yahudi sudah maklum akan datangnya rasul akhir zaman. 
 Para rasul sebelum Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam semuanya datang dari kaum Bani Israil. Mereka semua datang dari keturunan Nabi Ibrahim alaihissalam. Juga disebut dalam Al-Quran bahawa Allah memilih Bani Israel daripada semua bangsa yang lain. Allah memilih Bani Israil sebagai kemuliaan buat mereka. Namun kita dapat melihat apa yang dilakukan oleh orang-orang yahudi atas kelebihan nikmat yang Allah beri kepada mereka (mereka melanggar perjanjian dengan Allah). 

 Maka mereka berhijrah ke Madinah untuk menanti datangnya Rasul akhir zaman. Dalam Al-Quran Allah berfirman, “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil), mereka mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Sungguh sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui. ” (Al Baqarah: 146)

 Kita semua kenal anak-anak kita, tidak mungkin kita tersilap. Begitulah Allah umpamakan orang-orang Yahudi; mereka tahu sifat-sifat Rasul akhir zaman. Tidak hairanlah bagaimana mereka menjumpai Madinah dan mereka tidak tersilap pergi ke tempat lain. Mereka tahu bahawa Nabi akhir zaman akan sampai ke sini. 

 Apabila Nabi Muhammad tiba ke Madinah, perkara pertama yang orang Yahudi lihat adalah Baginda bukan dari Bani Israel, bukan dari bangsa mereka. Ternyata kelebihan yang telah Allah berikan kepada Bani Israil, bahawa para Rasul semua datang dari bangsa mereka, membuat mereka takbur, ujub, dan mereka melihat diri mereka lebih tinggi dari orang lain. Mereka melihat mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah. 

 Jadi apabila Nabi Muhammad berbangsa Arab, mereka tidak menerima kerasulan Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam kerana perbezaan bangsa, dan mereka mahu kelebihan risalah yang ada pada Muhammad dihilangkan daripada Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam. Maka hasilnya adalah hasad. Ini yang kita katakan bahawa hasad adalah sifat tercela yang sinonim dengan sifat orang Yahudi. 

 Allah berfirman, “Ramai daripada Ahli Kitab sangat mengharapkan kalau sekiranya mereka dapat mengembalikan orang-orang yang beriman kepada kekufuran kerana perasaan hasad yang ada pada diri mereka. ” (Al-Baqarah: 109)

 Kesimpulannya, permusuhan orang-orang kafir secara amnya dan orang-orang yahudi secara khasnya terhadap orang Islam adalah akibat perbezaan agama itu. Hal ini membuatkan mereka sedaya upaya ingin menyesatkan orang Islam. 

 Mereka ingin menyesatkan umat Islam bukan semestinya kerana mereka melihat agama mereka benar dan agama Islam itu sesat. Bahkan ada kemungkinan kerana hasad semata-mata. Mereka tidak redha kelebihan itu ada pada orang Islam maka mereka ingin keluarkan orang Islam dari agama ini dan mereka tidak peduli sama ada orang Islam yang murtad itu akhirnya masuk kristian, yahudi atau agama lain. Kerana tujuan mereka adalah ingin menghilangkan kelebihan yang ada pada orang Islam, yang penting adalah manusia meninggalkan Agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam. 

PENUTUP
Timbul hasad dengki kita pada seseorang ialah kerana orang itu mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang mengatasi apa yang ada pada diri kita. Bila kita terasa orang itu telah mengalahkan kita dalam perjuangan, perlumbaan atau perniagaan maka datanglah dengki itu. 

 Sepatutnya tidak ada hasad dengki. Kalau kita beriman dengan Allah, yakin akan keadilan-Nya mengatur pemberian kepada hamba-hamba-Nya, kita tidak akan berdengki-dengkian lagi. 

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan/irihati (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianyASesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ” (An-Nisa':32)

 Allah yang melebih dan mengurangkan pemberian-Nya kepada seseorang. Dan Allah adalah adil atas pemberian lebih dan kurang itu. Dia bermaksud menguji kitASiapa yang sedar dirinya sebagai hamba-Nya, lalu akan sentiasa bersyukur pada nikmat yang diperolehi, redha dengan taqdir dan sabar menghadapi ujian. 

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (Al-Mulk: 2)

 Kalau Allah lebihkan seseorang dari kita, ertinya Allah mahu menguji kita sama ada sabar dan redhakah kita dengan kekurangan yang Allah takdirkan. 

RUJUKAN
1. Hussein Bahreisj. 1981. Ajaran-Ajaran Akhlak Imam Ghazali. Surabaya, Indonesia: AL-IKHLAS Surabaya. 
2. Drs. Moh. Thalib. 1983. Sifat Dan Sikap Tercela Dalam Islam. Tanjungan 53 E, Surabaya: pt. Binailmu
3. Imam Al-Ghazali. 2009. Mutiara Ihya’ Ulumuddin Imam Al-Ghazali. Ipoh: Bukubuku
4. Razak Ar-Rashid. 1999. Remaja Berakhlak. Selangor: Jana Ilmu


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com