Tajuk: Sihir

DEFINISI SIHIR

Definisi dari segi syariah
Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan ataupun ditulis yang dapat mendatangkan kesan serta akibat kepada tubuh, hati dan akal orang yang disihir tanpa menyentuhnya. Ini adalah pendapat daripada Ibnu Qudamah al-Maqdisi.

Definisi dari segi pemahaman perawat
Sihir ialah gangguan jin yang dihantar, diatur ataupun dikendalikan oleh manusia yang mewarisi ataupun mempelajari ilmu hitam bagi menganiaya manusia tanpa menyentuhnya. Di rantau Nusantara, ia juga dikenali sebagai ilmu tuju-tuju, ilmu hitam (black magic), ilmu santau, ilmu santet, ilmu guna-guna ataupun penyakit buatan orang.

Penjelasan Perihal Ilmu Sihir ataupun Ilmu Hitam
• Ilmu sihir adalah ilmu yang membawa mudarat kepada penuntut ilmu itu dari segi akidah dan kepada orang lain yang teraniaya. Ia dapat dipelajari daripada orang yang pandai perihal ilmu hitam. Sihir ataupun ilmu hitam mempunyai kaedah-kaedah pembelajarannya yang tersendiri. Mujarabnya ilmu ini terhasil apabila ada persepakatan di antara manusia dan jin, syaitan dan iblis. Allah berfirman, “Pergilah, tetapi barangsiapa diantara mereka yang mengikuti kamu, maka sungguh, neraka jahanamlah balasanmu semua, sebagai pembalasan yang cukup. Dan perdayakanlah siapa saja diantara mereka yang engkau (iblis) sanggup dengan suaramu (yang memukau), kerahkanlah pasukanmu terhadap mereka, yang berkuda dan yang berjalan kaki, dan bersekutulah dengan mereka pada harta dan anak-anak lalu beri janjilah kepada mereka. ”Padahal setan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka. “Sesungguhnya (terhadap) hamba-hamba-Ku, engkau (iblis) tidaklah dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga. ” (Al-Isra’:63-65)

(Iblis) menjawab, “Demi kemuliaan-Mu, pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih diantara mereka. (Allah) berfirman, “Maka yang benar (adalah sumpahku), dan hanya kebenaran itulah yang Aku katakan. Sungguh, Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan kamu dan dengan orang yang mengikutimu diantara mereka semuanya. ” (Shad:82-85)

Ilmu sihir tidak berhasil dengan sendirinya tanpa penglibatan pihak-pihak berikut:
Orang yang mahukan penganiayaan berlaku kepada pihak mangsa.

Mereka mempunyai sifat hasad dengki ataupun mempunyai sesuatu tujuan kepada orang yang mahu dianiaya ataupun disihir. Mereka mahu melihat mangsa dibunuh, disakiti, menjadi gila, jatuh cinta, menjadi benci da sebagainya.

Tukang sihir
Mereka melakukan upacara-upacara sihir dan mengadakan persepakatan dengan iblis dan syaitan demi menganiayai mangsa. Mereka terdiri daripada bomoh-bomoh ataupun apa sahaja nama yang sealiran dengannya. Mereka menerima imbuhan dalam bentuk wang ataupun apa sahaja sebelum upacara sihir dimulakan daripada orang yang mahu penganiayaan sihir dilakukan ke atas mangsa.
Upacara ataupun kaedah tertentu bagi menghantar sihir kepada mangsa
 Ritual-ritual tertentu diadakan khusus untuk mangsa yang sudah menjadi sasaran. Mangsa dikenali melalui pelbagai medium seperti gambar, barang-barang milik mangsa, pakaian mangsa dan keturunan mangsa yang teratas seperti ibu ataupun neneknya.

Mangsa yang teraniaya
 Mangsa diganggu oleh makhluk jahat itu mengikut misi yang diarahkan oleh tukang-tukang sihir. Jin-jin jahat mengganggu dari luar tubuh ataupun masuk ke dalam tubuh mangsa. Pada peringkat yang terlalu kejam, mangsa terbunuh, mengalami sakit fizikal, gangguan emosi dan fikiran dan menjadi benci ataupun mencintai seseorang tanpa sebab. Perkara-perkara ini berlaku dengan izin dan ketentuan Tuhan.

Tukang-tukang sihir dapat dikenali secara zahir melalui beberapa tanda. Pengetahuan ini penting kerana ada pengamal perubatan yang berselindung disebalik imej Islam tetapi pada hakikatnya menggunakan jin-jin bagi merawat pesakit yang terkena gangguan jin.
o Pengamal sihir tidak mengerjakan solat ataupun malas bersolat.
o Tidak menjaga kebersihan rumah dan diri serta tidak suka mandi.
o Mereka memakai tangkal atau azimat yang berupa gelang ataupun rantai.
o Apabila berbicara mereka selalu mendabik dada dengan menceritakan kehebatannya dan mempunyai ego yang tiggi.
o Apabila terserempak dengan mereka, mereka mudah terkejut.

Tanda-tanda Ketika Merawat ataupun Melakukan Upacara Sihir
• Mereka menggunakan haiwan sembelih seperti ayam yang berwarna hitam. Haiwan yang sudah disembelih dimakan ataupun dibuang ke dalam hutan. Darah haiwan itu juga digunakan sebagai bahan perawatan.
• Memberi batu-batu yang sudah dimasukkan ayat-ayat supaya dijadikan pendinding rumah.
• Pesakit diminta berendam ataupun menyelam sama ada di dalam kolam air, kolam lumpur ataupun kubang kerbau selma tempoh semalaman ataupun beberapa malam.
• Tukang-tukang sihir mengiklankan kebolehan mereka membuat pelaris, pendinding, penik seri muka, ilmu kebal, pengasih dan penunduk untuk pelanggannya.
• Membekalkan pesakit dengan kemenyan ataupun apa sahaja kertas dengan tujuan supaya pesakit membakar dan mengasap tubuh badan ataupun rumah.
• Mereka menggunakan objek yang pernah digunakan pesakit atau orang yang mahu dianiayai seperti pakaian, bekas yang pernah dipakai dan apa sahaja yang pernah mereka miliki
• Menyuruh pesakit supaya bersendiri di dalam bilik yang gelap ataupun suram. Biasanya pesakit dipesan supaya berdiam diri sekiranya terlihat apa sahaja makhluk ataupun berasa kebas-kebas di bahagian anggota tubuh. Pengamal mengatakan kaedah ini adalah rawatan jarak jauh.
• Pengamal sihir meminta nama pesakit dan nama ibu ataupun nenek demi tujuan yang tidak diketahui.

Upacara Tukang Sihir
Menyembah jin ataupun syaitan secara langsung

Menyembah jin ataupun syaitan secara langsung iaitu dengan mengagungkan, menyeru dan memuji mereka. Penyembahan sebenar syaitan adalah seperti orang menyembah berhala ataupun ritual kumpulan Black Metal. Pengamal-pengamal juga meminum darah haiwan serta melakukan zina dengan cara beramai-ramai

Membaca mantera-mantera
Perbuatan membaca mantera adalah amalan harian ahli sihir. Tujuannya supaya menjadi kebal, seri muka dan sebagainya.

Mengadakan upacara perasapan
Memanggil dengan asap kemenyan, menyalakan api dan menyeru nama-nama jin ketika mengadakan upacara perasapan. Objek yang digunakan adalah seperti keris, tombak, duit syiling lama dan patung-patung sembahan.

Melalui penyembelihan binatang
Binatang yang disembelih dalam upacara pemujaan adalah seperti ayam hitam, kambing hitam, dan apa sahaja mengikut kehendak jin-jin itu. Mantera dibacakan ketika penyembelihan binatang dilakukan.

Menurun
Menurun adalah perbuatan menyeru jin-jin supaya meresap ke dalam tubuh. Roh-roh yang diseru sebagai khadam-khadam ayat, wali-wali, rijalulghaib aataupun sheikh-sheikh. Ini adalah penipuan syaitan yang kadangkala menggunakan imej Islam bagi mengaburi mata awam.

Jenis-Jenis Sihir
• Tuju-Tuju
• Sihir Pemisah
• Sihir pembenci
• Sihir pengasih
• Pukau
• Santau
• Susuk

Benteng-Benteng Ampuh Ilahi Melawan Gangguan Syaitan
A. Kelayakan Pembentengan Diri

 1. Pembentengan Ilahi
 2. Isti’adzah
 3. Istighatsah
 4. Isti’anah
 5. Pembentengan diri pada setiap hari
 -solat
 -Surah Al-Waqiah
 -Surah Al-Mulk
 -Surah Yasin
 -Banyak membaca istighfar

 6. Pembentengan diri pada malam hari
 -Gangguan malam hari
 -Surah al-Shaffaaat
 -Cara pembacaan
 -Sebelum tidur
 i) Wuduk
 ii)Surah al Fatihah
 iii)Ayat al-Kursi
 iv)Penutup surah al-Baqarah

 1. Pembentengan Ilahi
Membaca al-Quran al-Karim merupakan ibadah yang agung. Masing-masing satu huruf daripadanya mendapatkan sepuluh kebajikan. Hal ini adalah sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. Akan tetapi keadaan pesakit berbeza-beza antara yang satu dengan yang lainnya. Oleh itu, orang yang terkena sihir dan juga orang yang kerasukan syaitan, terkadang apabila dibacakan ayat-ayat dan surah-surah al-Quran tidak dapat mengusir syaitan yang mengganggunya. Maka orang yang memberikan pengubatan mesti membacakan ayat-ayat dan doa-doa yang sesuai dengan keadaannya. Yang demikian bertujuan untuk mengusir dan menolak penyakit yang terdapat dalam dirinya. Kemudian dia melakukan pembentengan dirinya dengan cara melazimi kaedah keislaman dan ayat-ayat penjaga diri dan ayat rahmat.

Pembentengan Ilahi dapat dilakukan dengan tiga cara. Pertama, membaca isti’adzah. Kedua, membaca istighatsah. Ketiga, membaca isti’anah. Mengenai penjelasannya adalah :
2. Isti’aadzah
 Makna isti’adzah ialah meminta perlindungan. Syaitan dapat diusir dengan cara meminta perlindungan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Allah berfirman:
 Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
 (surah Al-Fusilat:36)
 Ayat ini dibacakan kepada orang yang mengalami sifat was-was dan kekacauan fikiran. Iaitu dibaca pada setiap hari secara berulang-ulang selepas setiap kali melaksanakan solat, nescaya akan sembuh dengan izin Allah.

3. Istighatsah
 Yang dimaksudkan dengan istighatsah ialah meminta pertolongan dan keselamatan kepada Allah. Permintaan pertolongan itu hanya kepada Allah Yang Maha Kuasa.

4. Isti’anah
 Setiap insan adalah lemah yang selalu dibolak-balikkan oleh hawa nafsunya dan selalu diambang-ambingkan oleh pelbagai kemusykilan. Akan tetapi dia menjadi kuat dengan sebab meminta bantuan kepada Allah Yang Maha Esa, Yang Berhak disembah, Yang selalu memberikan bantuan.
 Allah Subhanahu wa ta’ala. Berfirman:
 Ertinya: “Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. ”

PENUTUP
Manusia diciptakan Allah di muka bumi ini sebagai khalifah. Paada waktu yang sama, manusia diuji dengan kewujudan jin-jin, syaitan dan iblis yang menuggu peluang bagi merosakkan dan menyesatkan semua keturunan Adam dan Hawa. Allah sudah membekalkan manusia dengan Al-Quran sebagai petunjuk yang tidak ada sebarang keraguan padanya. Allah juga sudah mengutuskan Nabi Muhammad sebagai rasul yang terpelihara daripada segala dosa sebagai suri teladan yang perlu dicontohi. Dengan memahami tujuan kita berada di muka bumi ini dan betapa kerdilnya kita di hadapan keagungan dan kebesaran Allah, setiap ujian yang melanda pasti ada penyelesaiannya. Perkara yang penting, kita semua wajib memelihara Islam dan iman yang ada daalam hati supaya Berjaya mengucapkan kalimah tauhid yang agung pada akhir kalam nanti. In Syaa Allah. Amin.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com