Tajuk: Kewajipan Menunaikan Zakat

PENDAHULUAN
Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang dibina saling berkait antara satu dengan lain bagi mewujudkan sebuah masyarakat maju yang komited dengan perencanaan Syariah Ilahi. 
Zakat dalam apa sekalipun pengertian dan penafsirannya, merupakan ibadah khusus yang mempunyai kaitan rapat dengan edaran ekonomi dan penghidupan ummah serta dianggap nadi penggerak jentera pembanguna masyarakat. 
Zakat adalah suatu kewajipan dan ketetapan Ilahi untuk mempastikan urusan ekonomi dan pemilikan harta umat manusia tidak dibekukan serta dimonopoli oleh satu golongan tertentu sahajASegala pemberian Allah itu hendaklah dinikmati bersama, dikembang-biakkan menurut peraturan Syariah. 

TAKRIF KEWJIAPAN MENUNAIKAN ZAKAT
Persoalan zakat bukanlah merupakan perbincangan yang asing kepada masyarakat Islam di Malaysia. Malah ianya telah menjadi satu urusan utama bagi setiap individu Muslim di Negara ini. Hal ini ternyata memandangkan bahawa zakat adalah salah satu di antara rukun Islam yang menjadi asas pembinaan sebuah masyarakat Islam yang sempurna. Tinggal lagi, ketidakasingan persoalan zakat bukanlah purna, baik dari segi pengertiannya, potensinya, mahupun dari segi kedudukannya sebagai salah satu asas proses pembangunan masyarakat Islam. 
Zakat adalah rukun Islam- suatu asas yang wajib dibina tanpa alasan. Pelaksanaannya oleh pihak-pihak yang berkenaan pada setiap lapisan masyarakat, merupakan suatu tanggungjawab yang membawa berkat dan kesan yang berterusan bukan sahaja kepada mereka yang menunaikan kewajipannya, tetapi juga kepada penerimanya, bukan sahaja kepada tahap individu, tetapi meluas ke seluruh masyarakat, bukan sahaja pada lingkungan kebajikan tetapi memanjang ke bidang ekonomi yang merangkumi kepentingan duniawi dan juga sebagai usaha pembinaan mahligai di akhirat kelak. 
Jika demikian hakikat zakat dalam Islam, maka tidak harus wujud apa-apa halangan pada pelaksanaan zakat di negara ini, melainkan kejahilan dan ketidaksungguhan mana-mana pihak. 
Menurut ahli ekonomi Islam, Abdul Aziz Sheikh. ” Perkataan zakat merujuk kepada konsep penyucian dan konsep ini pula merujuk kepada harta yang dibayar zakat serta penyucian kepada jiwa-jiwa orang yang membayar zakat”. 

Tafsiran perkataan zakat menunjukkan bahawa harta yang dibelanjakan di jalan yang tidak benar akan membawa mudarat kepada masyarakat dalam pelbagai segi. Hanya melalui zakat, harta kekayaaan itu mengalami pertumbuhan dan mendorong pembangunan masyarakat sihat, terkawal dan produktif. 
Demikianlah zakat merupakan satu proses penyucian yang akan berterusan menundukkan nafsu manusia, mengeratkan hubungan antara manusia dengan Penciptanya, mengeratkan hubungan manusia sesama manusia dan mengaitkan perjalanan duniawi dengan persiapan mahligai ukhrawi. 

ZAKAT SEBAGAI SATU INSTITUSI
 Fungsi zakat itu sendiri yang mengambil alih fungsi penting dalam ekonomi, iaitu pengagihan semula harta masyarakat kepada golongan miskin, meningkatkan produktiviti dan pengagihan sumber ekonomi yang terhad antara sektor. Fungsi yang sama dijalankan oleh kerajaan ketika memungut cukai dan membahagikan semula di dalam belanjawan negara. 
 Konsep asas zakat dan cukai adalah sama iaitu penilaian semula atas harta, pungutan dan mengagihkannya dengan harapan dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Apa yang berbeza ialah cara pelaksanakannya. Dan sudah pasti Allah lebih mengetahui zakat jauh lebih baik daripada sistem pengagihanrekaan manusia. Maka kelemahan diri manusia sendiri yang jahil dengan institusi ini yang menjejaskan pelaksanaannya dengan sempurna. 

ZAKAT SEBAGAI SISTEM KEWANGAN
 Hakikat pertama yang perlu diingat tentang zakat dari kacamata kewangan ialah satu sistem cukai berperaturan yang pertama dalam sejarah ekonomi duniASebelumnya cukai lebih merupakan untuk kepentingan diri kerana ianya dijalankan mengikut kehendak pemerintah. 
 Pembekuan harta kekayaan adalah satu masalah ekonomi yang besar dan membantutkan kegiatan ekonomi. Zakat merupakan senjata penting untuk mengatasinya kerana harta yang sudah digunakan ataupun tidak tetap dikenakan zakat dengan kadar yang sama. Oleh itu mereka yang menghalang aliran wang dalam ekonomi akan terdenda melalui zakat. Pungutan zakat atas modal dan keuntungan akan mengarahkan pemodal untuk terus melaburkan modal dalam ekonomi, dan ini akan memberangsangkan pembangunan ekonomi. Hal ini memberikan banyak manfaat kepada masyarakat umum. 
 Zakat dapat mengurangkan ketidakseimbangan dalam agihan pendapatan yang teruk. Zakat memberikan kesan positif dalam pendapatan negara. Zakat yang dikeluarkan ke atas aset yang tidak digerakkan akan memberikan motivasi kepada tuannya atau modal untuk terus menggerakkan stok modalnya dalam aliran pelaburan. 
 Hakikat kedua ialah pengagihan zakat hendaklah diselenggarakan oleh negara, bukan oleh orang kaya. Ini bermakna Kementerian Kewangan yang kini mengendalikan pungutan cukai dan belanjawan negara mestilah bertanggungjawab. 
 Hakikat ketiga ialah pengagihan zakat hendaklah meluas pada batas-batas sosial seperti kemudahan infra-struktur, termasuklah pembinaan sekolah, jalan raya, air dan elektrik, yang merupakan sumber ke arah memakmurkan muka bumi. 
 Hakikat keempat ialah Islam ingin menjadikan zakat sebagai lapangan pertama bagi golongan miskin sebagai intensif supaya mereka produktif dan terlepas dari belenggu kemiskinan. Dengan itu penerima zakat akan meningkatkan dirinya agar dapat menjadi penyumbang zakat yang dijanjikan ganjaran yang amat besar dari Allah. 
 Hakikat kelima ialah zakat adalah fardu secara peribadi yang secara langsungnya mencabar amanah diri kepada Allah (Subhanahu wa ta’ala ). Sama ada wujud undang-undang dan peraturan ataupun tidak, bukanlah menjadi keutamaan dan alasan dalam pelaksanaannya. 
 Zakat mampu membentuk sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan hidup sejahtera, tanpa adanya sikap tamak-haloba dan syak-wasangka sesama sendiri. 
 Zakat bukanlah satu alat yang bersifat kebajikan semata-mata, kepntingannya meluas ke bidang ekonomi, yang mana kutipannya yang banyak dan sistem pentadbiran yang bijaksana dapat melahirkan sistem zakat sebagai suatu unsur kestabilan dalam system ekonomi sesebuah negara Islam. 

ZAKAT DALAM SYARIAT
-Erti Zakat, Bahasa Dan Syarak
Zakat diambil daripada perkataan Arabyang bermaksud bertambah dan subur. Ianya adalah keberkatan pertambahan, penyucian dan kebaikan. Sementara dari segi syaraknya pula bererti suatu kadar harta tertentu yang diwajibakan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala ) kepada pemiliknya untuk dikeluarkan kepada golongan yang berhak. 
Menurut Imam Syafii, zakat adalah berasal dari perkataan Arab yang bererti bersih atau subur. Dan pengertian syaraknya pula ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya yang tertentu. 
Syeikh Abdullah Basmih pula berkata, kalimat zakat dalam bahasa Arab antara lain bermakna bersih atau suci dan kembang subur, yang dimaksudkannya: Membersihkan dan menyucikan serat menyuburkan. Menurut istilah syaraknya pula, zakat ialah nama bagi bahagian yang tertetu, yang wajib diberikan kepada orang-orang yang tertentu dengan syarat-syaratnya. 
 Zakat di dalam kitab’al-Zakat’ bererti pemilihan sebahagian harata tertentu pada pandangan syarak untuk dikeluarkan bahagiannya kepada golongan-golongan yang berhak menurut syarat-syaratnya, ataupun ianya merupakan hak harta yang wajib terhadap Allah (Subhanahu wa ta’ala ). 
 Mengikut tafsiran Kamus Dewan pula, zakat ialah cukai yang diwajibkan atas tiap-tiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya. 
 Walau apa pun pengertian zakat yang ditafsirkan, ianya tidak lari dari sejumlah harta tertentu yang diwjibkan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala ), diserahkan kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Keluaran daripada harta ini diharapkan dapat menyucikan jiwa orang yang berzakat itu. Sekaligus, ianya dibersihkan dan dapat bertambah lagi dengan adanya keberkatan Allah (Subhanahu wa ta’ala ) yang tertanam di dalam harta yang telah dizakatkan. 
 Jiwa orang yang berzakat disucikan dengan mengikis sifat-sifat tamak, kedekut, bakhil, bonkak serta diisi pula dengan sifat-sifat ihsan, tawaduk, pemurah, sanggup berkorban dan bersaudarASementara harta itu pula dapat disucikan dengan memulangkan hak orang lain kepada tuannya. 

-Dalil-Dalil Wajib Zakat
 Memang terdapat banyak sekali hujah-hujah al-Quran, al-Hadis dan Ijmak ulama tentang pensyariatan zakat ini, sesuai dengan roh dan semangat zakat itu sendiri iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang harmonis dan bertoleransi. Dan ianya merupakan suatu kemestian yang telah diqanunkan oleh syarak. 
a) Dalil Al-Quran
Antara firman Allah (Subhanahu wa ta’ala ):
Terjemahan:Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat, maka mereka itu adalah saudara-saudara kamu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat Kami bagi kaum-kaum yang mahu berfikir. 
 (al-Taubah: 11)
Dan firman-Nya bagi mafhumnya:
Dan (ingatkan), kecelakaan besarlah bagi orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain). (Iaitu) orang-orang yang tidak memberikan (untuk membersihkan jiwa dan harta bendanya) dan mereka pula mengingkari adanya hari kiamat. 
 (Fussilat: 6-7)
Dan firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 103:
Dan ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk). 

b) Dalil Al-Hadis
Antara hadis riwayat Muslim:
Terjemahan: Dari Ibn. Umar (r. a), katanya: Rasulullah Sallallahu ‘alailhi wa sallam  bersabda: Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar, iaitu mengucap dua kalimah syahadat bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah. 

 Kemudian Rasulullah menegaskan lagi melalui perintahnya terhadap Muadz bin Jabal, ketika dilantik sebagai Qhadi di negeri Yaman. 
Sabda Nabi:
Terjemahan: Sampaikanlah bahawa Allah (Subhanahu wa ta’ala ) yang mewajibkan zakat pada harta benda mereka yang dipungut dari orang-orang yang kaya dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka. (H. R. Bukhari)

 Dan apabila seorang lelaki meminta pendapat Rasulullah Sallallahu ‘alailhi wa sallam  tentang zakat harta yang dikeluarkan, Baginda menjawab:
Terjemahan: Siapa yang membayar zakat hartanya, bererti hilanglah kejelekannya. 

c) Dalil Ijmak
 Para ulama dan umat Islam seluruhnya telah bersepakat tentang kewajipan berzakat. Mereka bersandarkan kepada keterangan dari al-Kitab dan al-Sunah. Sesiapa yang mengingkari ketetapan ini dianggap melanggar rukun Islam yang boleh dibunuh dalam keadaan kafir. 
 Rasulullah Sallallahu ‘alailhi wa sallam  menetapkan sebagaimana berikut:
Terjemahan: Rasulullah (s. aw) bersabda: Aku telah diperintahkan memerangi manusia sampai mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasulullah, mendirikan solat dan membayar zakat. Seandainya mereka telah memenuhi yang demikian itu, bererti mereka telah memelihara darah dan harta mereka dariku, kecuali apabila melanggar peraturan Islam, dan perhitungannya terserahlah kepada Allah. 

JENIS-JENIS ZAKAT
 Zakat ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu zakat fitrah dan zakat harta. 
a. Zakat Fitrah
 Ianya merupakan zakat peribadi yang diwajibkan oleh Rasulullah disebabkan berbuka puasa Ramadan. Zakat ini diwajibkan ke atas setiap individu Muslim tanpa mengira had, umur, jantina dan kedudukan. Ianya diwajibkan setahun sekali dari makanan asasi sesuatu tempat. 
Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: 
Terjemahan: Dari Ibn. Umar, katanya: Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah pada buan Ramadan, satu gantang buah tamar, atau satu gantang buah syaier, ke atas setiap seorang hamba abdi atau merdeka, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa dari kalangan umat Islam. 
Ianya juga dikenali sebagai zakat badan, atau cukai kepala ataupun zakat Ramadan, yang tujuannya untuk menyucikan jiwa orang-orang yang berpuasa Ramadan. 
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alailhi wa sallam :
Terjemahan: Dari Ibn. Abbas (r. a) ia berkata: Rasulullah mewajibkan zakat fitrah itu selaku pembersih daripada perbuatan sia-sia dan percakapan yang kotor bagi orang yang berpuasa dan sebagai makanan kepada orang miskin, barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat ʻId, zakatnya diterima, barangsiapa yang menunaikannya setelah solatʻId, maka itu hanyalah suatu sedekah dari sedekah- sedekah biasa. 

b. Zakat Harta
 Merupakan kadar tertentu dari pemilikan harta tertentu melalui syarat-syarat tertentu, yang diambil sebagai cukai kewangan berperaturan dalam Islam. Islam tidak menghadkan jenis barangan tertentu sahaja yang dikenakan zakat. 
 Islam telah mewajibkan zakat pada enam jenis harta berikut, iaitu: emas dan perak, mata wang, tanam-tanaman, ternakan, hasil perdagangan dan harta rikaz. 

 Firman Allah Subhanahu wa ta’ala :
Terjemahan: Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa), dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk). 

 Apa yang penting ialah kesemua sumber harta itu memiliki ciri-ciri produktif. Ciri-ciri inilah yang akan menentukan arus edaran ekonomi. Ciri-ciri inilah yang akan menentukan arus edaran ekonomi. 
 Zakat adalah wajib ke atas seluruh umat Islam yang telah akil baligh, berakal, merdeka dan mempunyai harta yang mencukupi nisabnya. Dua sifat utama yang mesti dipenuhi iaitu syarat terhadap pengeluar dan syarat harta itu sendiri. 

i. Syarat Pengeluar
 Syarak menggariskan beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh pengeluar sebelum diwajibkan zakat keatasnya. 
i. Islam
 Jumhur ulama, kecuali Imam Malik sependapat bahawa zakat tidak diwajibkan ke atas orang kafir kerana zakat sendiri sebahagian daripada Islam. Orang kafir sebaliknya dikenakan jizyah. Kafir yang dimaksudkan ialah kafir asli. 
ii. Mukalaf 
 Mukalaf merupakan syarat yang dipegang oleh mazhab Hanafi saja. Orang gila dan kanak-kanak tidak memerlukan penyucian. 
ii. Syarat-Syarat Harta
i. Pemilikan sepenuhnya
Pemilikan sepenuhnya adalah hak Allah (Subhanahu wa ta’ala ). Manusia hanyalah memilikinya secara majazi bukannya hakiki, iaitu sebagai khalifah Allah di muka bumi. 
ii. Harta yang boleh berkembang
Perkembangan ialah keuntungan dan pertambahan hasil dari harta tersebut. 
iii. Cukup nisab
Hartaitu diwajibkan zakat setelah cukup nisabnya, iaitu kadar tertentu yang sudah diteptapkan syarak. 
iv. Lebihan dari keperluan asas
Keperluan ini ialah keperluan hidup terhadap makan, minum, pakaian, tempat tinggal, sara hidup tanggungannya dan dirinya secara yang sederhana mengikut keperluan persekitarannya. Termasuk juga keperluan kenderaan. 
v. Harta yang bebas dari hutang 
Pemilikan sempurna menjadi syarat wajib, zakat mestilah dari harta yang bebas dari hutang. 
vi. Cukup tempoh setahun (haul). 
Haul ialah mengikut kiraan tahun Qamariah. Maksudnya ialah berlaku pemilikan yang sempurna bagi pemiliknya selama dua belas bulan Arab, serta mencukupi nisab. 

HARTA-HARTA YANG WAJIB ZAKAT
i. Zakat binatang ternakan. 
Al-An’am ialah binatang yang boleh diternak, seperti unta, kambing, lembu dan sebagainya, serta tidak digunakan untuk bekerja. Binatang yang hendak dijadikan zakat mestilah tidak cacat serta keaiban, dari jenis yang betina. 
ii. Zakat emas dan perak. 
Nisab bagi emas ialah dua puluh dinar atau mithlaq, atau kira-kira 85 gram. Sementara nisab perak ialah dua ratus dirham. 
iii. Zakat Barang-Barang Perniagaan dan Perdagangan
Zakat ini dikira dari barangan yang disimpan, modal, untung dan hutang yang ada harapan untuk kembali. Ia mestilah dinilai dengan harga semasa. Apabila nilainya mencapai nisab, maka dikenakan zakat sebanyak 2. 5 peratus. 
iv. Zakat Hasil Pertanian 
Sementara itu, kadar zakat yang dikenakan dapat dilihat dlam dua keadaan, iaitu:
a) Bagi hasil pertanian yang dikeluarkan dari tanah yang diairi oleh air hujan, air sungai yang mengalir, air matair dan sebagainya tanpa daya dan usaha manusia, kadarnya sepuluh peratus. 
b) Bagi tanah yang menggunakan sistem pengaliran buatan manusia serta perbelanjaan yang besar seperti tali air, perigi dan sebagainya, kadar zakat yang ditetapkan ialah lima peratus. 
v. Zakat Tanah 
Dalam Islam tanah dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
a) Tanah Usyuriyah iaitu yang dimiliki oleh penduduknya yang menganut agama Islam secara sukarela, atau yang dirampas oleh kaum Muslimin waktu penaklukan, lalu dibahagi-bahagikan kepada mereka atau tanah yang diusahakan oleh kaum Muslimin sendiri. 
b) Tanah Kharajiyah iaitu tanah yang dirampas dan ditawan oleh kaum Muslimin, kemudian dibiarkan di tangan penduduk yang mengusahakannya dengan imbalan bayar kharaj. 

vi. Zakat Harta Galian dan Rikaz. 
Harta galian merupakan sesuatu yang asli yang dijadikan oleh Allah (Subhanahu wa ta’ala ) sejak terciptanya bumi ini. Antaranya termasuk emas, perak, minyak, logam, gas dan sebagainyASementara rikaz pula ialah harta-harta yang tersembunyi dan ditanam suatu ketika dahulu serta tidak diketahui pemiliknya. Ia juga dikenali dengan harta qarun. 

AGIHAN ZAKAT MENURUT ISLAM
 Setelah harta-harta dipungut dan dikumpulkan, ianya tidak dibiarkan begitu sahaja, malah diagihkan kepada yang berhak menerimanya seperti yang diperuntukan oleh syarak. 

GOLONGAN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT
a. Fakir dan miskin. 
Mereka merupakan asnaf yang lebih utama mendapat habuan zakat, sesuai dengan hikmah pensyariatan zakat dalam Islam. 

b. Para Amil
Mereka adalah golongan ketiga yang disebut di dalam Al-Quran. Mereka merupakan wakil yang dilantik oleh Imam atau pemerintah untuk mengendalikan dan mengurus sebarang urusan mengenainya. 

c. Muallaf
Iaitu golongan yang diusahakan agar dapat ditarik dan diperkukuhkan hatinya dalam keislaman disebabkan belum mantap keimanan mereka. Juga untuk menolak bencana yang mungkin mereka lakukan juga untuk mengambil keuntungan dari mereka. 

d. Hamba-Hamba yang Hendak Memerdekakan Diri
Golongan ini juga merangkumi al-Mukatab, iaitu hamba yang dijanjikan akan merdeka oleh tuannya dengan bayaran tertentu. Zakat ini akan melepaskan mereka, sementara hamba biasa dapat dibeli dengan wang zakat. Ini adalah pendapat Jumhur. 

e. Orang-Orang Yang Berhutang. 
Mereka ialah orang-orangberhutang dan sukar untuk membayarnya. Termasuklah berhutang untuk mendamaikan sengketa, atau untuk menjamin hutang orang lain. Ada juga mereka yang berhutang untuk memenuhi keperluan hidupnya dan bebas dari maksiat. Dengan ini, mereka berhak mendapat habuan zakat. 

f. Orang Yang Berjihad Pada Jalan Allah. 
Fisabilillah adalah jalan yang meyampaikan kepada kerdaan Allah, baik berupa ilmu ataupun amal. Jumhur berpendapat, ianya adalah untuk peperangan dan diberikan kepada tentera-tentera yang tidak mendapat imbuhan dari pemerintah, walaupun mereka seorang yang kaya. 

g. Musafir
Pada pandangan Jumhur, ialah musafir yang merantau dari sesebuah negeri dengan tujuan yang diharuskan seperti menuntut ilmu, berdakwah, mencari rezeki dan seumpamanyASekiranya mereka terkandas di dalam perjalanan, mereka berhak mendapat bantuan zakat untuk meneruskan perjalananya walaupun ia seorang yang kaya. 

TUJUAN DAN HIKMAH ZAKAT
Zakat telah difardhukan ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya. Ia mempunyai hikamah dan tujuan yang banyak antara lainnya ialah: Membantu umat Islam yang fakir dan miskin dan meringankan beban mereka, Merapatkan jurang pemisah di kalangan anggota-anggota masyarakat, Zakat sebagai sumber pembangunan masyarakat, Sebagai tanda syukur atas nikmat Allah, Membersihkan hati daripada kebakhilan, Menyucikan harta dan Menyuburkan harta. 

AMARAN TERHADAP ORANG YANG TIDAK MENUNAIKAN ZAKAT
Sesungguhnya dalam Al-Quran dan hadis-hadis telah banyak memberi peringatan kepada orang yang enggan membayar zakat. Oleh itu barang siapa yang mengabaikan kewajipan sedangkan dia mampu dan telah memenuhi syarat-syarat untuk berzakat, maka dia telah melakukan dosa besar dan dijanjikan dengan balasan seksa yang amat pedih lagi menyakitkan. Bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat, mereka dibelit ular yang sangat besar, diletakkan pada tubuh mereka dengan kepingan-kepingan besi yang sangat panas, sedangkan mereka sebenarnya sudah tidak tetahan lagi menanggung seksaan-Nya yang amat pedih itu. 

KESIMPULAN
Begitulah betapa tinggi dan halusnya rahsia tuntutan zakat di dalam syariat Islam. Selain dari menyucikan harta dan jiwa pembayar zakat, zakat juga adalah salah satu daripada sumber pembiayaan utama bagi matlamat-matlamat kebajikan dan pembangunan ekonomi umat Islam. Syarak telah mengenal pasti harta-harta yang diwajibkan zakat, dan jika dihalusi, ianya berdasarkan pengembangan dan kesucian. Kedua-dua sumber ini menampakkan keadilan dan keunikan Islam sebagai al-Din, kerana harta yang mampu berkembang- biak sahaja dikenakan zakat. 
Setelah ianya dipungut dan dikumpulkan, ia tidak dibiarkan, malahan mesti dikembangkan. Dalam konteks ini, syarak telah menetapkan asnaf-asnaf yang berhak. Penetapan ini untuk memastikan ia tidak disalahgunakan malahan dilahirkan pada tempat dan ruang yang sepatutnya segala perancangan matlamatnya akan dapat dicapai dan harta telah dimanfaatkan sepenuhnya. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com