Tajuk: Sifat-Sifat Mazmumah

Pendahuluan
Akhlak berasal daripada perkataan khuluqun atau khulqun. Khuluqun bermaksud budi, iaitu sesuatu yang tersimpan dalam hati, sangat halus dan tidak diketahui orang lain, namun memiliki kekuatan yang sangat besar terhadap tingkah laku perbuatan manusia. Khulqun bermaksud perbuatan lahir. Akhlak terbahagi kepada dua iaitu Mahmudah (Akhlak terpuji) dan Mazmumah (Akhlak tercela). 

Akhlak mazmumah ialah perbuatan tercela menurut pandangan akal dan syariat Islam. Akhlak tercela dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Sebarang sifat yang tergolong dalam kategori akhlak buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. Antara sifat mazmumah ialah menyengutukan Allah Subhanahu wa ta’ala., bohong, takbur, dengki, khianat, bakhil, marah dan sebagainya. Akhlak mazmumah ini bukan sifat Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. dan amalan utama penganut Islam sejati, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. yang bermaksud, “Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan yang sebesar zarah. ” (Riwayat Muslim). 

Ciri- ciri orang yang memiliki sifat- sifat mazmumah antaranya ialah orang tersebut tidak bertaqwa kepada Allah berlandaskan al-Quran dan As- Sunnah (Hadis). Orang itu tidak mengharapkan redha Allah dan mengingkar segala laranganNya. Orang itu juga tidak menjadikan Islam sebagai sumber akhlak. Antara contoh- contoh sifat mazmumah ialah hasad dengki, suka marah dan bertengkar, memfitnah, mengumpat, kedekut, sombong dan bangga diri. 

Dengki
Dengki bermaksud perasaan iri hati. Perasaan ini kebiasaannya terlahir apabila seseorang manusia melihat orang lain mendapat nikmat atau kelebihan daripadanya kemudian dia mengharap semoga nikmat dan kelebihan yang ada pada orang lain itu hilang dan berpindah pada dirinya. Orang yang mempunyai sifat dengki ini tidak boleh melihat orang lain mendapat nikmat yang lebih daripada dirinya dalam sesuatu perkara baik. Orang yang bersifat demikian seolah-olah membangkang kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. kerana mengurniakan sesuatu nikmat kepada orang lain. Orang yang berperangai seperti itu juga sentiasa dalam keadaan berdukacitakepada orang lain yang akhirnya menimbulkan fitnah. Sifat dengki dapat menghabiskan segala amal kebajikan seseorang sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam yang bermaksud, “Jauhilah oleh kamu sifat dengki itu, bahawasanya perasaan dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu yang kering. ”Sifat atau perasaan seperti ini adalah sifat mazmumah yang sangat dibenci oleh Allah bahkan Allah Subhanahu wa ta’ala telah menegaskan di dalam al-Quran;   “Dan janganlah kamu iri hati apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. ” (Surah an-Nisak : 32) 

"Sekiranya kamu mendapat kebaikan, nescaya mereka akan berasa kurang senang, tetapi apabila kamu mendapat kecelakaan, mereka bersuka ria kerananya" (Surah Ali Imran: 120)  

Untuk mengelakkan perasaan hasad, dengki dan iri hati ini, seseorang itu perlu selalu mengamalkan sifat tawaduk, mengucapkan puji dan syukur kepada Allah atas nikmat yang dikecapi oleh saudara seislam kita. Mudah-mudahan kita juga akan dilimpahi Allah nikmat yang serupa kelak. 

Marah dan Bertengkar
Sifat marah berpunca daripada kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang bersikap sedemikian selalunya disorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. Walaupun begitu sifat pemarah adalah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai sifat pemarah akan dizalimi dan akan dicerobohi hak-haknyASifat pemarah yang dicela ialah marah yang bukan pada tempatnya dan tidak dengan sesuatu sebab yang benar. Selalunya orang pemarah ini mewarisi sifat-sifat seperti sombong, bongkak, tidak boleh ditegur dan lain-lain. Bagaimanapun, Islam tidak melarang umatnya mempunyai sifat marah dalam hal-hal tertentu seperti firman Allah yang bermaksud:

"Wahai Nabi, perangilah orang kafir dan orang munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka" (Surah al-Tahrim: 9)

Orang yang mempunyai sifat suka marah selalunya akan menimbulkan pertengkaran. Dari segi istilah bertengkar bermaksud bertukar fikiran untuk mencari kemenangan. Ini bermaksud setiap perbincangan hanya bertujuan untuk mencari kemenangan. Pertengkaran yang tidak diingini dalam Islam yang dapat menimbulkan perselisihan faham dan pergaduhan. Inilah yang dilarang oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. melalui sebuah hadis yang bermaksud:

"Tidak akan sesat sesuatu kaum sesudah diberi mereka petunjuk oleh Allah melainkan orang yang bertengkar. ” (Riwayat Termizi dan Ibn Majah)

Pertengkaran yang dibolehkan adalah untuk mencari kebenaran. 

Fitnah
Fitnah dapat diertikan dengan menghasut yang bermaksud menyampaikan cakap seseorang kepada orang lain dengan menambah fakta fakta tidak benar supaya orang yang mendengar menjadi benci dan naik radang. Perbuatan ini amat tidak disukai dalam Islam sebab orang yang menghasut itu tergolong dalam golongan orang yang fasik. Adapun Islam tidak menerima orang fasik itu sebagai saksi apa lagi untuk mendengar cakapnya. 

Hal ini ditegaskan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. dalam al Quran yang bermaksud: “Hai orang yang beriman jika datang kepadamu orang yang fasik membawa perkhabaran hendaklah kamu periksa kebenarannya kerana ditakuti kalau-kalau kamu menganiaya sesuatu kaum dengan tiada pengetahuannya akhirnya kamu akan menyesal dengan apa yang kamu lakukan. ” (Surah al-Hujarat: 6) 

Perbuatan menghasut ini boleh menyebabkan pergaduhan dan permusuhan. Sebahagian besar daripada penghasut ini adalah berniat untuk memutuskan hubungan orang. Akibat dari hasutan itu, banyak orang teraniaya. 

Mengumpat
Mengumpat ialah memperkatakan seseorang di belakangnya. Biasanya yang diperkatakan ini adalah sekitar kelakuan, keadaan badan, perangai dan sebagainya. Mengumpat terbahagi kepada 3 iaitu:

1. Ghibbah – Memperkatakan keburukan seseorang di belakangnya. 
2. Buhtan – Mereka-reka perkara dusta yang bertujuan untuk memburukan seseorang supaya harga dirinya jatuh. 
3. Ifkun– Menaburkan berita-berita fitnah yang didengar daripada seseorang kemudian menyampaikannya kepada orang lain. 

Perlakuan di atas termasuk kepada perlakuan mengumpat. Perbuatan ini adalah suatu tindakan yang sangat keji dan diharamkan dalam Islam malahan ia termasuk dalam golongan dosa-dosa besar, sebagaimana Allah Subhanahu wa ta’ala. telah menegaskan di dalam al Quran yang bermaksud:

“ Dan janganlah engkau mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah engkau menghina kepada setengahnyASukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati, maka tentulah kamu akan merasa jijik. ”(Surah al Hujarat: 12)

Kedekut
Kedekut bermaksud seseorang itu menahan haknya daripada dibelanjakan atau digunakan kepada jalan yang dituntut oleh agamASememangnya tidak dapat dinafikan bahawa sifat kedekut ini dari dahulu kala lagi berkait rapat dengan manusia. Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang kafir): Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu (segala macam nikmat kehidupan) tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut. ” (al-Isra’: 100)

Nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. kepada seseorang itu merupakan sebagai alat untuk membantu dirinya dan juga membantu orang lain. Oleh yang demikian, nikmat dan pemberian Allah menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dan dibelanjakan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang menyempurnakan agama seperti zakat, mengerjakan haji dan memberi nafkah kepada tanggungan, maka menahan hak atau harta tersebut adalah suatu kesalahan besar di sisi agama. Firman Allah ada menyebut :

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah Subhanahu wa ta’ala itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul dan sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu” (Surah al-Furqan: 67) 

Sombong
Sombong atau takbur bermaksud membesarkan diri bongkak. Orang yang takabbur itu selalunya memandang dirinya lebih mulia dan lebih tinggi pangkatnya daripada orang lain serta memandang orang lain itu hina dan rendah pangkat. Sifat takabbur ini tiada sebarang faedah malah membawa kepada kebencian Allah dan juga manusia dan kadangkala membawa kepada keluar daripada agama kerana enggan tunduk kepada kebenaran. Firman Allah yang bermaksud:

"Apabila dikatakan padanya: Takutilah Allah. Ia lalu dipengaruhi oleh kemegahan (takbur) yang membawanya kepada dosa, cukuplah neraka jahanam (sebagai balasan)" (Surah al-Baqarah: 206)

“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sesekali tidak akan dibukakan kepada mereka pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga masuk unta ke dalam lubang jarum” (Surah al-Araf: 40)

Banyak sebab yang boleh membawa seseorang itu kepada sifat takbur atau menyombong diri. Antaranya adalah nasab keturunan, kecantikan, kekayaan dan kelebihan ilmu. 

Untuk menghindari sifat takbur ini, selalu mengamalkan sifat tawaduk atau rendah diri dengan membanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal. 

Berbangga diri
Ujub bermaksud bangga akan diri sendiri, merasa kagum terhadap diri sendiri kerana kelebihan atau sesuatu yang terdapat padanyASifat ini amat berkait rapat dengan takbur dan riak. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaaan, anggota keluarganya atau apa sahaja yang dekat dan akrab dengan dirinya. Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman:

“Dia (Qarun) berkata: ‘Sesungguhnya aku hanya diberi (harta itu), semata-mata kerana ilmu yang ada padaku. ” (Surah al-Qashash ayat 78)

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. ” (Surah at-Taubah ayat 25.)

“Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri, ” (Surah Luqman ayat 18)

Sifat ujub boleh diatasi dengan sentiasa memikirkan bahawa tiada benda di dunia ini akan kekal. Sentiasalah menghisab atau meneliti kekurangan diri sendiri (muhasabah) sebagai hamba Allah kerana ini akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat-sifat tercela ini. 

Penutup
Sifat mazmumah adalah seperti suatu penyakit yang memakan diri sesorang pesakit. Ianya mesti dibendung dan disingkirkan dari diri setiap muslim. Sifat mazmumah bukan sahaja boleh menimbulkan perpecahan dalam hubungan sesama manusia bahkan orang yang mempunyai sifat ini akan dibenci oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Hidup akan menjadi tenang dan berkah sekiranya sifat ini dapat diatasi dengan menggantikannya dengan sifat mahmudah. 

Rujukan
1. Sakinah Salleh (2011), 3i Islam, Iman, Ihsan, Batu Caves, PTS Millenia. 
2. Saat Sulaiman (2007), Remaja Positif, Kuala Lumpur, Utusan Publication & Distributors. 
3. Hussein Bahreisj (1980), Ajaran- Ajaran Akhlak Imam Ghazali, Surabaya, AL IKHLAS. 
4. Imam al-Ghazali(2009), Mutiara Ihya’ Ulumuddin Imam al-Ghazali, Ipoh, Bukubuku. 
5. Imam Bediuzzaman Said Nursi (1910 – 1950), Nurlu Kitab (Risale-I Nur), Turkey, Hayrat Vakfı. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com