Tajuk: PENGERTIAN IJTIHAD

PENDAHULUAN
Syariat Islam sesuai dilaksanakan pada setiap tempat dan masa. Namun begitu, pelaksanaan syariat harus disesuaikan dengan keadaan pada masa kini yang sudah terlalu jauh berubah daripada keadaan yang wujud pada zaman lalu. Perubahan ini merangkumi pelbagai bidang antaranya, ekonomi, kemasyarakatan dan politik. 

 Ijtihad merupakan satu alat dan mekanisme utama dalam ilmu usul al-fiqh. Isu ijtihad ini telah banyak diperbahaskan oleh para ulama dahulu. Namun begitu, ulama-ulama kontemporari juga tidak kurang hebatnya dalam perbahasan ini khasnya berkaitan dengan keharusan berijtihad pada zaman kini dan hubungannya dengan permasalahan semasa. 

 Pada zaman ini, ijtihad merupakan satu keperluan yang mendesak. Hal ini kerana kepelbagaian kegiatan ekonomi dan peristiwa-peristiwa baru ini memerlukan kepada penyelesaian yang sesuai menurut syarak. Oleh sebab itu, para mujtahid moden haruslah memainkan peranan secara bersungguh-sungguh dalam usaha mengeluarkan hukum kepada masalah-masalah baru yang timbul. 

 Keperluan kepada penetapan hukum bagi menjawab persoalan semasa dalam masyarakat Islam hari ini sangat mendesak. Dalam dunia moden dengan segala kemajuannya, baik dari segi ekonomi, sosial mahupun sains dan teknologi, hampir semua perkara dalam kehidupan moden sekarang ini telah berubah. Oleh yang demikian, ijtihad semasa adalah amat diperlukan bagi menjawab segala persoalan hukum yang berlaku masa kini 

PENGERTIAN IJTIHAD 

Ijtihad (bahasa Arab اجتهاد) ialah suatu proses penyelidikan yang serius yang dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh sarjana Islam (digelarmujtahid) untuk menerbitkan hukum-hukum yang bersifat amali. Proses ijtihad hanya berlaku terhadap hukum-hukum yang tidak jelas yang wujud di dalam al-Quran atau al-Sunnah, sama ada ketidakjelasan itu berpunca daripada lafaz yang terlalu umum, ataupun berpunca daripada kredibiliti dalil yang digunakan itu sendiri. 

Sekiranya sesuatu dalil teks telah jelas dan putus, jelas maknanya tanpa boleh ditakwilkan lagi, dan dalil itu pula disahkan berautoriti, maka ijtihad tidak lagi perlu. Ijtihad biasanya berlaku dengan mengambil pengajaran-pengajaran di dalam sumber hukum seperti quran dan sunnah untuk direalisasikan dalam realiti semasa yang memerlukan hukum untuk diamalkan. 

Hanya para sarjana yang cukup syarat ijtihad sahaja yang layak melakukan pengujian terhadap hukum ini. Jika sarjana itu kurang layak dalam satu-satu aspek, tetapi amat pakar dalam aspek-aspek yang lain, maka dia boleh mendapatkan kepakaran-kepakaran daripada para sarjana lain. Konsep ini dipanggil ijtihad kolektif, yang berasaskan kepada pakar (tajazzu' al-ijtihad). Contoh mudah ialah penentuan hukum dalam eutanasiaatau mercy killing. Ketika ini, mungkin para sarjana fiqh dan sarjana perubatan boleh bergabung fikiran untuk melakukan ijtihad secara kolektif. Begitu juga dalam kes-kes seperti GM Food atau "makanan diubah secara genetik", para sarjana fiqh perlu mendapatkan pandangan-pandangan pakar dalam bidang bio-teknologi dan sebaliknya. 
Kajian mendapati terlalu banyak kes kes hukum fiqh terutama dalam bab-bab kepenggunaan yang wujud di dalam fiqh terdahulu memerlukan perubahan dalam konteks semasa. Fiqh yang terbina dalam konteks umat dahulu tersusun di atas asas penyelidikan yang terhad dalam ruang lingkup teknologi dan situasi semasa mereka. 

Matlamat Tamadun Islam

• Tamadun islam merupakan manifestasi daripada kefahaman dan penghayatan umatnya terhadap seluruh ajaran Islam. 

• Tamadun islam bermatlamat sama dengan Din al-islam dari segi misi membawa rahmat ke dunia ini. 

• Matlamat utama ialah untuk mengangkat Islam sebagai al-Din. 

• Tamadun islam berjaya membangunkan institusi politik yang menjalankan pemerintahan negara islam. 

• Tamadun islam memaparkan keadilan sistem pemerintahan islam yang pernah ditegakkan pada zaman Rasulullah saw. 

• Tamadun islam memberikan ruang yang kondusif kepada umatnya untuk mengamalkan seluruh ajaran Islam


KEPERLUAN IJTIHAD PADA ZAMAN SEKARANG

Para sarjana Islam telah sepakat menyatakan bahawa ijtihad sentiasa berubah dengan berubahnya zaman, keadaan dan adat masyarakat. Antara sebab ijtihad diperlukan pada zaman sekarang adalah permasalahan berbeza akan terus timbul sepanjang zaman. 

Kemajuan yang pesat telah menyumbang kepada berlakunya perkembangan sosial serta revolusi dalam kebanyakan aspek kehidupan manusia. Hal ini menjadikan timbulnya banyak permasalahan baru. Kebanyakan permasalahan baru ini memerlukan kepada hukum untuk masyarakat beramal dengannya tanpa keraguan. Oleh sebab itu, ijtihad perlu dilakukan oleh orang yang berkelayakan bagi memastikan hukum yang dikeluarkan itu berpandukan kepada sumber yang sahih. Apabila mujtahid moden memainkan peranan mereka untuk berijtihad mengeluarkan hukum kepada masalah-masalah baru yang timbul, maka masyarakat akan mudah untuk beramal dengan sesuatu pekara baru yang belum ditetapkan hukum baginya. 

Dalam usaha murni masyarakat mencari hukum yang tepat untuk beramal dengan permasalahan baru yang timbul, ada segelintir masyarakat yang berlagak bijak mengeluarkan hukum sesuka hati mengikut pengetahuan cetek mereka. Lebih membimbangkan lagi apabila mereka mengatakan hukum yang mereka keluarkan adalah berpandukan sumber yang sahih. Hal ini memberi kesan buruk kepada masyarakat yang suka bertaqlid dengan membabi buta tanpa sebarang penilaian terlebih dahulu. Oleh sebab itu, para mujtahid masa kini yang berkelayakan untuk berijtihad perlulah memainkan peranan untuk berijtihad mengeluarkan hukum bagi permasalahan tersebut. 

JENIS IJTIHAD YANG DIPERLUKAN PADA MASA KINI 

Jenis ijtihad pada zaman kini boleh dibahagikan kepada dua iaitu ijtihad intiqa’iyy atau ijtihad al-insha’iyy. 

i. Ijtihad intiqa’iyy membawa maksud memilih salah satu pendapat yang paling kuat di antara pendapat-pendapat yang ada dalam fatwa atau keputusan hukum yang ditinggalkan ulama terdahulu ( Al-Qaradawi 1988 : 150 ). 

Ijtihad ini bertujuan untuk membandingkan di antara pendapat-pendapat yang sedia ada. Dalam usaha itu, mujtahid kontemporari perlu meneliti kembali dalil-dalil yang dijadikan sandaran pendapat tersebut dan akhirnya mampu memilih pendapat yang dianggap paling kuat dalil dan hujahnya. 

Contohnya pembunuhan yang dilakukan oleh seseorang yang dipaksa dengan ancaman terhadap nyawanya. Persoalannya, siapakah yang akan dikenakan hukuman qisas? Pendapat pertama mengatakan qisas dikenakan kepada si pembunuh kerana dia yang telah membunuh mangsa. Pendapat kedua pula berpendapat bahawa qisas dikenakan ke atas orang yang memaksa pembunuh untuk membunuh kerana dia telah mengancam nyawa pembunuh untuk dijadikan alat bagi membunuh mangsa. Manakala pendapat ketiga menyatakan bahawa qisas dikenakan ke atas kedua-duanya kerana si pembunuh adalah orang yang membunuh mangsa dan si pengugut atau pemaksa telah memaksa pembunuh untuk membunuh mangsa dengan ancaman nyawa pembunuh. Pendapat keempat mengatakan bahawa qisas tidak dikenakan kepada kedua-duanya kerana tidak mempunyai syarat yang cukup untuk disabitkan hukuman ke atas mereka. Jadi, seorang ahli fiqh kontemporari seharusnya memilih pendapat yang paling kuat antara semua pendapat yang ada ( Al-Qaradawi 1988 : 151-152 ). 

 ii. Manakala ijtihad al-insha’iyy membawa maksud satu hukum atau keputusan yang dikeluarkan kepada satu permasalahan baru ataupun lama yang belum ditetapkan hukumnya oleh ulama-ulama terdahulu ( Al-Qaradawi 1988 : 169 ). Contohnya pendapat golongan ulama abad ini yang mewajibkan zakat ke atas hasil sewaan gedung-gedung yang disewakan. Ini adalah pendapat Shaykh Muhammad Abu Zuhrah, cAbdul Wahab Khallaf dan cAbdul Rahman Hasan. Yusuf Al-Qaradawi berpendapat, pendapat ini dianggap paling kuat dan beliau telah menguatkan pendapat ini dengan dalil-dalil dalam kitabnya Fiqh Zakat ( Al-Qaradawi 1988 : 172 ). 

KESIMPULAN
Berdasarkan kepada contoh-contoh di atas, jelas dapat dilihat ijtihad memainkan peranan yang penting untuk mengeluarkan hukum mengenai permasalahan semasa. Ia merupakan alat atau mekanisme untuk memutuskan sama ada permasalahan itu dibenarkan oleh syarak atau tidak, berpandukan kepada logik akal yang disandarkan asasnya kepada al-Quran dan al-Sunnah. Namun begitu, perlu diingatkan semula bahawa ijtihad ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang berkelayakan dan memahami syariat Islam. Bagi orang awam, mereka boleh bertaqlid kepada keputusan yang dikeluarkan oleh ulama-ulama tersebut. 

 Ijtihad ini dilihat sebagai satu alat kepada keanjalan agama Islam. Hal ini bererti hukum Islam tidak kaku, sebaliknya ia sentiasa diperlukan untuk meraikan keadaan masa kini. Keadaan yang akan sentiasa berubah disebabkan kemajuan teknologi yang pesat, masih sentiasa memerlukan kepada hukum-hukum yang dapat memberi penyelesaian kepada permasalahan-permasalahan baru yang timbul. Ijtihad ini dilihat sebagai satu alat hukum yang dapat memberi kemudahan dan kesenangan untuk umat Islam. 

RUJUKAN
1. Hashim Hj Musa (2004), Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia Menghadapi Globalisasi Barat. Kualan Lumpur : Penerbit universiti Malaya
2. Mohd Taib Osman et. al. (2004). Ensikplodia Tamadun Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
3. Musa Ahmad. et. al. (2005). Pembangunan Masyarakat Islam Hadhari. Shah Alam: Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), UiTM Shah Alam. 
4. Rasid Mohamad (1994). Bengkel Tamadun Islam. Shah Alam: PPI. ITM. 
5. Siti Fatimah Abdul Rahman (ed). The Impact Of Globalition on Social and Culture Life : An Islamic Response. Kuala Lumpur : IKIM

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com