Tajuk: Perkahwinan Dalam Islam

Pendahuluan
Setiap bangunan semestinya terbina dari sejumlah batu bata, dari jumlah batu bata itu terbentuklah organisasinya dan di atas batu-batu ini asas ini terbina pula tiang-tiang dan bahagian-bahagiannya. Apabila batu-batu itu tidak bersatu dan retak maka bangunan itu sudah pasti tidak teguh. Sebaliknya, jika batu-batu itu kuat dan terpadu erat maka bangunan itu pun kuat, kukuh dan mantap. Dapat menghadapi berbagai ancaman seperti angin, rebut dan taufan. Begitu juga setiap umat dan masyarakat. Seluruh masyarakat yang wujud, terbentuk dari kesatuan-kesatuan berupa keluarga, dan kesatuan-kesatuan keluarga itu terdiri dari unit-unit dan bahagian-bahagian yang lebih kecil lagi, iaitu individu-individu. Jika masyarakat kita terdiri daripada individu-individu yang baik, kuat dan rajin bekerja, maka seluruh ahli keluarga akan menjadi baik dan kuat. Kesan seterusnya bangsa atau umat kita pun akan menjadi kuat dan sentosa, disegani, dinilai, tinggi dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain. Sebaliknya suatu umat atau suatu bangsa yang terdiri di atas asas-asas lemah dan rapuh, iaitu keluarga-keluarga dan individu-individu yang bercerai-berai, maka bangsa atau umat itu pun pasti lemah, tidak mempunyai asas-asas tertentu dan akan dicaci oleh bangsa-bangsa lain sebagai musuh yang mudah dikalahkan. Kerana itulah Islam memberikan perhatian yang penting sekali kepada pembentukan keluarga mukmin dan muslim. Dari keluarga-keluarga muslim itulah dapat diwujudkan masyarakat muslim, bangsa muslim dan Negara yang menjunjung tinggi agama Islam. Melalui jalan itulah kaum muslimin akan dapat menjadi umat yang Berjaya di dunia dan akhirat. 

BERTUNANG

Meminang adalah langkah pertama yang menentukan sebelum terjadinya akad nikah. Sebelum lelaki meminang wanita, hendaklah ia yakin akan pilihannya agar pinangan tidak ditarik kembali. Hal ini kerana tindakan sebegitu boleh menyakiti wanita tersebut dan boleh menjatuhkan maruahnya. 

Meminang ialah cara yang dilakukan oleh lelaki untuk menyampaikan keinginannya hendak memperisterikan seorang wanita secara terbuka dan terus-terang baik dilakukannya sendiri atau melalui perantaraan keluarganya atau sahabat yang dipercayai. 

PERKAHWINAN HENDAKLAH DIUMUMKAN DAN PINANGAN HENDAKLAH DIRAHSIAKAN 

Islam menekankan agar pinangan dirahsiakan dan dibataskan pengetahuan di dalam lingkungan keluarga. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam memerintahkan :  “umumkanlah perkahwinan dan rahsiakanlah pinangan”. 

Merahsiakan pinangan adalah suatu kebijaksanaan bagi wanita. Kebaikan tersebut bermaksud melindungi maruah wanita agar tidak dicemuh orang sekiranya pembatalan pinangan berlaku. Ianya juga bersebab agar lelaki lain tidak berasa ragu-ragu untuk meminangnya kerana memikirkan kekurangan yang ada pada wanita tersebut. 

KONSEP PERKAHWINAN (Undang undang Keluarga Islam)

DEFINISI PERKAHWINAN

Pelbagai pengertian tentang perkahwinan telah diberikan oleh para ulama, diantaranya yang terbaik ialah : suatu akad yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan muhrim dan menimbulkan hak serta kewajipan antara kedua-dua mereka. 

Dalam pengertiannya yang luas, perkahwinan adalah satu ikatan lahit diantara dua orang, lelaki dan perempuan, untuk hidup bersama di dalam sebuah rumahtangga disamping melahirkan zuriat sebagai meneruskan kelangsungan hidup manusia menurut batas-batas (disiplin) hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak. 

Galakan melangsungkan perkahwinan ini dapat kita lihat di dalam beberapa ayat al Quran dan hadis-hadis nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam di antaranya :

“Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai, dua, tiga dan empat, tetapi kalau kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (di antara perempuan-perempuan itu), hendaklah (kamu berkahwin) seorang sahaja. ” (al-Nisa, 4:3)

Sabda Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam :

“Akan tetapi saya menunaikan sembahyang dan tidur, saya juga berpuasa dan berbuka, saya berkahwin dengan orang-orang perempuan, barangsiapa yang tidak suka dengan Sunnah saya maka dia bukanlah daripada golongan saya”. 
(Riwayat Bukhari, 9:354, Lihat Syaukani, 6:113)

Hukum asal perkawinan ialah harus, tetapi ia kadang-kadang menjadi wajib, kadang-kadang pula ia menjadi haram atau sunat atau makhruh atau ia turun ke taraf asalnya iaitu harus. Antara sebab perubahan itu berlaku ialah :

Menjadi wajib kepada seseorang yang mampu memberi nafkah lahir dan batin disamping dia tidak mampu mengawal dirinya dari berbuat zina. 
Haram ke atas seseorang yang tidak mampu memberi nafkah lahir dan batin serta ia akan memudaratkan pasangannya. 

Pernikahan menjadi sunat apabila seseorang mampu memberi nafkah lahir dan batin, tetapi ia tidak khuatir dirinya dari melakukan zina, dengan erti dia masih mampu mengawal diri. 

Makhruh bagi seseorang yang tidak mampu memberi nafkah lahir dan batin tetapi tidak memberikan kesan buruk kepada isterinya kerana isterinya seorang yang kaya disamping tidak kuat keinginan untuk melakukan persetubuhan. 
Ia harus bagi seseorang yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak ada sebab yang mendorongnya untuk berkahwin. 

RUKUN-RUKUN PERKAHWINAN

 Sesuatu perkahwinan tidak akan berlaku tanpa berasaskan kepada perkara penting yang diistilahkan oleh para ulamak sebagai rukun-rukun perkahwinan. Tanpa sebahagiannya atau salah satunya maka perkahwinan tidak akan wujud. Antaranya ialah :

1. Pengantin lelaki
2. Pengantin perempuan
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Sighah (ijab dan Kabul)

 Setiap rukun diikat dengan beberapa syarat tertentu agar segala-galanya berlaku dengan sempurna. 

Syarat-syarat pengantin lelaki

1. Islam
2. Tidak dipaksa kahwin
3. Tidak berada dalam Ihram kerana mengerjakan haji atau umrah
4. Mukallaf
5. Bukan muhrim bagi bakal isteri
6. Tidak mempunyai empat isteri atau salah seorang isterinya berada dalam Idah raj’l dan
7. Lelaki yang tertentu sebagai suami kepada bakal isteri yang akan dinikahinya

Syarat-syarat pengantin perempuan

1. Islam
2. Bukan dalam idah
3. Bukan isteri orang
4. Bukan muhrim kepada suami
5. Tidak berada dalam ihram kerana mengerjakan haji atau umrah dan
6. Perempuan yang tertentu sebagai isteri kepada bakal suami yang akan berkahwin dengannya. 

PEREMPUAN YANG TIDAK HARUS DIKAHWINI

 Terdapat dua kumpulan orang-orang perempuan yang menjadi muhrim kepada seorang lelaki iaitu :

1. Kumpulan yang tidak harus untuk selama-lamanya, disebut sebagai haram mu’abbad dan
2. Kumpulan yang tidak harus untuk sementara sahaja, iaitu dikatakan sebagai haram mu’aqqat. 

Kumpulan yang tidak diharuskan untuk selama-lamanya terbahagi kepada tiga kelompok :
1. Mereka yang mempunyai hubungan nasab (keturunan)
2. Mempunyai hubungan rada’ah (susuan)
3. Mempunyai hubungan musaharah (persemendaan)

Kelompok pertama terdiri daripada :
a. Ibu sendiri
b. Anak perempuannya
c. Saudara perempuannya
d. Anak perempuan dari saudara lelakinya
e. Anak perempuan dari saudara perempuannya dan
f. Ibu saudaranya dari sebelah bapa
Kelompok kedua terdiri daripada :
a. Ibu susuannya dan
b. Saudara perempuan susuannya

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam :
“Haram dengan sebab susuan barang yang haram dengan sebab nasab”. 

Kelompok ketiga terdiri daripada :
a. Ibu mertuanya
b. Anak tirinya
c. Ibu tirinya
d. Menantunya

Kumpulan yang tidak diharuskan untuk sementara waktu terdiri daripada :
a. Saudara perempuan isterinya (samada kakak ataupun adiknya)
b. Saudara perempuan bapa mentua dan saudara perempuan ibu mentuanya. 
c. Berlainan agama. Dia akan menjadi harus dikahwini dengan memeluk agama Islam. 

WALI

SYARAT-SYARAT WALI :

Seseorang wali juga terikat dengan beberapa syarat kelayakan tanpanya maka hilanglah kelayakannya. Antara syaratnya :

1. Islam
2. Lelaki
3. Sempurna umur baligh
4. Berakal serta waras firkirannya
5. Bebas merdeka 
6. Adil
7. Tidak dalam Ihram haji atau umrah
8. Tidak dipaksa menjadi wali

PEMBAHAGIAN WALI :

1. Wali nasab

Wali nasab ialah mereka yang mempunyai hubungan darah dengan perempuan yang akan
dikahwinkan, seperti :

Bapa pengatin perempuan
Datuknya, iaitu datuk sebelah bapanya
Saudara lelaki seibu sebapa
Saudara lelaki seibu sebapa 
Saudara lelaki sebapa
Anak lelaki kepada saudara lelakinya yang seibu sebapa
Anak lelaki kepada saudara lelakinya yang sebapa
Bapa saudaranya dari sebelah bapanya yang seibu sebapa
Bapa saudarnya dari sebelah bapanya yang sebapa
Anak lelaki kepada bapa saudara yang seibu sebapa dengan bapanya
Anak lelaki kepada bapa saudara yang sebapa dengan bapanya
Bapa saudara kepada bapanya yang sebapa

 Di antara wali-wali nasab tersebut, bapa ialah wali utama yang dikenali sebagai wali aqrab. Wali-wali yang dikenali sebagai wali ab’ad. Sekiranya bapa kepada pengantin perempuan tiada, maka berpindah kepada yang lain mengikut susunan seperti yang dinyatakan. 

Sebab-sebab wali aqrab berpindah kepada wali ab’ad :
Wali aqrab dalam kekufuran
Wali aqrab fasiq atau tidak adil
Gila
Masih lagi kanak-kanak
Bisu
Bodoh
Seorang hamba abdi

WALI HAKIM

Wali hakim ialah ketua Negara Islam atau wakilnya seperti kadi besar, kadi-kadi daerah atau orang yang mendapat tauliah daripada pejabat-pejabat kadi daerah. Mereka berperanan mengahwinkan seseorang perempuan yang tidak mempunyai wali apabila aqrab enggan mengahwininya. 

SAKSI DAN IJAB KABUL

Syarat-syarat saksi :
1. Dua orang saksi adalah lelaki
2. Kedua-duanya beragama Islam
3. Sempurna unur baligh
4. Sempurna pendengaran
5. Boleh bercakap dan melihat
6. Waras fikiran
7. Bersifat adil
8. Faham dan mengerti bahasa yang digunakan di dalam ijab dan Kabul
9. Kuat ingatan
10. Tidak dipaksa untuk menjadi saksi
11. Tidak berada dalam ihram mengerjakan haji atau umrah

IJAB KABUL DAN SAKSI

Ijab bererti mengemukakan atau menyatakan perkataan kabul ertinya terima. Jadi, ijab dan Kabul ertinya seseorang menyatakan sesuatu kepada seseorang kemudian orang itu menyatakan sesuatu kepada seseorang kemudian orang itu menyatakan terima. Dalam perkahwinan ijab dan Kabul ialah seorang wali dari pihak perempuan atau wakilnya mengemukakan kepada bakal pengantin lelaki untuk mengahwinkan lelaki tersebut dengan puterinya lalu lelaki itu menyatakan penerimaannya. 

Dalam melakukan ijab dan Kabul, harus disaksikan oleh dua orang lelaki yang adil. Adil di sini bermaksud jujur dan berakhlak baik. Ada yang berpendapat bahawa dua orang lelaki adil ialah dimaksudkan dengan Islam. Pendapat ini boleh diikuti kerana sebaik-baik saksi adalah muslim yang taat kepada agamanya. 

MAHAR

Dalam pernikahan harus ada pemberian harta sebagai mas kahwin beradasarkan firman Allah:

Ertinya : “Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian, iaitu mencari isteri-isteri dengan hartamu untuk dikahwini bukan untuk berzina. ”

Dan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda kepada lelaki yang meminang wanita (ia pernah menawarkan dirinya untuk dinikahi Rasulullah) bermaksud:  “Carilah (mas kahwin) walaupun berupa cincin dari besi”. 

Wanita yang menikah tanpa mas kahwin berhak untuk menuntut kepada suami mas kahwin mistil. Mas kahwin pernikahan boleh berupa mengajar membaca al Quran, hadits-hadits atau ilmu-ilmu yang bermanfaat. 

Memenuhi pembayaran mas kahwin adalah termasuk bahagian akad, kerana segala jenis yang menjadi pensyaratan dalam akad termasuk dalam bahagian dari akad tersebut. Pembayaran mas kahwin boleh dicicil bila sudah ada kesepakatan sebelumnya suami wajib memenuhinya tatkala waktu pembayaran telah tiba. Dan mas kahwin yang ditangguhkan tersebut wajib dikeluarkan zakat dengan syarat keadaan ekonomi suami baik dan mampu, dan tidak wajib mengeluarkan zakat apabila suami tersebut berkeadaan miskin. 

Wanita dibolehkan melepaskan hak mas kahwinnya kepada calon suami bila tanpa ada unsur paksaan. Tetapi bila ada unsur paksaan atau ancaman mahu dicerai, maka mas kahwin tersebut todak boleh lepas dari tangannya kerana tidak boleh memaksanya agar menggugurkan mas kahwin. 

Mas kahwin wajib dibayar setelah wanita tersebut mengadakan hubungan khalwat, digauli, meninggal, atau bercumbu. Apabila seorang suami telah melakukan khalwat dengan isterinya, maka wanita itu berhak mendapatkan mas kahwin tersebut walaupun dicerai. Apabila terjadi akad nikah suami terus meninggal dunia sebelum menjimaknya maka si isteri berhak atas mas kahwin yang sempurna, bahkan meski hanya dicumbui sahaja tetap dia berhak atas mas kahwin yang sempurna. Salah satu dari empat perkara (kematian, khalwat, senggama dan bercumbu) yang mewajibkan mas kahwin sempurna. 

Jika seorang suami setelah menikah belum melakukan empat perkara di atas, maka wanita tersebut harus menjalani eddah, berhak mendapat bahagian warisan dan memperolehi mas kahwin mitsil bila sebelumnya tidak disebutkan mas kahwinnya.  Allah pernah berfirman: Ertinya: “Orang-orang yang meninggal dunia diantaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya(bereddah) empat bulan sepuluh hari. ”

Dalam ayat diatas, wanita sudah disebut sebagai isteri walaupun belum digauli. Jika seseorang lelaki menikah kemudian menjatuhkan talaknya kepada isterinya sebelum digauli maka wanita berhak mendapatkan separuh dari mas kahwin tersebut sekiranya telah disebutkan kadarnya. Jika belum ditentukan kadarnya, maka dia hanya berhak mendapatkan mut’ah tanpa menjalani eddah. 

POLIANDRI (Pernikahan satu isteri dengan beberapa suami)

Cara pernikahan ini diperbolehkan oleh sesetengah ajaran tetapi tidak dalam Islam apabila seorang isteri berkahwin dengan beberapa orang lelaki agar menjadi milik bersama antara mereka. 

Pada sebahagian keadaan, para suami secara keseluruhan di[erlakukan sama dalam hak-hak dan kewajipan sebagai bapa. Mereka berhak atas nasab secara keseluruhan. 

Lelaki mendapat hak bermalam dengan isteri sebagai ganti kewajipan yang dibebankan kepada mereka akan tetapi nasab anak-anaknya tidak dihubungkan kepada mereka. Cara pernikahan ini ada tiga jenis:
i. Ada hubungan kekerabatan antara para suami

Bagi menjaga cara pernikahan ini, sedikit sekali lelaki yang boleh mendapatkan isteri apabila mereka tidak mempunyai beberapa saudara. Nasab anak-anaknya dihubungkan kepada semua suami. 

ii. Tidak terikat dengan kekerabatan

 Cara pernikahan ini hanya dilakukan oleh orang-orang baik dahulu mahupun sekarang seperti di kepulauan markis di polinisia, dimana lelaki membolehkan saudara-saudaranya melakukan hubungan badan dengan isterinya, sebagaimana setiap lelaki boleh membantunya dalam pekerjaannya. 

 Ada sebahagian kabilah-kabilah Arab zaman Jahiliyyah, sebagaimana dinyatakan dalam hadis Riwayat Bukhari dari Aisyah ra: Suatu kaum yang tidak lebih dari sepuluh orang berkumpul dan semua masuk ke dalam rumah seorang wanita, dan mereka melakukan hubungan badan dengannya. 

iii. Cara ketiga, iaitu suami mempunyai seorang isteri akan tetapi orang lain diperbolehkan untuk melakukan hubungan badan dengannya dalam batas waktu tertentu sebelum diadakan walimah pernikahan atau setelahnya dalam keadaan tertentu dan dengan aturan khusus dimana campur tangan ini tidak masuk dalam kategori sebagai suami dan juga tidak mendapatkan hak-haknya. 

POLIGAMI

 Poligami dilakukan oleh manisia tanpa batas seperti pada agama-agama dan syariat yang datang sebelum Islam. Ketika Islam datang, poligami dibatasi jumlahnya bagi lelaki dan dijadikan sesuai dengan kemampuan lelaki biasa. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala :

“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap(hak-hak) perempuan yatim(bila mana mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi:dua, tiga atau empat. ”

 Sabda nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam kepada seorang lelaki Tsaqif yang masuk Islam dan ia mempunyai sepuluh orang isteri. “Pertahankanlah olehmu empat dari mereka, dan ceraikanlah sisanya. ” Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam bukunya ‘Al-Muwatta’. 

Syarat-syarat Poligami

Lelaki yang melakukan poligami diisyaratkan untuk berlaku adil dengan setiap isterinya meliputi keadilan dalam bermalam dengan setiap isterinya sesuai dengan waktu ia bermalam di rumah isterinya yang lain. 

Demikian juga dengan nafkah yang wajar seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal dan lainnya. Syarat bermalam di rumah isteri didasarkan kepada kekuatan badan sedangkan syarat memberi nafkah didasarkan kekuatan hartanya. Oleh itu, Fuhaqa menetapkan syarat diperbolehkannya poligami dengan dua syarat: pertama, tidak takut untuk tidak berlaku zalim. Kedua, mempunyai kemampuan harta. 

MONOGAMI

Monogami merupakan cara perkahwinan tunggal iaitu perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan sahaja. Sesetengah gama seperti Kristian mengamalkan perkahwinan sejenis ini kerana menganggap perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang perempuan adalah untuk sepanjang zaman. Oleh kerana itulah penceraian tidak diiktiraf sama sekali (seperti mazhab Katholik). 

PENUTUP

Tidak dinafikan lagi, perkahwinan merupakan salah satu kaedah bagi pembentukan keluarga dan untuk melahirkan keturunan. Itu adalah fitrah ilahi itulah Allah menciptakan manusia. Selain dari itu, perkahwinan juga merupakan hokum alam yang tidak boleh diubah atau berlangsungnya perkahwinan pada setiap generasi dan pada setiap zaman. Dengan demikian maka dalam setiap jiwa individu terdapat sesuatu yang mendorong keinginan berhubungan dengan jenis kelamin lain untuk dapat melaksanakan perkahwinan dan melahirkan generasi baru yang akan mentadbir kemakmuran di muka bumi ini. Islam memandang perkahwinan tidak semata-mata sebagai cara untuk menyatukan lelaki dan perempuan atau sebagai cara berhubungan antara tubuh yang satu dengan tubuh yang lain dan tidak pula memandangnya sebagai cara untuk memuaskan tuntutan hawa nafsu atau sebagai cara untuk memenuhi kebuasan nafsu syahwat. Islam memandang perkahwinan jauh dan lebih mendalam dari semuanya itu, lebih agung dan lebih mulia. Sebagai contoh marilah kita tinjau kembali firman Allah:

“Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) dari (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu condong kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. ”

Yang dimaksukan “ketenteraman” dalam ayat suci tersebut, bukanlah ketenteraman nafsu syahwat yang menyala-nyala atau gelora naluri yang membara, sebaiknya suatu rahsia yang tersembunyi di balik keresahan dan kegelisahan pada tabiat manusia. Iaitu rahsia yang dirasakan oleh setiap orang sebagai kekosongan yang harus diisi, sebagai kekurangan yang harus dilengkapi dan sebagai kehendak dan rasa kesunyian yang perlu diatasi agar tercapai kehendaknya, sehingga, merasa lega dan tenang. 

RUJUKAN

Fadhilah Asy- Syeikh Atiyah Saqar. (2005). Masalah- masalah Dalam Keluarga. Kuala Lumpur: Jasmin enterprise. 
Muhammad Ali Quthb. (1999). Mutiara Perkahwinan Menurut Ajaran Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid. 
Prof. Madya Dr. Mat Saad Abd. Rahman. (1993). Undang-undang Keluarga Islam:Aturan Perkahwinan. Selangor: HIZBI. 
Syaikh Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh. (2004). 300 Soal Jawab Nikah & Kahwin. Kuala Lumpur : Jasmin enterprise. 
Zulkefli Yazid. (2002). 40 Petunjuk Menempuh Alam Perkahwinan. Kuala Lumpur: AKFAS. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com