Tajuk: Penerokaan Terhadap Ekonomi Islam

PENGERTIAN EKONOMI
Perkataan ekonomi adalah dianggap terjemahan lama bagi perkataan yang berasal dari bahasa Greek iaitu OIKONOTUOS yang dalam bahasa itu bererti (pengurusan hal-ehwal rumahtangga)
Perkataan tersebut telah berpindah ke dalam bahasa lain dengan lafaz Economie kerana kalimah ini telah menjadi suatu istilah yang dipakai oleh beberapa bangsa sejak zaman dahuku lagi. Maka dalam bahasa Arab juga masyhur urusan-urusan kewangan dengan nama tersebut.

APA ITU EKONOMI ISLAM??
Akram Khan (1984:55) mentakrifkan ekonomi sebagai kajian al-falah manusia melalui penggurusan sumber bumi berasaskan kerjasama dan penyertaan. Dalam pada itu, Hasan-uz-Zaman (1984:55) pula mentakrifkan ekonomi Islam sebagai ilmu pengetahuaan dan penggunaan perintah dan peraturan syariat demi melindungi ketidakadilan dalam perolehan dan penggunaan sumber asli bagi tujuan memenuhi kepuasan manusia dan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan masyarakat seluruhnya.
Masudul Alam Choudhury (1986:4) mentakrifkan ekonomi Islam sebagai kajian sejarah, empiric dan teori bagi menganalisis keperluan manusia dan masyarakat berasaskan panduan sistem nilai Islam.
Amir Mohd-al-Faysal al-Su’ud berpendapat ekonomi Islam ialah satu ilmu wasilah (alat) yang digunakan oleh manusia bagi memenuhi segala hajat individu dan masyarakat sesuai dengan peraturan syariat (dipetik daripada Hamzah dan Shahbari, 1982:3).
Mannan (1980:36) menganggap ekonomi Islam sebagai ilmu sains sosial yang mengkaji masalah ekonomi yang berpegang pada nilai Islam.
Dapat ditegaskan disini bahawa ekonomi Islam merupakan ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan kehendak syariat, dari segi memperoleh, mengguna atau mengurus sumber asli untuk kebaikan diri serta kebaikan bersama secara kebendaan dan kerohanian demi mendapat keredhaan Allah SWT (Hassan, 1990b:11)

KONSEP PEMBANGUNAN EKONOMI ISLAM

Konsep pembangunan ekonomi Islam adalah jauh lebih luas dari konsep pembangunan dalam ekonomi sekular. Di sebalik hakikat bahawa asas pembangunan Islam berbentuk pelbagai dimensi, mengandungi dimensi-dimensi moral, sosial, politik, dan ekonomi, pembangunan moral dan spiritual dijalinkan ke dalam konsep pembangunan ekonomi sejak dari awal lagi.
Inilah apa yang disebut “Tazkiyah al nafs” seperti yang dijelaskan oleh ayat Al Quran berikut, yang bermaksud “Dan jiwa serta penyempurnaannya. Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwanya dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya”. (91:7-10) dan ayat –ayat lain yang sama maksudnya.
Dengan itu, pembangunan ekonomi dalam Islam bukan hanya pembangunan kebendaan. Aspek-aspek kerohaniaan dan moral diberi keutamaan besar dan dinyatakan dalam “takaful” atau “tadhamun” ataupun jaminan sosial bersama dalam Islam.
Kekayaan ekonomi boleh dirangsangkan dan seterusnya mempercepatkan pembangunan ekonomi melalui latihan psikologi. Misalnya dalam Islam “bekerja” dengan tujuan menggunakan sumber-sumber kepunyaan Allah dengan cekap juga merupakan satu ibadah.
Al Quran menyatakan yang bermaksud; Apabila telah ditunaikan sembahyang maka bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurniaan Allah(62:10).
Rasulullah (SAW) diriwayatkan pernah bersabda yang bermaksud: “bahawa tiada seorang yang memakan makanan yang lebih baik dari apa yang ia makan dari hasil kerja tangannya” (Bukhari).
Rasulullah (SAW) bersabda bermaksud: “Dan kami telah menghamparkan bumi dan menjadikan padanya gunung-gunung dan kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran. Dan kami telah menjadikan untukmu dibumi keperluan-keperluan hidup dan (kami menciptakan pula) makluk-makluk yang kamu sekali-kali bukan pemberi rezeki kkepadanya” (15:19-20)

CIRI-CIRI EKONOMI ISLAM
Al-Assal dan Abdul Karim (1981:15-30) mengemukakan dua ciri-ciri ekonomi Islam yang penting, iaitu pertama ekonomi merupakan sebahagian daripada sistem kehidupan dan kedua, keseimbangan antara kepentingan individu dengan masyarakat. Sebenarnya cirri-ciri asas Islam juga merupakan cirri-ciri ekonomi Islam. Ciri-ciri ketuhanan, cara hidup yang lengkap, keseimbangan antara kepentingan individu dengan masyarakat, keseimbangan kebendaan dengan kerohaniannya, tetap dan dinamik, rekod-rekod ajaran yang terpelihara, dan sebagainya merupakan cirri-ciri yang terdapat dalam ekonomi Islam.
Oleh itu, ciri-ciri ekonomi Islam ialah:
1. Ekonomi yang berasaskan Al Quran dan al-Sunnah.
 Oleh itu, ekonomi Islam ialah ekonomi ilahi (ketuhanan) dari segi prinsipnya (al- Fanjari, 1988:22 dan 47)
2. Ekonomi yang merupakan bahagian daripada keseluruhan sistem kehidupan Islam yang lengkap. Ekonomi Islam sendiri adalah lengkap, sempurna dan mampu untuk menyelesaikan masalah keperluan kehidupan manusia, malah seluruh makluk dibumi ini.
3. Ekonomi yang akan sentiasa mengimbangkan kepentingan individu dan masyarakat. Masing-masing ada tempatnya yang tersendiri, walaupun tidak secara mutlak. Apabila kepentingan individu dan kepentingan umum tidak mungkin disesuaikan maka Islam mendahulukan kepentingan umum (al- Fanjari 1988:51 dan al-Assal ef al;1981:29).
4. Kegiatan ekonomi yang bersifat kebendaan tetapi masih bercorak kerohanian. Manusia bukan sahaja mempunyai hubungan dengan sesama manusia, tetapi juga mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Kegiatan ekonomi tidak memisahkan kebendaan daripada kerohanian.
5. Ekonomi yang sentiasa sesuai sepanjang zaman dan masa kerana sifatnya yang tetap dan dinamik. Ekonomi Islam dianggap tetap kerana prinsipnya yang teguh tanpa boleh dipersoalkan, dan pada masa yang sama dinamik kerana mempunyai kaedah penggunaan yang berbeza dan sesuai dengan keadaan.
6. Ekonomi yang asas hukumnya ialah al Quran dan al Sunnah. Al Quran terjamin keasliannya hingga ke hari kiamat. Begitu juga al-sunnah. Oleh itu, ekonomi Islam akan sentiasa sesuai untuk sepanjang zaman.

PEMBANGUNAN DARI PERSPEKTIF EKONOMI ISLAM
Pembangunan dalam Islam ialah pembangunan yang meliputi semua aspek pembangunan kebendaan (ekonomi) dan pembangunan insane secara keseluruhannya. Pembangunan Islam meletakkan manusia di tengah-tengah fokus proses ekonomi. Peranan dan kegiatan manusia dikira dari segi kesanggupan memenuhi kehendak kerohanian dan akhlaknya, disamping keberkesanan industrinya (Nyang, 1976:13).
Islam menganggap bahawa pembangunan ekonomi merupkan “latihan fizikal dan usaha kerohanian diri manusia” (Nyang, 1976:12). Kegiatan ekonomi manusia bukan sahaja untuk memuaskan diri terhadap keperluan fizikal, sebaliknya manusia yang mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap penciptanya merasa perlu membangunkan akhlak dan rohaninya. Oleh itu, pembangunan Islam merangkumi pembangunan jasmani (kebendaan) dan kerohanian (termasuk fikiran).

KONSEP PEMBANGUNAN
Pendekatan Islam lebih menitikberatkan penukaran dan perubahan sumber kemanusian. (Khan, 1969:8) Pembangunan Islam juga bererti evolusi manusia, tetapi dalam skop yang berbeza daripada konsep evolusi barat. Evolusi dalam Islam bererti memandu dan mengubah masyarakat yang jahil kepada masyarakat Islam (Khan, 1969:8). Malah ajaran Islam adalah untuk tujuan tersebut.
| Jika masyarakat telah dibina berasaskan syarak, maka masyarakat itulah masyarakat yang bertamadun dan membangun (Khan, 1969:10). Sebab itulah era Rasulullah SAW dinamakan sebagai era Khairul qurqn (kurun terbaik) kerana masyarakatnya ialah masyarakat rabbani, iaitu masyarakat syariat dan hamper dengan Allah SWT.
Secara ringkasnya, pembangunan dalam Islam dilahirkan melalui pembangunan sumber kemanusiaan, khususnya pembangunan kerohanian, disamping bentuk pembangunan yang lain. Seperti keintelektualan, bakat, kemahiran dan kemampuan untuk menghasilkan kebandaan.

ASAS EKONOMI FISKAL ISLAM
ZAKAT DAN BAITULMAH
Zakat
Zakat adalah salah satu rukun Islam yang kelima, zakat merupakan hak Allah dalam kekayaan atau harta orang muslim. Pelaksanaan zakat merupakan tanggungjawab setiap muslim dan Negara dalam hal kekayaan dan bila harta sudah mencapai jumlah tertentu selama masa yang sudah berjalan.
Pengertian Zakat Secara Modern
Allah SWT berkali-kali memerintahkan dalam Al Quran agar umat Islam membayar zakat, antara lain dalam ayat:
“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka... ” (At Taubah 103) “Dan dirikanlah shalat, tunaikan zakat dan ruku’lah beserta orang-orang yang ruku”.
(Al Baqarah 43) “... Jika mereka bertaubat dan mendirikan shalat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan... ” (At Taubah 4)
Al Quran ada menyebut kalimah zakat beberapa kali beriringan dengan solat. Zakat bukanlah perkara baharu, tetapi telah ada sejak sekian lama dan dikenali serta diamalkan oleh masyarakat dan Negara Islam yang lampau. Keberkesanan zakat dari segi menjamin kesejahteraan sesebuah Negara telah terbukti keunggulan sebagai alat ekonomi fiskal terpenting yang pernah disebut dalam Al Quran.

Baitulmal
Dalam ekonomi Islam, baitulmal merupakan daerah dan pusat ekonomi fiskal. Kedua-duanya berkait kuat antara satu dengan yang lain. Sesuai dengan namanya sebagai rumah harta, institusi baitulmal berfungsi sebagai pengawal perbendaharaan negara, baik dari segi penentuan perbelanjaan, hasil kutipan mahupun hutang Negara.
Baitulmal dan zakat merupakan dua institusi asa dalam pembentukan sistem fiskal Islam. Sejajar dengan hasil negara dan zakat, baitulmal merupakan satu lagi institusi fiskal Islam yang penting selain sebagai gedung hasil negara, baitulmal juga merupakan sebuah institusi yang berperanan membangun dan menyelesaikan masalah masyarakat di negara Islam dari segi ekonomi, sosial, dan kebajikan (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, 1987:6)

PERUNTUKAN KEHIDUPAN YANG MINIMUM
Walaupun Syariah menggalakkan setiap individu berusaha untuk mencari rezeki namun Al Quran dan Sunnah mengakui bahawa seorang yanag hidup dalam kemiskinan dan kekurangan berhak menerima bantuan masyarakat. Ini kerana jaminan tingkat kehidupan yang minimum mesti disediakan oleh Negara Islam yang dinyatakan dalam ayat tersebut yang bermaksud: “sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-prngurus zakat, para mua’laf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

ZAKAT DAN MATLAMAT DASAR SOSIOEKONOMI
Faridi (1983:28) menggariskan empat matlamat dasar sosioekonomi dalam Negara Islam, iaitu:
1. Keadilan atau kesamaan.
2. Peruntukan keperluan sosioekonomi masyarakat atau kebajikan sosial.
3. Mengembangkan sumber ekonomi masyarakat atau pertumbuhan ekonomi.
4. Pembaikan persekitaran kebudayaan masyarakat.

KEPENTINGAN PERANAN DASAR FISKAL
Metwally menegaskan bahawa dasar fiskal lebih berperanan dalam ekonomi Islam jika dibandingkan dengan ekonomi bukan Islam (Metwally, 1983:60-61).
Disamping itu, beliau memberikan satu alasan lagi menjadikan dasar fiskal lebih berperanan. Ini disebabkan secara relatif peranan dasar kewangan dalam ekonomi Islam agak terhad jika dibandingkan dengan sistem ekonomi yang lain. Metwally (1983:60) menghujahkan bahawa;
1. Kadar bunga dalam ekonomi Islam tidak berperanan. Oleh itu kadar bunga sebagai alat dasar kewangan yang penting tidak wujud.
2. Islam melarang perjudian, termasuk beberapa jenis spekulasi dan urus niaga hadapan. Ini menyebabkan operasi pasaran terbuka tidak lagi berkesan dan permintaan wang untuk spekulasi tidak wujud.

PENGHARAMAN RIBA

Pengertian Riba
Riba berasal dari bahasa Arab yang bererti tambahan (al-ziyadah), berkembang (an-numuw), meningkat (al-irtifa’), dan membesar (al-‘uluw). Dengan demikian, riba dapat diertikan sebagai pengambilan tambahan dalam transsaksi jual beli yang dilakukan secara batil juga dapat dikatakan sebagai riba.
Punca pengharaman Riba:
Islam mengharamkan riba sebab riba membunuh perasaan belas kasihan pada manusia. Seseorang yang memakan riba tidak akan teragak-agak untuk mengambil harta orang yang ia beri pinjam apabila ia kehendaki.
Dalam kerajaan Islam, orang yang memerlukan pertolongan wang, wajib dipinjamkan kepada mereka tanpa bunga atau faedah;sebab ini ialah cara untuk menyuburkan tali silaturahim serta member jaminan kepada keadaan hidup masyarakat. Islam menggangapkan pengamal riba sebagai pengingkar ekonomi yang berdosa besar. Sebab ianya berlawanan dengan ajaran Islam yang memberi galakkan supaya memberi pertolongan yang ikhlas kepada sesiapa yang berhajat.
Firman Allah:
Bermaksud:”Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah”. (Al-Baqarah:276)

Kemudaratan Riba
Riba merupakan suatu cara penjajah untuk menjajah sesebuah Negara. Merosakkan ekonomi melalui urus niaga riba adalah menjadi langkah permulaan kepada penjajahan tentera. Orang-orang asing telah memberi hutang kepada kerajaan-kerajaan timur, dalam masa yang singkat kekayaan telah berpindah tangan dari tangan penduduk-penduduk tempatan kepada orang-orang asing. Apabila kerajaan tadi sedar tentang kedudukan dan bahaya demikian, kemudian cuba menahan diri, maka orang-orang asing tadi akan campur tangan dengan alasan melindungi rakyat negeri, sedang mereka kemudiannya mengambil faedah dari penghasilan Negara.
Dengan sebab seperti inilah Rasulullah (SAW) melaknatkan orang yang memakan riba, wakilnya, penulisannya, dan saksi-saksinya.
Kata Rasulullah:Mereka adalah sama.

Cara Menghapuskan Riba
Cara menghapuskan riba ialah dengan mengamalkan bentuk hutang yang baik atau tidak berfaedah. Salah satu bahagian perbelanjaan wang zakat ialah menyelesaikan hutang seseorang yang berhutang bukan untuk maksiat, bukan untuk kemewahan dan kemudian ia tidak berupaya membayar;maka wang zakat boleh digunakan untuk membayar hutang itu.
Ustaz Mohamad Abu Zahrah mengatakan: “Jika seseorang itu berhutang kerana sesuatu keperluan seperti hendak memberi perbelanjaan kepada keluarganya sedang disana tidak ada orang yang hendak memberi pinjaman kepadanya tanpa faedah dan dia terpaksa meminjam dengan pinjaman yang berfaedah, berbunga, maka inilah tidaklah mengapa... Sesungguhnya zakat mempunyai bab penyelesaian hutang yang jika dilaksanakan sudah tentu tidak timbul keadaan yang kelam kabut.

KEISTIMEWAAN EKONOMI ISLAM
1. Bumi ini muat untuk dihuni oleh seluruh anak Adam bengan memperolehi rezeki yang
 mencukupi sepanjang zaman.
2. Pemilik Hakiki ialah Allah bukan manusia.
3. Hakmilik yang disandarkan kepada manusia adalah terikat dengan syariat atau perundungan Allah.
4. Maslahat dan kepentingan umum yang selaras dengan syariat Allah.
5. Hak yang termaklum dalam harta untuk orang yang bukan manjadi pemiliknya
6. Hukum sah/halal bagi harta.
7. Meletak harta pada tempat yang wajar.
8. Pengharaman membiarkan tenaga manusia dengan sia-sia.
9. Tempat-tempat pengagihan harta kekayaan dan gesaan untuk berbelanja
10. Perlunya harta kekayaan dipusing dan diperedarkan dan tidak harus dibiarkan membeku ditangan segelintir pemilik.

KESIMPULAN

Islam sebagai sistem hidup yang lengkap dan sempurna telah mengetengahkan satu bentuk ekonomi dan kewangan yang ideal bagi menjamin keuntungan individu dan masyarakat secara serentak.
Pelaksanaan sistem ekonomi Islam secara sepenuhnya membawa kearah keamanan dan keadilan sosial. Prinsip pegangan dalam ekonomi Islam ialah Allah SWT sebagai empunya mutlak segala harta kekayaan, manusia pula bertindak sebagai pihak pengusaha yang menjalankan amanah dengan baik, mengamalkan dasar terbuka, tolong-menolong dan bekerjasama dalam masyarakat.
Pelaksanaan sistem ini lebih penting bagi menjauhkan manusia dari kemurkaan Allah SWT dan penyakit hati seperti dengki, khianat, pergaduhan dan kezaliman yang kesannya akan merugikan umat Islam sendiri secara keseluruhannya.

Rujukan
Mahmud Muhammad Babili, Dr (1988). Ekonomi Dari Kacamata Islam. Terengganu, Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdh, Bhd.
Muhannad Baqir Ash-S Hadr, Syahid(2002). Keunggulan Ekonomi Islam. Indonesia, Pustaka Zahra
Surtahman Kastin Hassan Sahep Ahmad (2005). Ekonomi Islam. Kuala Lumpur. Dawama Sdh. Bhd
Abdul Mannan, Muhammad(1993). Ekonom Islam Teori Dan Praktis, Kuala Lumpur. A. S. Noordeen
Abdul Fattah, Afif Tabbarah(1982). Ekonomi Islam. Kuala Lumpur. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Mahmud Abu Saud(1991). Gbei Baris-Garis Besar Ekonomi Islam. Kuala Lumpur. Syarikat S, Abdul Majeed

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com