Tajuk: Sifat-Sifat Terpuji Imam Syafie

PENDAHULUAN :
Nama sebenarnya ialah Muhamad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal dari keturunan Quraisy daripada Bani Mutalib. Ayahnya berasal dari keturunan Quraisy daripada Bani Mutalib. Ayahnya telah meninggal dunia ketika Imam Syafie masih kanak-kanak. Ada pendapat lain mengatakan bapanya meninggal ketika beliau masih dalam kandungan ibu.

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab tahun 150 hijrah. Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan, Imam Abu Hanifah(Imam Hanafi) meninggal dunia. Khalifah Islam pada masa itu ialah khalifah Abu Jaafar Al Mansur daripada Bani Abbasiyah.

Imam Syafie dibesarkan dalam serba kekurangan. Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari al Quran. Beliau telah telah menghafal al Quran sejak berusia 9 tahun. Semasa berusia 10 tahun, beliau telah menghafal dan memahami kitab al-Muwattak yang ditulis Imam Malik, mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak.

Ketika berusia 15 tahun, beliau telah mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di masjid al-Haram kerana kegigihan dan kecerdikan beliau yang luar biasa, beliau mendapat sanjungan masyarakat.

Imam Syafie sangat menentang amalan bidaah. Katanya lagi, semua perkara yang diadakan menyalahi al Quran dan sunnah atau ijmak ulamak adalah bidaah yng sesat. Dan perkara kebaikan yang tidak menyalahi sedikitpun daripada semua nya itu adalah bidaah terpuji.

Imam Syafie juga melarang taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri atau kepada sesiapa sahaja. Semasa hidup, beliau selalu menasihatkan orang ramai terutama anak muridnya tentang taklid.

Pesan Imam Syafie, “ Tiap-tiap perkara yang telah saya katakana padahal sabda Rasullullah saw bertentangan dengan perkataan saya, maka sabda Rasullullah saw itulah yang lebih utama dituruti”.

PENDIDIKAN :
Sejak dari mula-mula dilahirkan, Imam Syafie dibela oleh ibunya di Ghuzzah. Setelah beliau berusia 2 tahun, barulah Imam Syafie di bawaoleh ibunya pulang ke kampong asalnya iaitu di Kota Makkah.

Hiduplah Imam Syafie bersama-sama ibunya dalam suasana yang amat payah kerana kemiskinan akibat kematian ayahnya itu. Ibunya mencari penghidupan ibarat ayam yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun, Imam Syafie terus membesar di bawah penjagaan ibunya yang merupakan seorang perempuan yang amat salihah dan anak kepada cucu al-Hasan cucunda Rasullullah saw itu. Sebagaimana juga dengan kanak-kanak lain. Imam Syafie tidak melekakan dirinya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, sebaliknya sejak dari usia kanak-kanak lagi ibunya telah menghantarnya belajar al Quran kepada seorang ulama besar ahli qiraat di Kota Makkah bernama Imam Abu Ali Ismail bin Qastatin. Dalam usia 7 tahun itu, Imam Syafie telah menghafal seluruh al Quran. Ini menunjukkan betapa bersemangatnya ibu bapa pada zaman salafussalih dahulu di dalam mendidik anak-anak mereka dngan pokok agama iaitu al Quranul karim.

Di Kota Makkah Imam Syafie telah memulakan langkah permulaan untuk belajar ilmu fekah dengan menghadiri majli ilmu yang diadakan oleh Mufti Kota Makkah pada masa itu iaitu Imam Muslim bin Khalid al-Zinji. Imam Syafie menekuni Imam Muslim sehinggalah beliau mahir dan ahli dalam ilmu fekah sehingga beliau diberi keizinan oleh gurunya itu untuk memberi fatwa kepada orang ramai. Ketika itu umur Imam Syafie baru 15 tahun.

Kemudian, setelah tamat belajar kepada mufti Makkah di dalam ilmu fekah, Imam Syafie berpindah pula untuk mempelajari lain-lain ilmu terutama ilmu tafsir al Quran dan ilmu hadith kepada seorang ulama hadith yang paling ahli di Kota Makkah pada masa itu bernama Imam Sufyan bin Uyainah. Namun mazhab ini tidak dapat bertahan lama setelah munculnya mazhab-mazhab lain kemudiannya terutama mazhab yang empat dan masyhur itu.

Ilmu membaca al Quran atau ilmu tajwid pula Imam Syafie belajar kepada seorang ulama besar di dalam ilmu tajwid bernama Imam Abu Ali Ismail bin Qastatin, seorang ahli qiraat yang terkemuka di Kota Makkah.

Setelah belajar di Kota Makkah selama kira-kira hamper 10 tahun dan diakui alim oleh para ulama Makkah terutama oleh guru-guru beliau dan sudah mampu mengeluarkan fatwa, Imam Syafie mula mahu membuka langkah baru untuk mencari guru di luar kota Makkah pula setelah semua guru-guru di kota Makkah sudh habis didatanginya.

Beliau mula memalingkan mukanya ke Madinah kerana beliau mendengar di kala itu di Kota Madinah terdapat seorang ulama besar yang sangat ahli di dalam ilmu hadith dan fekah. Bahkan seorang yang amat alim dan mampu mendirikan mazhab sendiri. Ketika keinginannya sedang membuak-buak di dalam dadanya untuk pergi berguru kepada alim besar di Kota Madinah, usia Imam Syafie ketika itu sudah pun mencapai 20 tahun.

KEPERIBADIAN :
a. Kegeniusan dan ketajaman akal Imam Syafie
Imam syafie adalah seorang manusia yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kecerdasan yang amat tinggi. Ini membolehkan beliau mampu menjadi seorang ulama yang benar-benar berwibawa dan mempunyai tahap berfikir yang cukup tinggi, mudah memahami dan mengingati setiap ilmu yang dipelajari sehingga dengan mudah sahaja menguasai semua bidang ilmu termasuk ilmu alat yang membolehkan beliau termasuk ke dalam senarai para ulama yang mempunyai kedalaman fahaman, keluasan ilmu serta ketinggian pemikiran sehingga mampu membina mazhab sendiri.

Bukti-bukti yang menunjukkan Imam Syafie adalah seorang yang mempunyai akal fikiran yang kuat dan pintar yang luar biasa dengan kata lain seorang yang berotak genius ialah:

1. Ketika berusia 7 tahun beliau sudah menghafal seluruh al Quran dan dapat membacanya dengan lancar.

2. Ketika berusia 10 tahun, beliau telah menghafal seluruh isi kitab Muwattak iaitu kitab hadith karangan Imam Malik.

3. Dalam usia belasan tahun, beliau mampu menghafal sebanyak 10 000 bait syair Bani Huzail dengan sempurna.

4. Ketika berusia 15 tahun, gurunya di Makkah Imam Muslim bin Khalid az=Zinji telah memberi izin kepadanya untuk berfatwa. Cuma Imam Syafie sahaja yang enggan kerana merasa ilmunya masih belum cukup.

5. Ketika berusia 22 tahun, beliau mampu berbahas dengan sahabat Imm Hanafi di Irak yang sangat genius iaitu Imam Muhammad bin Hasan Asy-Syaibani yang jauh lebih tua dan lebih lama belajar daripada Imam Syafie.

6. Basyrul Muraisi’ berkata tentang Imam Syafie, “Orang lelaki ini menyamai setengah akal ahli-ahli dunia. Beliau sudah membahas pada persoalan-persoalan pokok, bukan pada perkara-perkara remeh atau cabang-cabang sahaja”.

b. Berani menyatakan kebenaran
Imam Syafie telah berfatwa berpandukan kepada mazhab ulama Makkah terutama mazhab Imam Sufyan bin Uyainah. Imam Sufyan binn Uyainah adalah salah seorang ulama besar yang telah mendirikan mazhabnya sendiri.

Setelah beliau berhijrah ke Madinah pula, Imam Syafie telah telah belajar pula kitab Muwattak kepada Imam Malik dan telah mengajar kitab Muwattak itu kepada orang ramai.

Kemudian setelah belajar kepada Imam Malikselama kira-kira 18 bulan, Imam Syafie telah mengembara pula ke Irak iaitu ke Kota Kufah. Di sana beliau telah bertemu dengan dua orang murid Imam Abu Hanifah dan mempelajari kaedah hokum hakam daripada mereka. Beliau membaca kitab mazhab Imam Abu Hanifah yang bernama ‘Al-Ausat’ dan dengan berani beliau mengkritik beberapa kesalahan yang terdapat di dalam kitab itu.

Kemudian, setelah beliau ditangkap dan dihadapkan kepada khalifah Harun ar-Rasyid di Kota Baghdad dan dibebaskan, Imam Syafie telah berdiam diri di Irak buat kali kedua beberapa ketika. Kitab itulah beliau telah mendirikan mazhab sendiri yang dikenali Mazhab Syafie(yang qadim).

Setelah membina mazhab sendiri, Imam Syafie banyak sekali menyanggah pendapat-pemdapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik serta pendapat daripada para sahabat kedua-dua imam tersebut. Namun telah mendapat bantahan yang keras daripada kedua-dua sahabat dan muridkedua-dua imam. Tetapi Imam Syafie tidak menghiraukan itu semua, sebaliknya beliau terus menyatakan pendiriannya yang diyakini benar dan tetap menghuraikaan kesalahan-kesalahan yang terdapat di dalam kedua-dua mazhab besar itu.

Demikian pula dengan pendapat beliau sendiri, beliau secara jujur tidak merasa malu untuk membatalkan pendapat beliau sendiri setelah beliau menemui dalil-dalil yang lebih benar dan tepat di Mesir. Kini setelah berada di Mesir dan menimba pengalaman baru di sana, Imam Syafie tanpa segan silu sanggup memadam pendapat-pendapat beliau yang ijtihad semasa di Irak Kecuali sekiranya ada dalil-dalil yang lebih kuat dalam mazhab qadimnya itu barulah beliau memakai pendapat yang di Irak itu.

Kekuatan dan semangat serta keyakinan Imam Syafie di dalam kesungguhan berijtihad sama seperti semangat dan keyakinan Imam Hanafi. Kedua-duanya memandang pendapat-pendapat yang tidak boleh dipersoalkan hanyalah al Quran, hadith dan pendapat sahabat Rasullullah saw yang mereka sepakati.

c. Kebenaran sentiasa di atas kepala Imam Syafie
Imam Syafie adalah seorang ulama yang amat mencintai kebenaran, Di mana sahaja beliau pergi, di situ beliau akan menjunjung kebenaran. Di mana sahaja beliau pergi, di situ beliau akan menjunjung kebenaran. Beliau tidak akan mengorbankan kebenaran walaupun dengan diri beliau sendiri.

Sejarah telah mencatitkan bahawa Imam Syafie mempunyai dua mazhab atau hasil pemikiran. Beliau tidak segan-segan mengatakan sesetengah pendapat di Irak atau mazhab qadimnya tidak benar dengan kenyataan. Lalu beliau membatalkan dengan pendapatnya yang baru iaitu pendapatnya di Mesir yang dinamakan mazhab jadid.

Ini adalah menunjukkan betapa Imam Syafie adalah seorang yang mencintai kebenaran sehingga beliau sanggup memansuhkan pendapat sendiri yang telah lama beliau fikirkan dalam membuat keputusan dalam satu-satu hukum.

d. Amat menjaga maruah diri
Imam Syafie adalah seorang yang amat menjaga maruah dirinya. Beliau sekali-kali tidak rela maruah beliau tercemar samada oleh perbuatan sendiri atau oleh perlakuan orang lain. Di bawah ini dipaparkan kata-kata Imam Syafie dan kata-kata murid atau ulama-ulama yang hidup semasa dengan beliau yang membuktikan keprihatinan beliau di dalam menjaga kehormatan dan maruah dirinya.

1. Kata Imam Syafie, “ Aku sekali-kali belum pernah bersumpah dengan menyebut nama Allah untuk perkara yang benar, apatah lagi pada perkara yang tidak benar”.

2. Beliau pernah berkata kepada murid nya yang bernama Ar-Rabi, “Aku selama hidupku belum pernah berdusta dan aku belum pernah berdusta dan aku belum pernah bersumpah baik yang benar apatah pula yang salah dan aku belum pernah meninggalkan mandi pada hari jumat, samada dalam keadaan panas atau sejuk atau ketika dalam perjalanan”.

3. Imam Ahmad bin Yahya al-Wazir bercerita, “ Pada suatu hari Imam Syafie keluar dari pasar al-Qanadil di Mesir. Llau aku mengikut dari belakang. Tiba-tiba kami terdengar pula seorang yang tiba-tiba mencela dan mencaci maki seorang alim. Maka beliau segera berpaling dan berkata kepadaku, “Bersihkanlah pendengaranmu dari mendengar perkataan keji, kerana sesungguhnya yang mendengar itu bersyarikat dengan yang mengucapkannya. ”

Demikian beberapa kata-kata yang menjadi bukti bahawa Imam Syafie adalah seorang ulama yang sangat menjaga kehormatan atau maruah dirinya. Tidak mahu maruahnya tercemar kerana maruah itu adalah harga diri.

AKHLAK :
a. Pemurah
Imam Syafie adalah seorang yang sangat pemurah. Setiap kali ada orang meminta sesuatu kepadanya, terus diberinya. Begitu juga apabila beliau mendapat hadiah pemberian khalifah, jika hadiah itu berupa wang, beliau tidak menggunakannya semata-mata untuk keperluan diri. Beliau sahaja, sebaliknya diberikan kepada orang ramai yang beliau nampak masih memerlukan wang.

Diriwayatkan pernah khalifah Ar-Rasyid mengirim kepada beliau sebanyak 5000 dinar. Sebentar itu juga beliau bahagikan kepada orang ramai sehingga yang tinggal di dalam saku jubahnya hanyalah sekadar 100 dinar.

Kata Imam Muhammad bin Abdullah al-Misri, “Adalah Imam Syafie itu seorang insan yang sangat dermawan. ”

Kata Imam Amru bin Sawad al-Sirji, “Imam Syafie adalah seorang gemar menderma dari apapun yang ia milikinya”.

Imam Syafie sendiri pernah berkata, “Aku belum pernah memiliki kegagalan, tidak memiliki sesuatu apapun, sehingga aku harus menjual semua perhiasan milik isteriku dan puteri kesayanganku”.

BAKATNYA :
Allah telah kurniakan Imam Syafie bakat yang membolehkannya melayakkan dirinya ke kemuncak bersama tokoh-tokoh fikiran dan pimpinan.
a. Imam Syafie memiliki pandangan yang tajam, begitu juga fikirannya, ia dapat memahami sesuatu ketika dierlukan, fikirannya tidak tersekat dan tersangkut, setiap satu yang dipelajari dijelaskan dengan fikirannya. Setiap peristiwa yang dikaji untuk mengeluarkan hokum, ia cuba melahirkan garis panduan dan kaedah am berkenaan peristiwa itu.

b. Imam Syafie memiliki kepetahan berbahasa dengan kaat-kata yang fasih yang disertakan dengan rentak suara yang menguasai pendengarannya. Ia bertemu Imam Malik, Imam Malik mahukan Imam Syafie membaca al-Muwattak kepada muridnya, katanya : “ Bacakan kira-kira semuka”. Setelah selesai semuka, Imam Malik inginkan supaya dibacakan hingga ke akhirnya kerana ia terpesona dengan suara beliau dan cara bacaannya yang fasih dengan nada yang sangat berkesan.

c. Imam Syafie pandangan yang menembusi diri manusia, mengenali perwatakan mereka, seperti gurunya Imam Malik yang mengetahui keadaan diri orang lain dan kemampuan masing-masing. Sifat ini perlu kepada seorang pendebat yang bijak yang ingin menundukkan pencabarnya, sepertimana ia diperlukan oleh seorang guru yang melayan kemampuan muridnya di bidang pengetahuan, maka ia akan menyelaraskan antara kemampuan, kefahaman dan bebanan ilmu yang sesuai. Kelebihan yang dimiliki oleh Iman Syafie inilah yang dapat menarik sebilangan besar murid ke majlisnya.

d. Imam Syafie berjiwa bersih dan bebas dari noda dunia sebab itulah ia jujur dalam mencari kebenaran akan mendapat sahaja pengetahuan di hati seseorang, dengan itu bersihlah jiwanya, ternyatalah kebenaran dengan mudah ditangkapi akal, kemudian dapat disalurkan dengan kata-kata yang tepat dan fikiran yang bernas.

ZAHID DALAM KEHIDUPAN :
a. Suka kepada hidup bersahaja
Imam Syafie adalah seorang ulama fekah tetapi cara hidupnya lebih dekat kepada cara hidup para ahli tasawuf. Ini kerana Imam Syafie lebih suka cara hidup dengan pakaian yang sederhana dan kasar. Imam Syafie lebih mirip kepada cara hidup Sayyidina Umar.

Ini berkemungkinan besar kerana pengaruh kehidupannya sejak kecil lagi. Sebagaimana yang telah kita tahu bahawa Imam Syafie sejak kecil lagi sudah merasai penderitaan hidup disebabkan ibu bapanya orang miskin. Kerana itu setelahbeliau dewasa, kegemaran kepada pakaian yang sederhana dan kasar sebati dengan jiwanya.

Imam ar-Rabi’ bin Sulaiman berkata, “ Imam Syafie pernah berkata, “Aku tidak pernah makan sampai kenyang sejak berusia 6 tahun kerana kekenyangan akan menambah berat badan, mengeraskan hati, menumpulkan fikiran, menyebabkan mengantuk dan malas beribadat.

b. Tinggi tawakalnya kepada Allah
Imam Syafie juga mempunyai iman yang tinggi sehingga beliau hidup bergantung bulat kepada Allah swt terutama dalam persoalan rezeki. Beliau pernah memarahi Imam Abdullah bin Abdul Hakkam yang merupakan sahabat baiknya ketika di Mesir kerana menyuruhnya menyimpan makanan selama setahun. Beliau menjawab, “Wahai Abu Muhammad, kamu tahu bahawa aku dilahirkan di Ghuzzah, dibesarkan di Hijaz, padahal di dalam rumah aku tidak ada sebarang makanan untuk dimakan walaupun sekadar semalaman sahaja, tetapi aku tidak pernah tidur dengan kelaparan”.

c. Benci pada kemewahan dan kemegahan hidup
Di antara majlis yang sering dihadiri oleh Imam Syafie selama beliau menetap di Irak ialah majlis Imam Waki’ bin Jarrah, seorang ulama besar yang amat beliau sanjungi. Jadi selama belajar kepada Imam Waki’, Imam Syafie sering bermunazarah dengan para murid Imam Waki’ yang lain dan sering Imam Syafie keluar sebagai pemenang. Hal ini menyebabkan ada yang tidak senang dan merasa dengki lalu membuat pakatan untuk mengenakan Imam Syafie di hadapan Khalifah Harun Ar-Rasyid.

Mereka berkumpul dan membuat pakatan untuk mengemukakan beberapa masalah yang sulit dan amat susah untuk diberi jawapan. Mereka akan menjemput khalifah untuk hadir sama melihat munazarah itu dan mereka percaya Imam Syafie tidak akan mampu membuat keputusan yang baik.

Setelah ternyata Imam Syafie berjaya menjawab soalan-soalan yang sesulit itu di hadapan Khalifah Harun ar-Rasyid dengan tepat dan betul. Ini amat mengecewakan orang-orang dengki itu kerana menambahkan pula rasa tertarik hati Khalifah Harun ar-Rasyid terhadap diri Imam Syafie.

Di atas sebab-sebab itu tercetuslah di hati Khalifah Harun ar-Rasyid untuk melantik Imam Syafie menduduki kerusi qadhi di negeri Yaman yang berpusat di Kota san’a. Tetapi bagi Imam Syafie jawatan itu bukan merupakan nikmat kepadanya, tetapi merupakan malapetaka seperti peristiwa kematian atau kemalangan teruk yang menimpa dirinya. Oleh itu beliau telah menolak keinginan baginda Ar-Rasyid itu dengan lemah lembut tetapi tegas katanya menolak, “Mudah-mudahan Allah melanjutkan usia Tuanku. Saya tidak memerlukan kepada pangkat yang tinggi itu. Sebenarnya saya berhajat untuk menyambung tali kekeluargaan di Mesir, jika Tuanku izinkan kepada saya”.

PENUTUP
Hasil penulisan saya, saya dapati Imam Syafie adalah seorang ulama yang amat hebat kerana berjaya mempersiapkan dirinya sehingga menjadi seorang jaguh ilmu yang tidak ada tolak bandingnya. Kelebihan dan keunggulan Imam Syafie di dalam medan ilmu pengetahuan dapat dibuktikan melalui pengakuan yang deberikan oleh para guru, sahabat, murid dan juga ulama-ulama yang hidup sezaman dengan beliau.

Di Malaysia para penyebar agama Islam kebanyakkan terdiri daripada ulama-ulama yang menganut mazhab Syafie. Sebab itu orang-orang Melayu Malaysia hingga kini boleh dikatakan tidak ada yang menganut mazhab lain daripada mazhab Syafie.

Yang paling jelas kita umat Islam di Malaysia amatlah selesa di dalam beramal hokum-hukum dan amalan agama berdasarkan mazhab Imam Syafie kerana iklim negara Mesir barangkali agak selari dengan iklim dunia sebelah timur ini.

Demikian mazhab Imam Syafie, mazhab yang ketiga dilahirkan dari keempat mazhab tetapi menjadi mazhab yang paling ramai dianuti oleh umat Islam di dunia. Semoga ianya akan terus melekat di hati para umat Islam di dunia timur ini khasnya di Malaysia.

RUJUKAN
Takiruddin Bin Haji Hassan (2007). Riwayat Hidup 4 Imam Mazhab. Johor Bahru, Johor Darul Takzim : Perniagaan Jahabersa.

Abu Zahrah, Muhammad (1997). Pengasasan Dan Pengembangan Mazhab Syafie. Gong Badak, Kuala Terengganu : Penerbitan Yayasan Islam Terengganu.

Muhammad Bin A. W Al’-Aqil, Dr (2002). Manhaj Akidah Imam Asy-Syafi’i. Bogor, Indonesia : Maktabah Adhwa as-Salaf RiyadhSaudi Arabia.

Abdul Latip Talib (2011). Kisah 4 Imam Mazhab. Selangor : PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

Aboe Bakar Acheh, Prof Dr. Hj (1976). Ahlus Sunnah Wal Jama’ah. Kota Bahru, Kelantan : Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Fatimah Bt Daud (2011). Nota Pendidikan Islam Tingkatan 4. Sg Petani, Kedah : Jejak Jaya Dua Enterprise.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-4006-206, 011-1070-4212
abdazizharjin.blogspot.com